Wednesday, July 30, 2008

MERCEDES: SEMUA PIHAK BERTINDAK KELAM KABUT

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian, Rabu 30hb. Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Terengganu mendapat limpahan liputan berita sepanjang minggu lalu dan minggu ini. Dua berita menarik, satu fasal pernjimatan yang bersesuaian dengan iklim ekonomi negara dan satu lagi yang bersifat menentang arus, membazir.
Satu berhak diberi pujian dan satu semestinya dikeji habis-habisan.

Baginda Sultan Terengganu mengambil keputusan tidak membuat apa-apa anugerah sempena hari keputeraannya tahun ini pada minggu lepas. Sambutannya juga diadakan secara sederhana.
Negara menghadapi kemelut ekonomi dan rakyat menderita akibat kenaikan harga barangan konsumer. Dengan melakukan demikian, baginda memberi isyarat kepada sesiapa yang berkenaan untuk mengikuti jejak langkah baginda melakukan penjimatan wang rakyat.

Baginda tidak mahu membazirkan wang cukai rakyat. Kalau kita masih ingat, Sultan Mizan banyak melakukan perubahan semenjak mula ditabalkan sebagai Agong. Baginda contohnya, telah memerintah agar semua majlis keraian ditamatkan awal supaya ia tidak mengganggu tugas pejabat keesokannya. Baginda juga telah menunjukkan erti ‘nasihat dan persetujuan’ sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Erti frasa itu telah baginda perlihatkan kepada Perdana Menteri apabila baginda bertindak tidak menerima nasihat PM untuk melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar
.

Namun, tindakan Sultan Mizan menyelamatkan berjuta-juta wang negeri dari dibelanjakan untuk menyambut hari keputeraan baginda berbeza dengan tindakan MB baginda, Datuk Ahmad Said. Beliau sebaliknya, bertindak membelanjakan sebanyak RM3.4 juta untuk membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan para exco beliau dan pegawai kanan kerajaan Terengganu. Mengikut prosedur kerajaan, pembelian itu tidak menepati syarat kelayakan.


Pembelian kereta mewah ini pada saat para pemimpin menggesa rakyat untuk ‘ubah gaya hidup’ bagi menyesuaikan dengan kerumitan tentunya bercanggah. Sebagai usaha menghalalkan tindakan membeli kereta mewah, imej kereta nasional pula terpaksa diperlekehkan. Pastinya ramai orang melihat gelagat ini memalukan
.

Sekecoh mana kita timbulkan, pembelian sudah dibuat. Wang rakyat telah dibelanjakan. Rasional membeli kereta itu juga telah diberikan. Reaksi-reaksi telah diketahui. Arahan-arahan baru telah dikeluarkan berkaitan isu pembelian itu. Kita seterusnya ingin melihat apakah kewajaran yang diberikan oleh Ahmad Said itu tepat atau dia telah bertindak kerana diberikan fakta yang salah
.

Penulis melihat isu ini sebagai satu tindakan Ahmad yang diasaskan kepada fakta yang salah. Kereta-kereta itu dikenakan kos pembaikian yang terlampau tinggi ke tahap tidak masuk akal. Kos pembaikian melebihi kos belian. Melihat insiden dan perkembangan yang timbul selepas isu itu diketengahkan nyata bahawa kos pembaikian menjadi tinggi kerana adanya unsur penipuan dan rasuah. Para pemilik bengkel mengaku mereka mengenakan kos ‘mark up’ sebanyak 25 persen di atas alasan kerajaan lambat membuat bayaran
.

Penulis yakin, berdasarkan penjelasan diberikan oleh kerajaan Terengganu bahawa bayaran dilakukan dalam masa dua minggu setelah invois diterima berupa tempoh bayaran yang munasabah. Tiada kelewatan berlaku. Maka, pada hemat penulis, kos mark up itu sebenarnya adalah kos untuk wang saku orang-orang tertentu. Ia berbentuk wang rasuah. Kos juga menjadi tinggi apabila ada barang yang tidak perlu ditukar, tetap ditukarkan juga agar pendapatan kepada bengkel bertambah dan bayaran ‘komisyen’ juga meningkat
.

Barang bukan tulen juga dikenakan menyebab ia tidak tahan lama dan akhirnya memerlukan pembaikian lanjut. Sekali lagi kos tinggi dikenakan dan barang palsu masih digantikan. Maka, sebahagian besar dari kos pembaikian sebenarnya masuk ke kantung orang tertentu dan rakyat Terengganu yang membayarnya. Sedihnya, Proton dikutuk dan imej kereta nasional itu terjejas teruk dan pembelian kereta luar negara diwajarkan. Proton dijadikan kambing hitam
.

Masyarakat diberitahu bahawa kerajaan Terengganu tidak layak menggunakan kereta Mercedes. Kelayakan ini ditetapkan oleh kerajaan pusat. Siapa sebenarnya yang berhak menentukan sama ada sesebuah kerajaan negeri layak membeli ini dan itu? Adakah ini ada terputus dalam mana-mana instrument kerajaan dan adakah sesebuah kerajaan negeri itu tertakluk untuk patuh kepadanya? Adakah ini peraturan BN atau peraturan kerajaan pusat? Adakah peraturan ini juga terpakai untuk kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan rakyat
?

Apa pun, kita akui bahawa melalui sesuatu tatacara, persetujuan telah dicapai pada suatu masa dahulu bahawa kerajaan negeri hendaklah patuh kepada kehendak kerajaan pusat dalam pembelian kenderaan untuk kegunaan mereka. Perbuatan kerajaan Terengganu bertentangan dengan persetujuan dan peraturan. Sewajarnyalah kerajaan bertindak ke atas salahlaku kerajaan negeri tadi
.

Pada Jumaat kelmarin, PM mengeluarkan kenyataan ringkas berkaitan fiasko Proton-Mercedes ini. “Saya ingin menyatakan di sini bahawa satu keputusan penting telah dibuat oleh kabinet bahawa kerajaan negeri tidak boleh menggunakan kereta tersebut untuk kegunaan para exco negeri. Ini telah diputuskan.” katanya. Beliau berkata lagi, memandangkan kereta sudah pun dibeli, dan menjualnya kembali akan menyebabkan kerugian, kesemua kereta itu hendaklah digunakan untuk kegunaan tetamu-tetamu negeri atau pembesar
.

Penulis tidak mahu membahaskan tindakan beberapa exco negeri mengingkari perintah dari PM itu. Akhbar-akhbar ada melaporkan tentang kejadian mengikari arahan itu berlaku. Biarlah. Memang pun menggunakan Mercedes lebih seronok dan bergaya dari menaiki Proton sungguhpun ia bertaraf dan diberi nama Perdana. Penulis hanya mahu membincang tentang keputusan yang dibuat oleh kabinet tadi sahaja. Penulis beranggapan isu kereta Mercedes ini bukanlah isu yang patut mendapat tempat dalam agenda mensyuarat kabinet. Banyak lagi persoalan besar yang masih tergendala semenjak 8 Mac yang belum kabinet perhalusi
.

Namun keputusan telah dibuat. Ia tidak boleh dijual kerana didakwa akan menyebabkan kerugian. Bab ini penulis tidak faham siapa yang dimaksudkan akan menanggung kerugian? Kerajaan negerikah akan menanggung kerugian, dan bagaimana? Kita diberitahu bahawa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes E-200 Kompressor dengan harga RM245,000 sebuah. Pembelian kerajaan negeri dikecualikan dari cukai. Pihak kastam tidak mendapat satu sen pun cukai dari pembelian kereta sebanyak 14 buah itu yang kesemuanya berjumalah RM3.4juat itu
.

Penulis diberitahu harga kereta itu untuk orang awam termasuk cukai ialah sebanyak RM350,000 seunit. Pada perhitungan penulis, kalaulah kereta itu dijual dengan harga RM300,000 termasuk cukai, ia menarik minat ramai pembeli kerana ia masih murah dan baru sangat digunakan serta nombor pletnya pun cantik.
Nombor plet itu sendiri dengan mudah mencapai nilai lebih dari RM10 ribu. Kalau dijual dengan harga RM300 ribu itu, pihak kastam boleh mendapat cukai sebanyak RM55 ribu bagi setiap unit dan kerajaan negeri tidak kerugian sesen pun.

Pihak kastam pasti boleh terima jumlah cukai sebanyak itu kerana kalau tidak ia tidak dapat satu sen pun kalau kereta itu masih berada dalam milik kerajaan negeri. Bagi penulis, kerajaan negeri tidak rugi dan kerajaan pusat dapat duit cukai. Pembeli juga beruntung kerana kereta berharga RM350 ribu dicampur nombor plet menarik boleh dibeli dengan harga RM300 ribu sahaja.
Laporan akhbar Star semalam (Selasa) menunjukkan ada exco masih belum terima klereta pun. Ini bererti kereti itu belum terpakai dan belum diserahkan. Lagi menarik. Pembeli menang, kerajaan negeri menang dan kerajaan pusat menang dalam bentuk pungutan cukai.

Keputusan lain yang dibuat oleh kabinet juga dianggap tidak bijak. Mengarahkan kereta itu disimpan oleh kerajaan negeri dan digunakan semata-mata untuk tetamu kerajaan negeri akan membebankan kerajaan tersebut. Ia bukan sahaja satu tindakan membazir bahkan akan menyebabkan pembaziran lain pula terlibat sama. Kereta sama ada diguna atau tidak, terpaksa di’maintain’ dari semasa ke semasa. Ia tidak boleh dibiarkan dalam garaj dan dikeluarkan apabila ada tetamu yang memerlukannya. Kos tambahan tetap ada
.

Penulis tidak dapat menganggar berapa ramai tetamu harian kerajaan negeri Terengganu. Kalau ia ramai dan sehingga memerlukan berbelas-belas buah kereta Mercedes, mengapa hanya Terengganu sahaja yang ada tetamu seramai itu? Negeri-negeri lain, tetamunya menaiki kereta apa? Berapa unit kereta untuk tetamu yang kerajaan negeri lain ada? Bilangan tetamu negeri adalah satu aspek darinya. Aspek lain yang perlu diperjelaskan ialah apakah criteria orang yang layak digelar tetamu negeri itu. Apakah DO sebuah daerah di Melaka contohnya, kalau berurusan rasmi dengan kerajaan Terengganu layak menggunakan Mercedes itu? Penulis perhati, biasanya, kalau ada pembesar dari Puterajaya yang datang ke sesebuah negeri, keretanya yang sampai dulu dan pembesar itu menaiki pesawat.


Hasilnya, penulis tidak nampak rasional kerajaan dan kabinet yang memutuskan bahawa kereta itu tidak boleh dijual kerana akan menanggung kerugian. Penulis juga tidak nampak alasan menyimpan kereta itu untuk kegunaan para tetamu negeri. Kita tidak tahu apakah kriteria digunakan bagi melayakkan seseorang itu bergelar tetamu negeri. Mengambil kira bilangan kereta untuk tetamu di negeri-negeri lain tidaklah sebanyak yang ada di Terengganu, dikhuatiri bilangan Mercedes E200 Kompressor yang ada di Terengganu itu layak mendapat tempat dalam buku Guiness Book of Records sebagai kereta paling lama berada di dalam garaj dan paling kurang kerap digunakan di dunia
.

Sikap kerajaan negeri Terengganu membeli kereta mewah itu dikira tidak tepat dengan masa di mana orang ramai sedang berduka, dan tidak mengikut peraturan kerajaan pusat. Sikap kerajaan pusat menangani fiasko ini pula amat pelik, tidak bijak dan mengundang masalah lain yang akan berbangkit pada masa akan datang. Barangkali, dalam keadaan kelam kabut yang dihadapi para pemimpin kita hari ini, tindakan diambil berkaitan isu kereta mewah ini pun nampaknya pun kelam kabut juga.

Friday, July 25, 2008

NILAI SUMPAH SEKADAR DI BIBIR

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian Jumaat 25 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Berat jari untuk menekan key-board tujuan membicarakan isu-isu berkaitan Anwar. Desakan bertalu-tahu dari teman dan pembaca menyebabkan penulis menyerah kalah. Banyak permintaan untuk penulis membuat analisis fasal kes liwat yang dituduh ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dulu penulis kata, meluat menyebutnya. Meluat kerana kalau betul-betul Anwar melakukannya, nyata beliau tidak belajar dari tuduhan yang dikenakan kepadanya sepuluh tahun dulu dan penulis meluat kalau tuduhan ini palsu, bagaimana orang yang menuduh dan sesiapa yang di belakangnya, bertindak seperti menganggap rakyat negara ini bodoh.

Namun, sudah hampir sebulan selepas tuduhan itu mula timbul pada 28 Jun lepas, isu ini masih diperdebatkan. Ia masih belum berkesudahan, iaitu orang yang dituduh belum dibawa ke mahkamah atau tuduhan tidak pula digugur. Masa yang lama ini memberi ruang untuk orang memperkatakan seluas-luasnya. Bila isu luas dibincang, lebih banyak pula persoalan timbul. Mahu tidak mahu, penulis terpaksa melayan permintaan teman-teman dan pembaca.

Ramai bertanya, selesaikan sahaja isu ini dengan bersumpah gaya Islami. Kenapa perlu panjang-panjang lagi, selesaikan segera. Biarlah kedua-dua orang yang terlibat bersumpah. Kebenaran akan muncul dan kemusnahan akan tertimpa orang yang berbohong. Pihak yang benar tentunya tidak akan takut untuk melakukan sumpah itu, saran mereka.

Pengetahuan penulis tentang hukum bersumpah dan jenis bersumpah ini sangatlah cetek. Keadaan itu tidak pula menjadi lebih baik kerana kemudiannya menjadi terkeliru akibat beberapa pandangan berbeza yang diberikan oleh mereka yang lebih arif tentang hukum agama.

Mufti Perlis, SS Dr Mohd Asri Zainul Abdin meminta kedua orang yang terlibat melakukan ‘mubahalah’ atau bersumpah di khalayak sambil menyebut laknat Allah ke atas diri kalau berbohong. Selepas bersumpah, kedua-dua yang terlibat dikehendaki tidak lagi membangkitkannya serta menunggu tindak balas dari Allah yang berupa laknat ke atas orang yang berbohong.

Pandangan Dr Mohd Asri tidak disetujui oleh seorang Mufti lain yang lebih kanan, Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Bagi Harussani, Anwar tidak diperlukan untuk bersumpah menggunakan al-Quran atau pun cara mubahalah untuk membuktikan dia tidak bersalah kerana beban membuktikannya itu terletak kepada orang yang menuduh, iaitu Saiful.

Amalan bersumpah di khalayak ini bukanlah sesuatu yang akan pertama kali terjadi di kalangan kita. Ia adalah kejadian harian. Ada yang disiar langsung oleh stesen televisyen. Di mana-mana orang bersumpah. Ada yang menggunakan al-Quran dan ada yang menggunakan kitab suci agama lain. Kita perhatikan sewaktu menerima perlantikan penting, ada upacara meletakkan tangan ke atas al-Quran, atau memegang al-Quran sambil membuat ikrar sumpah seperti akan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menjaga kepentingan masyarakat dan negara. Sehari selepas mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran, berguni-guni duit bukan miliknya dikebas.

Upacara mengangkat sumpah sebagai mana yang kita kenali sekarang, tidak kita beri tekanan keagamaan sungguhpun kitab suci itulah yang kita pegang semasa kita membuat akuan. Disiplin sumpah kita ketepikan. Ia sekadar suatu istiadat warna-warni yang menghalalkan kita memegang jawatan dan sebagai pengesahan kepada jawatan yang disandang. Menjadi menteri perlu mengangkat sumpah, menjadi wakil rakyat mereka bersumpah, menjadi hakim pun disertai majlis angkat sumpah. Peliknya, ramai tidak setia dengan sumpah sungguhpun bersaksikan al-Quran.

Kita bersumpah dengan nama Allah, dengan bersaksikan al-Quran tetapi kita sedikitpun tidak berasa gentar untuk melakukan kemungkaran melanggar sumpah. Kita melakukan rasuah, penyelewengan ke atas amanah yang diberikan kepada kita. Kita tidak berasa apa-apa. Biasa sahaja.

Berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum ini, melakukan sumpah menggunakan a-Quran didapati tidak menyelesaikan masalah. Bila kedua-dua pihak sanggup bersumpah tentang sesuatu isu, pastinya salah satu di antara mereka membuat sumpah palsu. Mana mungkin kedua-dua pihak yang melakukan sumpah itu bercakap benar. Seorang darinya pasti berbohong.

Maka, memadaikah bersumpah untuk menyelesaikan masalah. Kita imbas kembali kepada satu kejadian yang melibatkan sumpah di masjid menggunakan al-Quran yang membabitkan dua orang tokoh politik negara kira-kira 40 tahun lepas. Dua tokoh yang terlibat ialah Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin utama parti Perikatan dan Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung Pas.

Pertarungan sengit merebut pengaruh dan pengundi di antara Parti Perikatan (BN belum wujud) dan Pas terjadi pada tahun 1969. Pada masa itu UMNO diasak kuat dan ramai para cendekiawan Melayu memihak kepada Pas kerana tidak berpuashati dengan dasar pelajaran kebangsaan yang jalankan oleh Perikatan. Dr Mahathir yang pada masa itu dikenali sebagai ultra-Malay (Melayu pelampau) kalah di tangan Pas dan kemudiannya dipecat dari UMNO kerana menentang dasar-dasarTunku yang banyak menyebabkan Perikatan kalah di tangan Pas, Parti Progresif Rakyat dan DAP.

Dalam suatu majlis, Tunku telah menuduh Pas menerima bantuan dari negara luar membiayai perjuangan parti itu. Tuduhan Tunku ini dinafi keras oleh Mohd Asri. Tunku terus menerus membuat tuduhan itu di dalam usaha menghalang pengundi berpihak kepada Pas. Penafian Pas diturut pula oleh tuduhan balas dari parti itu bahawa Perikatanlah yang sebenarnya menerima wang sumbangan dari luar.

Mohd Asri mencabar Tunku untuk bersumpah. Cabaran Mohd Asri disahut Tunku. Pada hari dan masa yang ditetapkan, Tunku telah melafazkan sumpah bersaksikan al-Quran di Masjid Zahir Alor Star dan Mohd Asri melakukan sama di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Sampai hari ini kita tidak tahu pihak mana yang termakan sumpah dan pihak mana yang terkena bala. Kalau ada bala yang tertimpa sesorang, pihak yang satu lagi itu menganggapnya sebagai suatu kejadian biasa yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Kalau seseorang menjadi lumpuh, ia akan dirasionalkan sebagai kesan biasa serangan angin ahmar. Ia tidak ada kena mengena dengan balasan dari Allah.

Baru-baru ini seorang pemimpin besar negara telah melafazkan sumpah di depan ramai penyokong partinya menafikan bila terlibat dengan apa yang dituduh dilakukan oleh beliau melalui satu surat perakuan sumpah (SD). Namun, masih ramai orang yang menyimpan persepsi bahawa beliau berbohong. Lebih malang , beliau diberi tuduhan tambahan, dituduh pula sanggup permainkan agama.

Di dalam dunia yang penuh dengan penipuan, penyamaran, penindasan, kezaliman, rasuah malah pembunuhan semata-mata kerana inginkan kuasa, maka apakah sangat untuk melakukan satu sumpah palsu? Bolehkah kita bersandar kepada satu upacara bersumpah untuk menyelesaikan kebuntuan? Kalaulah mereka sanggup melakukan jenayah sebegitu rupa, tentunya, bersumpah dengan nama Allah sekalipun, adalah satu perbuatan enteng. Ia tidak membawa apa-apa kesan kepada nurani mereka.

Maka berkesankah sumpah yang dibuat dan akan selesaikah masalah yang dihadapi oleh sesiapa yang dikenakan tuduhan sungguhpun menggunakan al-Quran jika ada pihak yang tidak amanah? Banyak pihak itu sanggup menerima akibat di akhirat kelak tetapi tidak sanggup mennggung malu di dunia. Bagi mereka, soal akhirat, belakang kira.

Lagipun, kalaulah kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini hendak diselesaikan melalui majlis bersumpah, akan gugurkah tuduhan selepas itu? Bagaimana pula dengan ratusan atau ribuan tuduhan lain yang dikenakan ke atas orang lain, seperti membunuh, menyamun, merogol, atau rasuah bolehkah ia diselesaikan melalui sumpah?

Mengapakah hanya kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini sahaja perlu diselesai melalui bersumpah. Bagaimana dengan kes curi basikal? Bagaimana pula jika ada tuduhan dibuat ke atas anda bahawa anda telah melakukan ‘liwat’ adakah anda akan mengheret orang yang menuduh itu ke masjid untuk bersumpah, atau meminta dia memberikan bukti serta anda menuntut saman malu? Di mana nanti peranan mahkamah kelak akan diletakkan?

Wednesday, July 23, 2008

GILIRAN ANWAR PULA KEPANASAN

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 23 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Habuannya besar. Pas akan ditawarkan jawatan Menteri Besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan. Jawatan exco akan diberikan kepada ADUN Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor. Pas akan ditawarkan bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-12 lalu di samping semua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP.


Lima jawatan menteri penuh juga ditawarkan kepada para pemimpin Pas. Beberapa orang pula akan dilantik sebagai senator. Kesemua kerusi di atas dikatakan ditawarkan jika Pas menerima tawaran UMNO untuk berpakat dengannya dan meninggalkan Pakatan Rakyat
.

Tawaran itu belum sahih. Ia sekadar cakap-cakap awam. Memang tawaran itu jika benar akan memecah liur sesetengah pemimpin dalam Pas.
Ini adalah jalan pintas tumpang memerintah. Pastinya, kalau kekal bersama PR, belum tentu Pas dapat merasa jawatan-jawatan seperti tadi.

Bagi kebanyakan orang, jawatanlah yang menjadi pendorong memikat mana-mana pihak untuk setuju bertemu. Pas, yang sekarang sudahpun menikmati sedikit sebanyak kuasa, akan sanggup bertemu dan berbincang dengan UMNO yang juga memegang dan memiliki banyak kuasa di peringkat pusat dan negeri bagi memperkukuhkan kuasa. Tidak mustahil bagi Pas untuk bertemu dan berbincang.


Pendedahan Perdana Menteri bahawa Pas dan UMNO telah tiga kali bertemu bagaimanapun memeranjatkan ramai sungguhpun desas-desas mengenai cadangan pertemuan banyak kedengaran dan kuat dimainkan oleh akhbar-akhbar. Berita tentang pertemuan itu menjadi tajuk utama semua akhbar termasuklah akhbar bukan Melayu. Saya sempat melihat muka depan akhbar China Press bertarikh 21 Julai di mana terpampang gambar Abdullah dan Hadi Awang dengan angka 3 yang besar yang menggambarkan sudah tiga kali bertemu
.

Melalui pendedahan PM bererti persemukaan Pas-UMNO bukanlah suatu dakyah. Ia adalah sesuatu yang benar-benar telah terjadi. Bukan sekali, malah sudah tiga kali bertemu selepas 8 Mac. Pas pula tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan PM yang juga selaku Presiden UMNO bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan kaum Melayu
.

Abdullah menyebut pertemuan berlangsung sebanyak tiga kali yang melibatkan pimpinan peringkat tinggi parti masing-masing. Kenyataan Pas hanya menyebut tiga nama yang dua di antaranya bukanlah peringkat tinggi yang sengaja disusun demikian untuk tidak memberikan mereka mandat untuk membuat keputusan.
Mengikut Abdul Khalid Samad sebagaimana dilaporkan media, Pas berperanan sebagai pendengar sahaja. Pas banyak berkata, ‘ya’, ‘ya’ tanpa sebarang komitment.

Melalui satu kenyataannya pada 20 Julai kelmarin, Hadi mendedahkan bahawa Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Dato’ Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad telah untuk pertama kalinya bertemu PM. Pertemuan kedua melibatkan Nasharudin dan PM berlaku di bangunan Parlimen. Di dalam kedua-dua pertemuan disebut Hadi, beliau tidak hadir
.

Sebagai orang Islam, kita pastilah bersyukur dan mengalukan sebarang langkah diambil bagi menyatupadukan umat.
Usaha itu akan menjamin keagungan Islam dan sekaligus ketuanan Melayu. Persoalan besar, apakah ia akan menjadi kenyataan seperti mana yang kita impikan. Kita berharap pertemuan ini tidak sekali-kali diasaskan kepada suatu niat lain, iaitu permainan politik. Kita akan terkilan jika pertemuan ini mempunyai niat terselindung.

Umat Islam pasti kehampaan kalaulah kepentingan parti politik dijadikan agenda dan kepentingan umat dan kaum diperalatkan. Kita benar berharap alasan untuk persemukaan ini dibuat kerana timbulnya keinsafan bahawa kekuasaan Islam akan terlebur kerana perpecahan ketara di kalangan umat Islam di negara in
i.

Datuk Nik Aziz, Murshyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan sangsi akan niat sebenar UMNO ingin bersemuka kerana parti itu kelihatan berpecah dan berada di dalam keretakan akibat perasaan tidak puas hati akar umbi terhadap pimpinan Abdullah. Parti yang memerintah pusat itu juga dikatakan bertambah tidak popular selepas pilihan raya kerana masyarakat bawahan terkesan menanggung beban inflasi yang tinggi ekoran kenaikan harga petroleum
.

Kebimbangan Nik Aziz ini berasas. Pas dijemput menyertai BN pada 1969 ketika parti UMNO berkeadaan sama, lemah. Pada 1978 tatkala UMNO kembali pulih, Pas ditendang keluar. Tempoh itu berupa suatu yang pahit bagi Pas. Pas menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1969 selepas peristiwa 13 Mei yang juga menyaksikan perpecahan Melayu yang amat parah. Pada pilihan raya tahun itu, Selangor dan Perak hampir jatuh ke tangan Parti Progresif Rakyat pimpinan D.R. Seenevasagam dan DAP. Pulau Pinang pula telah jatuh ke tangan Gerakan, Akhirnya, PPP dan Gerakan membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan yang juga diserta Pas. Melalui BN, PPP dan Gerakan akhirnya menjadi kian lemah
.

Perpaduan itu tidak kekal seperti mana niat asal kerana ia diasaskan kepada keperluan politik semasa sahaja. Lama-kelamaan mereka bercakaran. Ini boleh diduga kerana tentunya para pemimpin komponen tidak boleh berpeluk tubuh apabila melihat kerusi yang dipertanding dibolot oleh parti komponen lain. Contohnya, bolehkah pemimpin UMNO Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak hanya menjadi penonton dan pemimpin kelas dua kepada Pas di negeri-negeri itu?
Sudah tentu teringin juga orang UMNO suatu hari nanti menjadi MB di negeri berkenaan.

Akhirnya, pecah juga kerajaan pakatan UMNO-Pas di Kelantan. Kerajaan Kelantan menjadi tidak stabil, darurat diisytiharkan lalu memaksa kerajaan pusat mengambil alih pentadbirannya melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pas akhirnya dipecat dari BN. Itulah agaknya, Nik Aziz berkeras sangat tidak mahu kekecewaan berulang. Barangkali, banyak pemimpin Pas dewasa ini yang tidak tahu pun akan sejarah itu
.

Peristiwa Pas ditendang keluar dari BN itu berlaku pada tahun 1978, iaitu kira-kira 30 tahun lampau. Para pemimpin Pas yang berumur 50 tahun hari ini, masih belum boleh mengundi pada tahun itu. Itulah sebabnya mereka lupa akan peristiwa pahit seperti mana yang dialami Nik Aziz. Nik Aziz mengingatkan bahawa UMNO sekarang sedang hendak lemas dan memang perjuangan Pas untuk melemaskan UMNO, jadi mengapa hendak menarik UMNO agar tidak terus lemas
.

Percubaan-percubaan kuat pemimpin UMNO bercakap tentang semuka dengan Pas dilihat bermotif untuk menimbulkan perasaan curiga di antara Pas dan rakan sekutunya dalam PR iaitu PKR terutamanya. Tindakan ini adalah sebagai memulangkan paku buah keras UMNO kepada tindakan Anwar yang cuba untuk tidak menstabilkan BN melalui cakap-cakap MP mereka akan melompat parti.
Dengan berbuat demikian, UMNO mahu melihat perpaduan Pas-PKR pula tidak stabil dan Anwar pula kepanasan.

Saingan kepada UMNO dan BN akan mula dilenyapkan jika perpaduan Pas-PKR-DAP dapat dipatahkan. UMNO akan menang mudah di dalam pilihan raya akan datang. Maka banyak pendapat mengatakan bukanlah sangat UMNO ingin berpakat dengan Pas tetapi hanya ingin melihat kehancuran PR. Pas berpakat dengan UMNO bukan matlamatnya, matlamatnya, pakatan Pas dengan PKR mesti dileburkan. Sistem dua parti yang mula menampakkan potensi boleh dihanyutkan. Laluan BN seterusnya akan mudah
.

Projek PR kelihatan lebih ‘viable’ selepas debat petroleum baru-baru ini. Lebih ramai rakyat dikatakan bertambah yakin dengan kemampuan PR mengendalikan pentadbiran negara. Sementara itu, kejayaan tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor, tiga negeri termaju di Malaysia ditadbir dan diurus dengan sempurna dikatakan akan membuka mata rakyat keseluruhannya. Maka, keutuhan kerajaan-kerajaan negeri itu hendaklah dihancurkan segera melalui PAS diajak meninggalkan PR. Kerajaan Selangor dan Perak akan kehilangan majoriti kalau Pas bertindak keluar darinya. Sebab itu Pas dikatakan dijanji dengan habuan yang amat besa
r.

Memandangkan usaha ke arah perpaduan ini baik, eloklah ia diteruskan dan dilakukan secara terbuka dan sebagai permulaan, kerajaan pusat diminta segera membangunkan negeri-negeri di bawah kelolaan Pas sebagai bukti ia ingin meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat Islam. Itu membuktikan bahawa kepentingan umat diutamakan dan bukannya politik. Nik Aziz kesal pembinaan sebuah pasar yang hanya berharga RM8 juta di Pasir Mas dibatalkan kerana desakan politik. Bangunkah negeri-negeri yang ramai didiami orang Islam tanpa mengira apa fahaman politik mereka. Nawaitu, adalah segala-galanya
.

Dari segi strategi politik Islam, Pas dan UMNO tidak dikehendaki bersatu. Keduanya hendaklah bergerak seiring. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan lemah. Salah satu darinya tidak juga boleh dibiarkan lumpuh atau lemas.
Kedua-duanya hendaklah berkeadaan kuat dan hendaklah sering ingat mengingatkan.

Friday, July 18, 2008

DEBAT: SHABERY MENANG BESAR

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 18 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah


Berdasarkan maklumat diberi oleh pihak penganjur, Laman web Agendadaily, seramai 4.4 juta orang dianggar menonton debat di antara Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan de fakto ketua, Parti Keadilan Rakyat, PKR yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesten TV tanahair.

Angka itu tidak termasuk mereka yang menonton melalui skrin Internet seluruh dunia melalui beberapa laman web yang turut sama terlibat dalam siaran langsung. Debat itu menarik dan ramai orang terpukau. Rakyat dari pelbagai keturunan juga mengikuti debat ini jika ulasan-ulasan yang diberikan dalam laman-laman web dijadikan pedoman. Isu yang diketengahkan itu sememangnya satu isu yang sangat menyentuh rakyat semua lapisan masyarakat. Isu kenaikan harga pertroleum dan bagaimana dua pihak yang bertentangan menanganinya
.

Seperti biasa, kemampuan pendebat akan dinilai oleh penonton. Kita pasti telah membaca reaksi yang diberikan oleh mereka. Sebagaimana penulis membuat rumusan dalam satu artikel sebelum ini, rumusan kita akan didorong oleh emosi kita terhadap parti yang kita sokong
.

Kebanyakan orang yang berpihak kepada BN akan memberi ‘rating’ yang tinggi terhadap prestasi yang diberikan Shabery. Sama ada ‘rating’ yang diberikan itu wajar adalah cerita lain
.

Kita perhalusi reaksi yang diberikan oleh para pemimpin BN. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar menyatakan kandungan debat yang diberikan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata debat membuktikan Anwar memberi janji palsu daripada segi menurunkan harga petroleum. Beliau menambah, Anwar hanya temberang.


Nada sama diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz. Malah, apabila ditanya sanggupkah beliau berdebat dengan Anwar, beliau segera menjawab melalui pertanyaan, Dia tidak takut kerana pernah berdebat dengan Lim Kit Siang dan Karpal Singh dan maka itu, siapa Anwar! Sebetulnya, Nazri merupakan orang yang layak kerana dia berkedudukan sebagai menteri yang sangat kanan. Semoga satu debat dapat diadakan menemukan Nazri dan tokoh lain dalam Pakatan atau dengan Anwar sendiri kerana Nazri sanggup berdepan dengan beliau
.

Shabery lebih meyakinkan. Itu adalah pendapat yang diberikan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed, MP Pulai dari BN. Rakan beliau, K. Devamany, MP Cameron Highlands berkata debat malam itu adalah saksama dan persembahan Shabery lebih baik. “Anwar menggunakan debat itu sebagai satu pentas mendapatkan simpati orang ramai berkaitan pertandingan politik akan datang dan dia sendiri tidak tahu tentang masa depan politiknya.” Kata wakil rakyat itu
.

Itu adalah beberapa contoh pendapat yang diberikan tentang prestasi Shabery. Lain pula pendapat orang bertentangan pihak. MP DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Anwar memiliki kelebihan pada malam itu. Lim Kit Siang juga berpendapat sama dan menambah bahawa hujah Anwar amat meyakinkan. Namun, dia menganggap Shabery tidaklah mengecewakan sangat
.

Menteri Besar Kedah
, Datuk Seri Azizan berpendapat hujah Anwar amat meyakinkan terutamanya dari segi ekonomi. Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, MP Pas, Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melihat Anwar sebagai cukup bersedia dengan pelbagai fakta berkaitan isu ekonomi manakala Shabery lebih mempolitikkan isu berkenaan.

Begitulah orang politik sentiasa melihat sekeping duit syiling dari sudut dia berada. Pendirian mereka hendaklah dilihat dengan diskaun tertentu. Ramai orang mampu menilai sendiri prestasi para pendebat malam itu. Turut dinilai ialah prestasi moderator’ yang dilihat telah menjalankan tugas secara sangat adil. Cuma dapat dikesan perasaan kesal sebilangan penonton dengan sikap yang ditonjolkan oleh rakan Shabery yang diberi tanggungjawab membuat soalan kepada Anwar dan Shabery sendiri yang dikira telah tidak membantu menteri itu
.

Malah seorang graduan dari universiti di mana terjejas jika ukuran lulusan itu diasaskan kepada tanggapan NC berkaitan terkeliru dengan fakta bahawa harga petroleum juga berkaitan dengan harga gas yang dikenakan kepada pengeluar tenaga persendirian (IPP)
.

Apa pun penulis terpesona mengikuti perdebatan malam itu. Sehinggalah pada saat-saat akhir, penulis berasama sebilangan besar rakyat teratanya-tanya jadikah perdebatan ditunggu ramai itu. Apakah akan ada satu pembatalan pada saat akhir. Kemungkian berlakunya pembatalan pada saat akhir itu ada kerana sekurang-kurangnya terdapat satu hambatan besar yang dihadapi oleh salah seorang yang dijadualkan berdebat.
Surat waran tangkap sudah pun dikeluarkan pada petang itu untuk menahan Anwar.

Kekhuatiran ini tidak boleh ditolak kerana suatu ketika dulu pun terjadual satu debat agung diatur di antara Pas dan UMNO. Semua pihak telah bersetuju dengan tajuk, dengan kaedah debat, dengan moderator, dengan tempat dan barisan para pendebatnya. Anwar adalah salah seorang di antara orang dinamakan oleh UMNO sebagai pendebat untuk mewakili partinya. Akhbar-akhbar dan TV pada masa itu telah pun menyiarkan bentuk kerusi dan pentas yang disediakan. Akhirnya, majlis debat dibatalkan atas arahan Majlis Raja-Raja Melayu di atas alasan untuk menjaga keharmonian perpaduan Melayu dan Islam
.

Hanya bila debat bemula, kekhuatiran hilang. Penulis ikuti dengan amat. Setiap hujah diperhati. Penulis bersetuju dengan rumusan majoriti. Shabery menang besar
.

Penulis beri kemenangan kepada Shabery bukan kerana hujahnya. Hujahnya semua orang boleh dengar dan buat keputusan sendiri. Penulis bukan sahaja kagum dengan kesanggupannya berdepan dengan Anwar. Ramai lagi menteri kanan yang lebih layak tetapi takut menawarkan diri. Penulis kagum kerana semenjak dia menjadi Menteri penerangan sudah banyak perubahan dilakukannya.
Sekarang kita boleh menonton gelagat para pemimpin kita di parlimen melaui kaca TV. Kita tahu siapa dengan mudah menyebut perkataan ‘barua’ dan siapa yang boleh memberi isyarat lucah untuk bukan sahaja kita tonton tetapi anak-anak sekolah.

Dulu semuanya itu, semua perbahasan termasuk yang cerdik dan tidak cerdik, semuanya tidak disiarkan. Hanya propaganda kerajaan sahaja diberi tempat. Kita diberitahu oleh menteri-menteri penerangan sebelum ini bahawa kita belum mencapai tahap matang, kita belum cerdik. Rakyat kita dikatakan tidak mampu menilai dan mengawal perasaan. Kita diugutkan dengan kemungkinan berlakunya ledakan api perkauman. Kita dilaksanakan sebagai budak sekolah yang tidak boleh berfikir
.

Hanya Shabery sahaja dengan dasar terbuka yang diamalkan di kementeriannya dan sikap terbuka dengan sokongan padu Menteri Dalam Negeri, Hamid Albar yang memberikan kebebasan akhbar untuk bersuara.
Sekarang di bawah Hamid Albar, bukan sahaja akhbar-akhbar harian menjadi lebih bebas, akhbar-akhbar milik parti pembangkang juga mendapat ruang. Permit akhbar Harakah diberikan untuk diterbitkan dua kali seminggu berbanding hanya dua minggu sekali sebelum ini . PKR juga diizinkan menerbitkan risalahnya. Pendaftaran parti sosialis juga diluluskan.

Shabery meneruskan perjuangan mendapatkan kebebasan dan keadilan bersuara semenjak dia menjadi ‘student leader’ di Universiti Malaya, dulu, dan semasa berada di dalam Parti Semangat 46. Perjuangan itu terus dilaksanakan olehnya sebaik sahaja diberi tanggungjawab menjadi Menteri Penyiaran. Shabery memulakan satu tradisi baik dan itu amat disanjungi. Penulis berbangga mempunyai menteri seperti Shabery. Hanya beliau yang dapat melakukan itu yang gagal dibuat oleh Mohamed Rahmat, Kadir Sheikh Fadzil dan Zainuddin Maidin. Penulis angkat kopiah kepada beliau dan mengisyitiharkan beliau sebagai pemenang besar.

Wednesday, July 16, 2008

PERTIKAI EZAM MENENTANG RASUAH

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Rabu 16 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan oleh Sinar Harian Ahad 13 Julai sebagai berkata Ezam Mohd Nor, mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan tidak berhak menegur parti lain kerana beliau masih mentah dalam soal berpolitik.

Komen dari Nik Aziz itu datang selepas Ezam menyeru kepada para pemimpin Pas supaya berpegang kepada prinsip asal mencari kebenaran dan menegakkan keadilan Islam serta diminta tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) dan tidak terikut dengan gimik politik yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
.

Azmi Miah (Exco Pemuda UMNO) mendedahkan bahawa pada kemuncak ‘reformasi’ pada 1999, beliau akan menampar Ezam jika beliau tersua dengannya. Beliau menganggap Ezam sebagai penderhaka kepada parti. Sazmi geram kepada Ezam kerana baginya Ezam pernah menghina UMNO seolah-olah parti nasionalis ini amat bangsat martbatanya
.

Sazmi mendakwa, ketika negara berhempas pulas mengharungi cabaran krisis ekonomi yang begitu mencabar dengan nilai matawang jatuh teruk, indeks saham di BSKL menjunam ke paras di bawah 300 mata, ratusan syarikat muflis, Ezam dikatakan menjelajah dunia memburukkan Malaysia. Kritikan dan kutukan Ezam terhadap UMNO laksana tidak batasan dan sempadan
.

Penulis sendiri mengikuti perkembangan Ezam.
Ezam seorang pemuda cekal yang pandai berpidato. Jika kita mendengar suara Ezam tanpa melihat mukanya, kita boleh terkeliru, Ezamkah, Anwarkah yang bercakap berapi-api itu? Ezam dan Anwar memang tidak boleh dipisahkan. Seseorang tidak boleh dipersalahkan jika mereka mengandai bahawa Anwar adalah idola utama Ezam. Penampilannya persis Anwar.

Semasa Anwar dipecat Mahathir dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salahlaku seks, Ezam adalah paling terkemuka berada di barisan depan mempertahankan bosnya itu. Beliau menjelajah ke seluruh negara dan dunia menggembleng sokongan menentang Mahathir
.

Tentangannya terhadap Mahathir dan UMNO adalah keras. Beliau menganjurkan demonstrasi-demonstrasi bagi menyatakan sokongan kepada Anwar dan sebagai usaha membela Anwar. Beliau menyerang UMNO habis-habisan. Sazmi membangkitkan kembali tindakan Ezam inilah untuk menentang usaha membawa Ezam kembali menyertai UMNO. Banyak pula pemimpin tinggi UMNO membantah tindakan Datuk Seri Abdullah menerima Ezam tanpa terlebih dahulu merujuk kepada MT UMNO
.

Memang benar Ezam berupa ayam tambatan Anwar. Anwar memberikannya tanggungjawab besar. Seorang pemuda berumur 29 tahun sudahpun dibebankan dengan tugas menjadi Setiusaha Politik Menteri Kewangan sewaktu Anwar menjawat jawatan itu. Pelantikan Ezam banyak menimbulkan keresahan di kalangan penyokong Anwar yang lain tetapi Anwar tetapi memilih pemuda itu yang kemudiannya terkenal sebagai seorang pahlawan anti korupsi yang kental
.

Sazmi dalam satu kenyatannya pada pertengahan Jun lalu sewaktu isu penyertaan Ezam kembali ke dalam UMNO hangat dibincang, mencabar sesiapa sahaja untuk bertanyakan mana-mana pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan bagaimana Ezam diterjunkan ke dalam arus politik bahagian itu hanyalah kerana dia adalah menantu kepada Datuk Ghazi, ketua bahagian ketika itu yang sememangnya amat rapat dengan Anwar
.

Umum mengetahui betapa eratnya Ezam dengan Anwar dan menjadi amat hairan bagaimana berakhir dengan permusuhan kuat pula. Penulis sendiri sentiasa dihujani oleh pertanyaan yang inginkan jawapan bagaimana permusuhan Anwar dengan Ezam boleh berlaku. Mereka mahu tahu bagaimana Ezam yang sanggup bertemankan lipas dan tikus sewaktu ditahan di dalam lokap semata-mata mempertahankan Anwar boleh bertindak membenci Anwar pula
?

Kita imbas balik kenyataan-kenyataan Ezam. Penulis telah membuat carian dalam ‘youtube’ dan menemui berpuluh-puluh ucapan Ezam meliputi semua zaman, semasa ledakan reformasi, bertahun-tahun memimpin Keadilan, sewaktu berada di luar Keadilan dan selepas menyertai UMNO. Semua ini boleh ditonton oleh sesiapa sahaja. Kita boleh bedah isi jantung dan hati Ezam untuk menganalisis peribadi anak muda ini dan perjuangannya
.

“Saya berjanji kepada saudara-saudara sekalian, saya berikrar bersumpah depan kawan-kawan, apapun saya akan terus lawan. Sekuat mana pun tekanan dan tawaran mereka, saya akan terus lawan. Saudara, walau dalam penjara dan di luar penjara sekalipun, saya akan lawan dan lawan dan lawan habisan mereka. Ini janji saya peda mereka.


Itulah janji dan sumpah Ezam yang dikatakannya dibuat di depan ‘teman-teman’. Maka, mengapa sumpah ikrar itu dilanggar. Mesti ada sesuatu yang besar yang menyebabkan beliau sanggup mengingkari sumpahnya. Atau, seperti mana laporan Sinar Harian semalam (Selasa 15 Julai muka N3), Ezam adalah ‘makhluk yang suka bersumpah’ seperti yang didakwa oleh Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda Keadilan sekarang
.

Sebenarnya, sikap keras Ezam inilah yang menyebabkan dia berada dalam kedudukan yang tidak selesa sekarang. Kata-kata yang tersembur dari mulutnya mengguris hati lawan. Banyak kalangan UMNO yang masih menyimpan perasaan kecil hati dan marah di atas sikap Ezam yang bertindak menyerang parti itu tanpa batas. Dia banyak membuat laporan polis yang menjejaskan kewibawaan pimpinan UMNO. Dia pernah mendakwa memiliki sebanyak 6 kotak dokumen yang mengandungi bukti-bukti rasuah yang dilakukan oleh pucuk pimpinan UMNO. Itu cerita yang dijajanya
.

Malah sewaktu berada di luar Keadilan tetapi belum memasuki UMNO kembali beliau masih lantang menentang UMNO. Penulis telah menyusuri ‘youtube’ melalui http://youtube.com/watch?v=OQJTCggFTJM&feature=related dan menjumpai satu siri ucapan beliau yang dipecahkan kepada 7 bahagian yang setiap satunya selama 10 minit. Di situ dia menjelaskan
:

‘‘Saya ditanya, betul saudara nak masuk UMNO? Macam mana saya nak masuk UMNO? Saya paling kuat bagi laporan polis fasal pemimpin UMNO. Macam mana dia nak terima saya? Saya dah masuk penjara pun. Macam-macam saya dedah. Dia mendedahkan penderitaan berat yang ditanggungnya dan keluarganya kerana membuat laporan polis. Dia mencabar, “Kalau nak tahu, cuba buatlah laporan polis
.

Sewaktu berada di luar Keadilan pun dan berada di pentas Pas pula, beliau mendedahkan bahawa beliau akan mengemukakan dokumen kepada pimpinan BN berkaitan perbuatan rasuah para pemimpin BN bukan dari kalangan UMNO. Sebelum itu beliau pernah berjumpa PM menyerahkan satu dokumen setebal 632 muka bersama bukti-bukti tentang perbuatan rasuah dilakukan pemimpin. “Saya bagi bukti sekali. Takkan saya nak bagi surat khabar lama kepada PM, “ tegas beliau
.

Memahami Ezam dan sikap kerasnya, kita melihat Ezam meletakkan dirinya sendiri di dalam neraca. Sikapnya sekarang yang mula menghalakan serangan ke atas para pemimpin Keadilan, dan melupakan 6 kotak yang didakwanya berada dalam simpanannya dan melupakan dokumen yang dikatakannya berfakta yang bukannya surat khabar lama yang diserahkan kepada PM menyebabkan orang bertanya, ikhlaskah Ezam menentang rasuah? Wibawanya dipertikaikan kerana dia sekarang dituduh sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kembali hati UMNO. Atau, benarkah seperti kata Nik Aziz, Ezam belum matang
?

Lebih malang lagi sekarang terdapatnya suara-suara yang mempersoalkan tindakan Ezam mempertahanakan Anwar pada suatu masa dulu sedangkan beliau sendiri memiliki banyak rahsia tentang Anwar sebagaimana yang dia dakwa. Apakah prinsip yang dipegang Ezam, kebenaran atau memperlekehkan kebenaran demi mempertahankan seorang bos? Kalau begitu, berhakkah Ezam mengingatkan Nik Aziz untuk berpegang kepada prinsip kalau dia sendiri tidak berprinsip?

Sunday, July 13, 2008

MEMORANDUM DEDAH KELEMAHAN ISLAM

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Ahad 13 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Sebuah memorandum telah diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah beberapa hari lalu berhubung apa yang dikatakan ketidakperihatinan kerajaan negeri Selangor memberi lampu hijau terhadap pembinaan rumah-rumah ibadat agama lain tanpa sekatan walaupun di kawasan-kawasan yang didiami oleh pelbagai kaum. Memorandum itu juga ada menyebut tentang dakwaan berlakunya penyalahugunaan masjid bertujuan politik. Turut disebut ialah bantahan terhadap penilaian semula senarai bantuan penerima wang zakat Selangor.

Memorandum itu telah diserahkan oleh Timbalan Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) Datuk Abdul Rahman Palil yang mewakili lebih dari 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Abdul Rahman juga berupa ADUN Sementa. Kedudukan beliau sebagai ADUN memberi tempias bahawa tindakan ini mempunyai motif poliltik. Dulu Abdul Rahman pernah menjawat sebagai Exco bersangkutan agama. Beliau kehilangan jawatan itu ekoran kekalahan partinya, BN dalam PRU 12 lepas
.

Dari tiga isu dibangkitkan dalam memorandum itu tadi, penulis hanya akan mengulas tentang isu pertama sahaja, iaitu membantah tindakan kerajaan Selangor hari ini memberi ruang luas kepada pembinaan rumah ibadat agama lain.


Abdul Rahman membantah sikap terbuka kerajaan negeri Selangor hari ini terhadap permohonan pihak-pihak dari agama lain untuk membina rumah ibadat mereka. Ertinya, Abdul Rahman bersikap tidak terbuka. Dia tidak mahu rumah ibadat agama lain didirikan di kawasan-kawasan yang penduduknya berbilang kaum. Sebagai seorang Islam, Abdul Rahman berasa dia mempertahankan maruah agamanya jika tidak ada rumah ibadat lain di kawasan yang ada masjid.


Semasa Abdul Rahman menjadi anggota Exco di Selangor tercetus peristiwa perobohan Kuil Seri Maha Mariaman di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam. Kuil itu dirobohkan pada akhir Oktober 2007. Dalam peristiwa itu Majlis Bandaraya Shah Alam telah dituduh meroboh kuil yang berumur 40 tahun di tengah-tengah bantahan penganut agama itu. Seramai 20 orang termasuk empat orang peguam ditangkap dalam usaha mereka mempertahankan kewujudan kuil.
Suhakam dan beberapa organisasi agama bukan Islam membantah tindakan MBSA itu.

Selain masalah mendapatkan tapak membangun kuil, kejadian berebut-rebut mayat di antara waris si mati dengan pihak berwajib agama Islam di Malaysia sering mendapat liputan akhbar. Biasanya, si mati memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarga. Keluarga mengetahui bahawa si mati beragama Islam hanya apabila mayat juga dituntut oleh jabatan Agama Islam. Kes yang agak terkenal ialah membabitkan kematian pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy yang meninggal dunia secara mengejut pada usia 36 tahun. Mengikut JAWI, Moorthy memeluk agama Islam sedangkan keluarganya mendakwa beliau masih beragama asal, iaitu Hindu
.

Pada minggu lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang penjual mee bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) daripada menuntut mayat adiknya. Sementara menunggu proses rayuan, mahkamah membenarkan mayat si mati, Elangeswaran ditempatkan di Hospital Parit Buntar di mana ketika perbicaraan mayat itu sedang berada. Keluarga Elangeswaran menuntut supaya pihak JAIPP tidak mengganggu mereka menyempurnakan mayat itu mengikut agama Hindu
.

Mengikut rekod JAIPP, Elangeswaran telah memeluk agama Islam dan ada menyatakannya di dalam sekeping kertas bersaiz A4. Keluarga Elangeswaran menyangkal dakwaan JAIPP di atas alasan surat itu tidak bertandatangan atau mempunyai tanda cop carinya atau nama-nama saksi dan menganggap pemelukan itu tidak sempurna dan tidak sah.


Beberapa bulan sebelum kejadian ini, kita ketemui satu kes di mana Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan seorang pengurus pusat snuker menuntut mayat isterinya yang sebelum ini didakwa telah memeluk agama Islam. Hakim Lau Bee lan membuat keputusan itu di dalam kamarnya setelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyatakan tidak akan mengambil tindakan lanjut dan melepaskan segala tuntutan terhadap mayat Wong Sau Lan, 53 tahun. Penyiasatan MAIWP mendapati pemelukan agama Islam Wong tidak menepati kehendak Hukum Syarak
.

Laporan Bernama pada 17 Jun lalu menyebut peri seorang wanita Melayu yang meninggal dunia di Kampung Guar Musang pada 12 Jun dan dikebumikan secara agama Buddha. Itu dilakukan selepas Jabatan Agama Islam Perlis memutuskan bahawa wanita itu, Selimah Mat, 78, tidak lagi berpegang kepada agama Islam sungguhpun kad pengenalannya menyatakan dia beragama Islam. Adik Selimah, Rokiah mengesahkan bahawa kakaknya berkahwin dengan seorang beragama Buddha sewaktu berumur 16 tahun.


Terdapat beberapa kes lain seperti itu yang dilaporkan berlaku. Berapa banyak pula keadaan seperti itu yang wujud dan berlaku tetapi tidak dilaporkan tidaklah diketahui. Siti Fatimah, contohnya dilahirkan pada tahun 1978 kepada satu pasangan Islam tetapi dibesarkan oleh neneknya yang beragama Hindu.
Dia menganggapnya sebagai seorang Hindu dan pada 21 Mac 2001 membuat perakuan sumpah memperakukan dirinya seorang Hindu. Pada Mac, 10, 2004 dia berkahwin dengan seorang Hindu, Suresh a/l Veerapan. Pada 19 Disember 2005 dia melahirkan seorang bayi di Hospital Besar Melaka. Anaknya dikatakan diambil oleh pihak Jabatan Agama Islam.

Penulis dapati bahawa pihak berkuasa Islam amat berminat untuk ‘membela’ Islam ketika kes-kes berebut mayat. Mereka akan pergi ke mahkamah untuk menuntut mayat itu bagi mnyempurnakannya mengikut cara Islam. Hairannya, bagaimana boleh berlaku seorang wanita berumur lebih 70 tahun hidup di sebuah kampung Melayu tidak mengamalkan cara hidup Islam dan menziarahi kuil selama berpuluh-puluh tahun boleh dibiarkan berlaku di depan mata
?

Selain terdapatnya orang bukan Islam yang memeluk agama suci ini tanpa memberitahu anggota keluarga mereka , ramai di antara orang Islam pula, terutamanya wanita, bertindak bersekedudukan dengan bukan Islam dan perbuatan itu hanya diketahui selepas orang Islam itu mati. Ketika itu timbullah pihak berkuasa agama datang berebut mayat. Perbuatan bersekududkan itu tidak dikesan oleh masyarakat dan saudara mara
.

Perbuatan merebut mayat-mayat menyebabkan agama Islam dipandang serong oleh bukan Islam. Pihak berkuasa Islam dituduh bertindak zalim ke atas mereka. Bagi mereka, saudara mara mereka itu kalaupun pernah memeluk Islam tidak pula mengamalkan cara hidup Islam selepas itu. Mereka menganggap orang Islam salahguna kuasa dan menindas mereka
.

Tindakan Jabatan agama Islam Perlis dalam ‘membebaskan’ mayat Selamah tadi dan tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang tidak beberapa lama dulu yang membenarkan seorang mualaf, Siti Fatimah Tan Abdullah kembali kepada ajaran agama asalnya, Buddha sedikit sebanyak mereda sangkaan buruk yang diberikan kepada Islam. Fatimah Tan memeluk Islam pada tahun 1998 untuk membolehkannya berkahwin dengan seorang Islam. Dia bercerai akhirnya dan mengaku tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam
.

Kalau kita bergaul dengan bukan Islam dan berbicara dengan mereka secara rasional jelas akan terdapat satu gambaran diberikan mereka kepada Islam, iaitu agama yang menindas. Tindakan Abdul Rahman menyerahkan memorandum pasti akan dijadikan contoh atau bukti akan penindasan itu
.

Maka kita bertanya, bolehkah Islam berdiri tegak menjadi satu agama agung dan perkasa tanpa berusaha menyekat agama lain? Bolehkah kita bersaing dengan mereka? Kita perhatikan tindakan sebuah majlis daerah di Kelantan yang bertindak meroboh sebuah gereja yang didirikan oleh masyarakat orang Asli. Baru-baru ini kita terbaca satu lagi berita satu masyarakat orang Asli dari Suku Jahut yang menyeret Majlis Daerah Lipis ke mahkamah menuntut sebuah gereja yang mereka dirikan di Kampung Pusu dibekalkan dengan kemudahan api dan air. Sebelum itu gereja tersebut dirobohkan atas alasan ia dibina tanpa kebenaran. Gereja itu dibina kembali atas arahan mahkamah
.

Semua tindakan pihak berkuasa yang rata-rata dikepalai orang Islam ini dilihat sebagai satu kelemahan agama Islam untuk berdiri di atas kekuatannya sendiri. Tentu janggal bagi kita kerana kelihatan terlampau ghairah berebut satu mayat tetapi melupakan tugas kita memberi hidayah kepada ratusan ribu yang masih hidup. Kita memberi tumpuan kepada yang telah mati. Tidak malukah kita melihat bagaimana mubaligh Kristian sanggup masuk hutan berdakwah tetapi kita hanya mampu menyerahkan memorandum untuk menyekat orang lain beribadat sedangkan hak itu dibenarkan oleh perlembagaan kita? Kita berdakwah di sebuah kampung di Lipis pun sudah tidak larat
!

Apakah peranan kita sebagai pemimpin Islam? Apakah yang kita lakukan dulu semasa kita diberi peluang oleh rakyat menjadi pemimpin? Adakah kita sudah berusaha keras memberikan imej bahawa pimpinan kita adalah satu pimpinan Islam yang boleh dijadikan contoh dan dibanggakan oleh seluruh umat? Berusahakah kita menjadi seperti Umar Abdul Aziz? Berapa ramai orang bukan Islam tertarik dengan Islam hanya setelah menyaksi cara kita mentadbir Negara?. Atau, lebih buruk kiranya pimpinan kita adalah sesuatu yang korup sehinggakan agama Islam sendiri terpalit dengannya dan agama kita dihina?

Friday, July 4, 2008

KITA TIDAK BERSIKAP RASIONAL

Tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 4 Julai, 2008 muka N14

Oleh: Dr. Aisar Yee Abdullah

Insiden Memali berupa satu kejadian besar terjadi di Kampung Memali, Baling Kedah pada 19 November, 1985, lebih dua dekad lepas. Ramai orang sudah melupakannya. Ramai pula langsung tidak tahu menahu akan terjadinya kejadian itu. Dalam kejadian itu kira-kira 200 orang anggota polis telah mengepung kampung tersebut setelah menerima arahan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam (sekarang Tun).

Terdapat kira-kira 400 orang pengikut Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagi Ibrahim Libya mendiami kampung itu. Pertelingkahan politik yang meruncing di antara Pas dan UMNO menyebabkan suasana politik di situ menjadi panas. Pandangan-pandangan keras yang diajar oleh Ibrahim Libya kepada para pengikut terhadap UMNO memaksa pihak Pusat Islam mengharamkan ajaran itu. Ajaran Ibrahim dianggap melampau dan fanatik.


Ibrahim adalah seorang guru agama tempatan yang mendapat didikan dari Universiti Tripoli , Libya . Memandangkan pengharaman itu tidak dipedulinya, polis kemudian bertindak mahu menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mewujudkan suasana permusuhan dan persengkitaan sesama orang Islam. Dia enggan menyerah diri. Dia juga dituduh memberi perlindungan kepada dua orang bersaudara yang dikehendaki polis, iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit.


Para
pengikut Ibrahim bertindak untuk mempertahankan guru mereka dari serangan polis yang dihantar oleh Musa Hitam tadi. Perundingan di antara orang kampung dan polis bagi mendapatkan Ibrahim menyerah diri gagal. Orang kampung rela menghadapi pihak polis secara kekerasan. Mereka bersenjatakan pisau, beberapa senapang memburu tupai dan parang bertempur dengan polis yang bersenjatakan lengkap
.

Dalam pertempuran itu seramai 14 orang kampung dan 4 orang anggota polis terbunuh. Turut menemui ajal ialah Ibrahim. Mayat Ibrahim dan orang kampung disemadikan secara syahid dalam satu lubang kubur besar di Memali. Mayat anggota polis dibawa keluar dan disemadi di tempat masing-masing dengan penuh adat istiadat polis dan dianggap sebagai wira yang mati dalam menjalankan tugas untuk negara
.

Di sinilah timbulnya kontroversi. Majlis Agama Islam Kedah dalam fatwanya tidak menganggap kalangan yang mati dari penyokong Ibrahim itu sebagai syahid.
Kalangan para pemimpin Pas, dari semua peringkat menganggap mereka sebagai mati syahid. Penyokong Pas pun beranggapan begitu. Menariknya, seorang ulama yang berupa penyokong Pas yang menduduki Majlis Fatwa Kedah berpendapat berbeza dengan apa yang diputuskan oleh majlis itu. Pendiriannya sama dengan partinya. Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 4 Februari 1986 menganggap mereka sebagai tidak syahid. Kerajaan menganggap mereka sebagai penjenayah.


Haji Hadi seorang ulama, dia kata Ibrahim Libya mati syahid. Wan Mokhtar, Menteri Besar Terengganu ketika itu dari BN juga seorang ulama dan dia beranggapan Ibrahim tidak mati syahid. Pendirian ulama berbelah bahagi tentang isu ini. Pendirian mereka berpihak kepada kedudukan politik yang dia anuti. Kalau ulama UMNO, semuanya mengatakan tidak syahid begitu juga Pas yang menganggapnya sebagai syahid. Kalaulah Wan Mokhtar pemimpin PAS apa pula fatwanya? Kalaulah Hadi pemimpin UMNO bagaimana agaknya fatwa beliau?


Nah, kita lihat kerasionalan kita diputuskan oleh pendirian politik kita. Kita ketepikan fakta. Kita ketepikan kitab agama. Kita pentingkan pegangan parti kita. Masing-masing ada nas tersendiri untuk meperkuatkan hujah. Kita cari nas dan fakta yang hanya boleh digunakan untuk berpihak kepada kita. Kita kesampingkan fakta sungguhpun banyak fakta terdedah kepada kita.


Kisah itu berlaku lebih dari dua dekad lalu.
Hari ini kita berdepan dengan kedudukan yang sama. Dilema sama dan cara berfikir dan bertindak kita pun masih sama.


Kira-kira 10 tahun yang lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh melakukan perbuatan liwat. Dia dibicarakan dan dihukum. Para pendokong UMNO menganggap hukuman itu membuktikan Anwar sebagai seorang homoseksual. Pengikut Anwar enggan menerima hukuman itu dan menganggap hukuman itu dijatuhkan oleh sebuah mahkamah yang tidak adil. Pendirian sama ada Anwar seorang homoseksual atau tidak ditentukan oleh parti mana kita sokong.


Apabila Anwar dibebaskan dari tuduhan selepas mengemukakan rayuan yang dibuat oleh Mahkamah yang iklim kebebasannya mula kelihatan pada masa itu, para penyokong Anwar menganggap itu sebagai bukti Anwar tidak bersalah. Mereka yang menyokong BN tetap beranggapan Anwar sebagai seorang homoseksual yang dibebaskan oleh Mahkamah hanya kerana bukti tidak cukup. Imej homoseksual yang diberikan mereka kepada Anwar mereka kekalkan.


Sepuluh tahun selepas peristiwa pertama Anwar itu berlaku, ia berulang lagi tahun ini. Sekali lagi Anwar dituduh melakukan perbuatan keji itu. Sekali lagi kita dapat tonton reaksi sama dari para pendokong parti berlainan. Mereka yang kurang selesa dengan pemerintahan BN tanpa berfikir panjang mengisyitiharkan Anwar tidak bersalah dan menjadi mangsa satu konspirasi lagi. Mana mungkin seorang tua berumur 61 tahun yang sakit pinggang yang fikirannya masih diselubungi fobia dipukul lumat sampai lebam mata, hampir patah pinggang dan pengsan dua hari oleh polis dengan tangan bergari dan mata terikat masih teringin menyempurnakan tuntutan syahwatnya cara begitu. Itu hujah mereka.


Lain pula pandangan pengikut BN. Seseorang yang nafsunya memuncak tentu tidak memikirkan lagi risikonya. Mereka menghujah seorang homoseksual seperti Anwar pasti sanggup melakukan itu tanpa menghiraukan akibatnya. Mereka membuat andaian bahawa Anwar itu adalah seorang homoseksual kerana dia pernah dituduh begitu oleh kerajaan dulu dan pelepasannya oleh mahkamah rayuan hanyalah dari segi teknikal sahaja. Golongan ini mudah membuat andaian. Sekali dituduh melakukan perbuatan liwat sudah tersedia dicop sebagai homoseksual yang habitual selama-lamanya.


Sebelum kejadian yang melibatkan Anwar ini, terjadi lagi satu tuduhan lain, iaitu yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin yang menuduh isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah sebagai terlibat secara langsung dengan pembunuhan Altantuya. Apakah reaksi mereka yang menyokong pembangkang? Ya, Sah Rosmah terlibat.
Mereka membuat keputusan itu hanya bersandarkan sekeping perakuan sumpah. Mudahnya! Mereka tidak lagi memperincikan motif dan menuntut bukti lanjut. Apakah ironinya?


Ironinya, kalau kita orang BN kita akan tolak perakuan sumpah itu. Kita kata mana bukti? Surat sumpah sahaja tidak cukup! Siapa-siapa pun boleh buat surat sumpah. Bila ada orang kata Anwar liwat orang, kalau kita orang BN, kita kata, memang Anwar buat kerja itu. Buktinya? Orang itu sudah buat laporan. Tidak pula kita kata siapa-siapa sahaja boleh buat tuduhan.


Sebaliknya, kalau kita menyokong Anwar pasti kita kata Rosmah terlibat. Buktinya, perakuan sumpah yang dibuat oleh RPK. Kita sebaliknya menolak laporan yang dibuat oleh Saiful sebagai palsu dan tidak mencukupi untuk mensabitkan keyakinan kita bahawa Anwar seorang peliwat. Kita akan berkeras-keras mempertahankan Anwar dengan berkata mana mungkin seorang pemuda berbadan sasa ketinggian 6 kaki boleh dimamah oleh seorang lelaki tua yang sakit pinggang. Lagipun, takklah pemuda tu menonggeng keras macam batu menunggu. Ada saja alasan kita. Bila kes Rosmah kita terima akuan itu bulat-bulat.


Di dalam mana-mana tuduhan yang dibuat oleh sesiapa, hanya pihak yang berkuasa boleh menentukan kebenaran. Kebenaran tidak boleh ditentukan oleh parti politik atau pengikut masing-masing. Kalau ia kes polis, serahkan ia kepada polis kemudian mahkamah menentukannya.


Maka tentulah amat pelik jika ada orang apabila mengulas kes Anwar berkata, “pasti orang yang dituduh akan menafikannya. Itu lazim dibuat oleh sesiapa yang menghadi tuduhan. Biarlah polis yang menentukan selepas disiasat”. Kita dapati orang lagi pelik bila orang sama juga memberikan komen berlainan apabila tuduhan dibuat terhadap Rosmah. Secara pantas dia menjawab, “Rosmah tidak bersalah. Saya kenal dia, saya kenal Najib.” Tidak pula dia berkata lazimlah orang yang dituduh itu akan menafikannya dan tidaklah pula dia menyatakan biarlah polis yang menentukan sama ada Rosmah bersalah atau tidak. Jawapan ini nyata didorong oleh pendirian parti.


Lebih berbahaya kalau komen itu datangnya dari orang yang berkuasa. Komen sedemikian boleh dibaca sebagai satu isyarat kepada pihak polis supaya tidak meneruskan penyiasatan kerana itulah kehendak orang atas. Sesiapa sahaja kita, berkuasa atau tidak, biarkanlah polis menjalankan tugas mereka dengan saksama kepada semua.


Sebelum kejadian tuduhan bersumpah ini dibuat kepada Najib dan Rosmah, kita juga dikejutkan dengan kes video Lingam. Sesiapa yang mengikuti perkembangan kes ini pasti akan membuat rumusan masing-masing. Para penyokong Tun Mahathir menganggap Lingam sebagai seorang pemabuk yang berborak egoistik tentang kemampuannya menentukan kedudukan hakim. Mereka mungkin juga berkata orang itu kelihatan macam Lingam, bunyi macam Lingam tetapi pastinya bukan Lingam. Keputusan Inkuiri pun ditolak mereka.


Mereka yang menentang Mahathir pasti pada peringkat awal-awal lagi semasa pita ini mula dikemukakan oleh Anwar sudah pun membuat rumusan bahawa Mahathir telah mempengaruhi penghakiman mahkamah dan Mahathir melantik hakim yang disukainya sahaja ke jawatan lebih tinggi. Adanya pita itu adalah bukti. Sama ada pita itu disunting atau tidak, tidak penting bagi mereka. Rumusan sudah dibuat.


Sebenarnya, pada pihak mana kita berada, kita bersikap tidak rasional. Kita cenderung mengenepikan kebenaran. Kita lebih berat untuk berpihak kepada pendirian parti pilihan kita.

Wednesday, July 2, 2008

KETUANAN MELAYU, KERJASAMA PAS-UMNO PERLU

Tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 02 Julai, 2008 muka N14

Oleh: Dr Aisar Yee Abdullah

Penulis enggan menganalisis tentang tuduhan liwat terbaharu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sungguhpun penulis sedar inilah hal yang hendak dibaca orang. Penulis meluat, penulis meluat kepada Anwar jika tuduhan itu benar-benar berasas. Apakah selepas memasuki penjara enam tahun, dipukul hingga cedera sampai hendak patah pinggang, lebam biji mata dan selepas bertahun-tahun berhempas pulas mempertahankan diri di mahkmah, dia sanggup melakukan perbuatan keji ini? Kalau tuduhan itu tidak benar, penulis meluat kepada orang yang menuduhnya dan sesiapa sahaja orang di belakangnya yang tidak sudah-sudah bertindak seolah-olah rakyat negara ini bodoh.

Penulis ingin mengingatkan bahawa melakukan perbuatan liwat adalah dosa besar. Menuduh orang melakukan liwat tanpa memberikan bukti sahih juga satu dosa besar yang menyebabkan orang yang memfitnah boleh dikenakan hukum secara qazaf, iaitu salah satu hukum hudud Allah (Surah An-Nuur 24:4).


Maka, penulis akan membicarakan topik yang amat rapat hendak hati orang Melayu, iaitu perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu.


Perhatian penulis kepada debat di antara Ketua Pemuda Pas, Sallehuddin Ayub dan Datuk Sharir Samad, terganggu dengan satu panggilan telefon. Kesanggupan si pemanggil mendapatkan penulis ketika debat itu sedang berlangsung panas memperlihatkan sikap cemas yang ada padanya.


Mengikut beliau, berita itu mengejutkan beliau dan beliau bimbang jika ia benar-benar terjadi. Berdasarkan ceritanya, kebenaran berita itu sudah pun disahkan oleh Datuk Hassan Mohd Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor. “Datuk Hassan sendiri yang sahkan kepada Haji Hashim. Antum tahu siapa Datuk Hassan dan siapa pula Haji Hashim.” kata belia
u.

Benar, kedua-dua tokoh itu saya kenal.


Beliau bercerita panjang menyebabkan saya tidak lagi mampu memberikan tumpuan kepada debat yang membicarakan isu kenaikan harga petroleum. Saya terpaksa melayan panggilan telefon kawan saya ini. Dulu pun dia sentiasa bersama saya ke mana-mana. Ceritanya berkisar kepada ‘persetujuan’ Pas untuk bekerjasama dengan UMNO demi mengukuhkan ketuanan Melayu yang mula dikatakan menjadi lemah pada masa akhir-akhir ini
.

Dia sebenarnya tidak mahu percaya dengan cerita yang dibawa oleh Haji Hashim itu. Namun, kedudukan perhubungan beliau dengan Haji Hashim begitu akrab. Mereka sama-sama mengerjakan solat Zohor dan Asar di Masjid Bandar Utama hampir setiap hari.
Mereka datang dan pulang bersama menaiki kereta sama. Pejabat mereka berdekatan. Pada waktu solat Subuh, Maghrib dan Isyak mereka bersama lagi di masjid itu. Pasti apa yang dicakap oleh Haji Hashim itu benar. Apalagi, Datuk Hassan Ali pun seringkali solat bersama mereka.

Penulis benarkan dia bercerita dulu. Dia menjelaskan bahawa Pas telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO bersandarkan alasan akhafu al-darurain, iaitu memilih yang ringan mudaratnya ketika berhadapan dengan dua pilihan yang tidak menguntungkan. Berdasarkan hukum ini, Pas dikehendaki memilih UMNO dan membatalkan kerjasama dengan DAP kerana bekerjasama dengan DAP merugikan Pas dan Islam. UMNO sebaliknya, sungguhpun berupa seteru Pas, tetapi ia adalah musuh yang kurang berbahaya untuk dijadikan rakan berbanding DAP.


Kerjasama itu telah pun dipersetujui oleh Pas dan Nasharuddin telah pun berangkat ke London bertemu Datuk Seri Najib. Nik Aziz telah setuju dan Haji Hadi pun begitu. Semua yang dikatakan ‘fakta’ ini telah disahkan oleh Datuk Hassan kepada Haji Hashim. Haji Hashim telah pergi ke pejabat Datuk Hassan di Shah Alam kerana ingin mendapat pengesahan. Sebenaranya dia boleh tunggu pada waktu solat Maghrib hari sama untuk bertanyakan Datuk Hassan apabila mereka mengerjakan solat berjemaah di masjid berdekatan rumah mereka. Haji Hashim tidak sabar-sabar.


“Bagaimana pendapat abang? Saya tak nak percaya tetapi Datuk Hassan sendiri sahkan fakta itu kepada Haji Hashim.” Jelas rakan tadi. “Nah, kalau Datuk Hassan yang dah sahkan, maka antum raikan sajalah, “ kata penulis untuk menguji beliau. Dia membantah keras unjuran penulis. Penulis memberitahunya bahawa khabar seperti itu sudah pun penulis dengar lama dulu, sejurus selepas pilihan raya lagi. Ketika itu penulis diberitahu bahawa Pas telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan UMNO telah menawarkan jawatan MB kepada Hassan Ali, di Selangor dan Mohammad Nizar di Perak.


Jawapan penulis kepadanya ringkas, “Apa jadi pun, perkara itu tidak mungkin berlaku.” “Tetapi bang, Nik Aziz sendiri telah bersetuju untuk bekerjasama. Majlis syura pun bersetuju juga” dia cuba berhujah dengan penulis sambil memetik kata-kata yang kononnya datang dari Hassan Ali melalui Haji Hashim tadi. Sekali lagi penulis jawab tidak mungkin. Nik Aziz ada di Mekah ketika itu mengerjakan umrah. Tidak mungkin Dewan Syura bermesyuarat tanpanya kerana perkara itu penting tetapi bukan mendesak sangat.


Agak lega sedikit beliau mendengar penjelasan penulis tetapi bertanya penulis kenapa Hassan Ali mengesahkan perkara itu sebagai betul dan tentunya Hassan Ali tidak akan berbohong dengan Haji Hashim. Penulis tidak dapat menjawab soalan itu dan berjanji akan bertanyakan sendiri dengan Hassan Ali bila bertemu di mana-mana nanti.


Benar, tekaan penulis tepat kerana sewaktu bertembung dengan Hassan Ali penulis bertanyakan hal itu dan dia menafikan persetujuan dicapai. “Kenapa Datuk beritahu Haji Hashim lain?” Dia hanya ketawa dan tersenyum lebar . Katanya Haji Hashim itu lurus bendul orangnya dan dia hanya melihat reaksi dia sahaja. Persahabatan mereka terlalu rapat.


Hassan Ali telah pun menerangkan keadaan sebenar kepada Haji Hashim apabila didengarnya Haji Hashim mula merungut kepada beberapa orang lain tentang itu. Cuma rakan penulis tidak sedar tentang penjelasan yang dibuat oleh Hassan Ali kepada Haji Hashim.


Desas-desus tentang kerjasama Pas-UMNO ini bertiup kencang dan hangat diperkatakan oleh kalangan Pas terutamanya. Idea ini bagi penulis dicetuskan oleh beberapa kalangan pemimpin UMNO peringakat pertengahan yang terlampau bimbang dengan keadaan politik tanahair di mana orang Melayu menjadi terpinggir, kehilangan kuasa. Kuasa mereka terhakis dengan nyata di Pulau Pinang , Perak dan Selangor.
Kaum itu kehilangan beberapa kerusi exco di setiap negeri tersebut. Kerusi itu sekarang sudah dirampas orang, terutamanya oleh DAP. Atau ia dicipta untuk mengguggat perpaduan PR, iaitu mencetus kecurigaan sesama mereka.

Dari situlah juga timbulnya teori akhafu al darurain tadi. Pas diminta meninggalkan kerjasama dengan DAP dan PKR dan mengambil UMNO sebagai temannya dengan memperakui bahawa UMNO adalah rakan yang kurang mudaratnya kalau pun PAS beranggapan UMNO itu seteru besar. Kerajaan negeri di Perak dan Selangor mengambil masa yang lama untuk dibentuk dan ada pendapat mengatakan ini terjadi kerana adanya rundingan-rundingan di antara PAS dan UMNO untuk bekerjasama membentuk kerajaan.


Isu Melayu sekarang bukanlah isu masalah negara tetapi lebih kepada isu survival parti terbesar Melayu, UMNO. Lantaran itu, apakah rasional PAS untuk meletakkan partinya dalam keadaan rumit melalui bekerjasama dengan UMNO. Penjelasan Nik Aziz tepat: Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan UMNO, jahanam, habislah…bahkan Muktamar Pas yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.


“Pas tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada UMNO, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebaikan rakyat,” tegas Mahfuz Omar, juga menafikan adanya kerjasama itu. Haji Hadi, Nasharuddin semuanya turut menafikan.


Pasti orang bertanya, perlukah Pas bersikap angkuh dan menjual mahal sedangkan ketuanan Melayu sekarang berada di tahap kritikal. Di manakah kepentingan survival Melayu dan Islam yang juga diperjuangkan oleh Pas?


Pas pula sementara itu ingin mempersoalkan keikhlasan UMNO memintanya untuk bergabung pada masa ini. Pas sentiasa mengingatkan UMNO bahawa gesaan ‘bersatu’ ini telah dibuat setiap kali UMNO berkeadaan tersepit. Apabila UMNO kuat, Pas dilupakan dan dicemoh.


Adalah rumit pada peringkat ini bagi Pas dan UMNO untuk bercakap dan bertindak untuk bekerjasama. Kerjasama UMNO-Pas di Perak dan Selangor akan hanya membentuk satu kerajaan Melayu. Orang bukan Melayu nanti tidak akan mempunyai tempat dalam kerajaan itu kerana di Selangor calon bukan Melayu BN kalah semua kecuali satu dan kedaan hampir sama berlaku di Selangor. Membentuk kerajaan Melayu bererti memisahkan pentadbiran negeri dari kaum lain yang bilangan mereka cukup besar.


Trend ini sebenarnya sedang berlaku sekarang. Kalau Pas meninggalkan PR di peringkat pusat, PR akan menjadi sebuah pakatan majoriti bukan Melayu. Keadaan akan bertambah buruk jika SAPP, UPKO, PBS dan beberapa parti lain bukan Melayu di Sabah dan Sarawak meninggalkan BN sebagaimana didakwa Anwar. Terdapat juga dakwaan beberapa orang MP Gerakan dan MCA akan menyertai PR. Apakah hasilnya? Satu pihak, kerajaan didokong oleh orang Melayu dan pihak satu lagi oleh bukan Melayu
.

Paling penting jika polarisi itu berlaku, kepercayaan bukan Melayu terhadap BN akan terhakis di mana UMNO akan dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan multi-rasial dengan meminggirkan bukan Melayu dan perpecahan besar berlaku di dalam Pas dan bukan Melayu yang pertama kalinya menyokong Pas baru-baru ini tidak akan percaya lagi kepada Pas sampai bila-bila. Kebanyakan orang akan bertindak melalui garisan perkauman.


Jika ini terjadi, negara boleh hancur. Kekacauan akan melanda. Kestabilan tergugat. Para pelabur yang sekarang ini sudahpun lebih selesa memilih Vietnam berbanding kita, maka yang ada pun, akan mula menanggalkan skru dan nat pada jentera di kilang untuk berpindah ke negara lain. Itu akibatnya. Kita tidak boleh sekali-kali bermain politik perkauman. Politik kita berasaskan berbilang kaum. Sistem ini diasaskan dengan jayanya oleh bapa kemerdekaan kita Tunku dan Tun Abdul Razak.
Sistem dua parti, di mana adanya BN dan PR baik.

Sebenarnya, UMNO boleh memperkasakan ketuanan Melayu jika pada selepas 8 Mac lalu meminta beberapa orang ADUNnya menyertai Pas bagi memperkukuhkan parti itu untuk berunding dengan rakannya-rakannya yang lain dalam PR mendapatkan kuasa yang lebih bagi kaum yang diwakiliya, Melayu. Pada ketika itu, sertailah Pas buat seketika demi strategi mendaulatkan kuasa Melayu. Kalau 10 orang ADUN UMNO di Perak menyertai Pas, tidak kuatkah Mohammad Nizar dan bermayakah lagi DAP menuntut bukan-bukan? Theresa Kok tidak akan menjadi Exco kanan kalau Khir Toyo bertindak strategik meminta dua tiga orang ADUNnya membantu Pas demi Melayu. Bolehkah dikatakan bahawa UMNO hanya mahu menjatuhkan kerajaan PR tetapi tidak serius memikirkan tentang usaha memantapkan ketuanan Melayu?


Seperti penulis katakan di atas, ADUN Pas tidak boleh memasuki UMNO bagi mengelakkan iklim politik Malaysia menjadi perkauman tetapi dua tiga orang ADUN UMNO boleh bertindak masuk sebagai tindakan strategik untuk mempunyai kuasa runding yang lebih kuat. Kemasukan ADUN-ADUN itu tidak menjejaskan iklim politik negara. Sebenarnya, bagi penulis, UMNO perlukan Pas dan Pas pula perlukan UMNO tetapi mereka tidak perlu bersatu.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger