Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Ahad 13 Julai, 2008 muka N14
Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
Sebuah memorandum telah diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah beberapa hari lalu berhubung apa yang dikatakan ketidakperihatinan kerajaan negeri Selangor memberi lampu hijau terhadap pembinaan rumah-rumah ibadat agama lain tanpa sekatan walaupun di kawasan-kawasan yang didiami oleh pelbagai kaum. Memorandum itu juga ada menyebut tentang dakwaan berlakunya penyalahugunaan masjid bertujuan politik. Turut disebut ialah bantahan terhadap penilaian semula senarai bantuan penerima wang zakat Selangor.
Memorandum itu telah diserahkan oleh Timbalan Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) Datuk Abdul Rahman Palil yang mewakili lebih dari 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Abdul Rahman juga berupa ADUN Sementa. Kedudukan beliau sebagai ADUN memberi tempias bahawa tindakan ini mempunyai motif poliltik. Dulu Abdul Rahman pernah menjawat sebagai Exco bersangkutan agama. Beliau kehilangan jawatan itu ekoran kekalahan partinya, BN dalam PRU 12 lepas.
Dari tiga isu dibangkitkan dalam memorandum itu tadi, penulis hanya akan mengulas tentang isu pertama sahaja, iaitu membantah tindakan kerajaan Selangor hari ini memberi ruang luas kepada pembinaan rumah ibadat agama lain.
Abdul Rahman membantah sikap terbuka kerajaan negeri Selangor hari ini terhadap permohonan pihak-pihak dari agama lain untuk membina rumah ibadat mereka. Ertinya, Abdul Rahman bersikap tidak terbuka. Dia tidak mahu rumah ibadat agama lain didirikan di kawasan-kawasan yang penduduknya berbilang kaum. Sebagai seorang Islam, Abdul Rahman berasa dia mempertahankan maruah agamanya jika tidak ada rumah ibadat lain di kawasan yang ada masjid.
Semasa Abdul Rahman menjadi anggota Exco di Selangor tercetus peristiwa perobohan Kuil Seri Maha Mariaman di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam. Kuil itu dirobohkan pada akhir Oktober 2007. Dalam peristiwa itu Majlis Bandaraya Shah Alam telah dituduh meroboh kuil yang berumur 40 tahun di tengah-tengah bantahan penganut agama itu. Seramai 20 orang termasuk empat orang peguam ditangkap dalam usaha mereka mempertahankan kewujudan kuil. Suhakam dan beberapa organisasi agama bukan Islam membantah tindakan MBSA itu.
Selain masalah mendapatkan tapak membangun kuil, kejadian berebut-rebut mayat di antara waris si mati dengan pihak berwajib agama Islam di Malaysia sering mendapat liputan akhbar. Biasanya, si mati memeluk agama Islam tanpa pengetahuan keluarga. Keluarga mengetahui bahawa si mati beragama Islam hanya apabila mayat juga dituntut oleh jabatan Agama Islam. Kes yang agak terkenal ialah membabitkan kematian pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy yang meninggal dunia secara mengejut pada usia 36 tahun. Mengikut JAWI, Moorthy memeluk agama Islam sedangkan keluarganya mendakwa beliau masih beragama asal, iaitu Hindu.
Pada minggu lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan seorang penjual mee bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) daripada menuntut mayat adiknya. Sementara menunggu proses rayuan, mahkamah membenarkan mayat si mati, Elangeswaran ditempatkan di Hospital Parit Buntar di mana ketika perbicaraan mayat itu sedang berada. Keluarga Elangeswaran menuntut supaya pihak JAIPP tidak mengganggu mereka menyempurnakan mayat itu mengikut agama Hindu.
Mengikut rekod JAIPP, Elangeswaran telah memeluk agama Islam dan ada menyatakannya di dalam sekeping kertas bersaiz A4. Keluarga Elangeswaran menyangkal dakwaan JAIPP di atas alasan surat itu tidak bertandatangan atau mempunyai tanda cop carinya atau nama-nama saksi dan menganggap pemelukan itu tidak sempurna dan tidak sah.
Beberapa bulan sebelum kejadian ini, kita ketemui satu kes di mana Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan seorang pengurus pusat snuker menuntut mayat isterinya yang sebelum ini didakwa telah memeluk agama Islam. Hakim Lau Bee lan membuat keputusan itu di dalam kamarnya setelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyatakan tidak akan mengambil tindakan lanjut dan melepaskan segala tuntutan terhadap mayat Wong Sau Lan, 53 tahun. Penyiasatan MAIWP mendapati pemelukan agama Islam Wong tidak menepati kehendak Hukum Syarak.
Laporan Bernama pada 17 Jun lalu menyebut peri seorang wanita Melayu yang meninggal dunia di Kampung Guar Musang pada 12 Jun dan dikebumikan secara agama Buddha. Itu dilakukan selepas Jabatan Agama Islam Perlis memutuskan bahawa wanita itu, Selimah Mat, 78, tidak lagi berpegang kepada agama Islam sungguhpun kad pengenalannya menyatakan dia beragama Islam. Adik Selimah, Rokiah mengesahkan bahawa kakaknya berkahwin dengan seorang beragama Buddha sewaktu berumur 16 tahun.
Terdapat beberapa kes lain seperti itu yang dilaporkan berlaku. Berapa banyak pula keadaan seperti itu yang wujud dan berlaku tetapi tidak dilaporkan tidaklah diketahui. Siti Fatimah, contohnya dilahirkan pada tahun 1978 kepada satu pasangan Islam tetapi dibesarkan oleh neneknya yang beragama Hindu. Dia menganggapnya sebagai seorang Hindu dan pada 21 Mac 2001 membuat perakuan sumpah memperakukan dirinya seorang Hindu. Pada Mac, 10, 2004 dia berkahwin dengan seorang Hindu, Suresh a/l Veerapan. Pada 19 Disember 2005 dia melahirkan seorang bayi di Hospital Besar Melaka. Anaknya dikatakan diambil oleh pihak Jabatan Agama Islam.
Penulis dapati bahawa pihak berkuasa Islam amat berminat untuk ‘membela’ Islam ketika kes-kes berebut mayat. Mereka akan pergi ke mahkamah untuk menuntut mayat itu bagi mnyempurnakannya mengikut cara Islam. Hairannya, bagaimana boleh berlaku seorang wanita berumur lebih 70 tahun hidup di sebuah kampung Melayu tidak mengamalkan cara hidup Islam dan menziarahi kuil selama berpuluh-puluh tahun boleh dibiarkan berlaku di depan mata?
Selain terdapatnya orang bukan Islam yang memeluk agama suci ini tanpa memberitahu anggota keluarga mereka , ramai di antara orang Islam pula, terutamanya wanita, bertindak bersekedudukan dengan bukan Islam dan perbuatan itu hanya diketahui selepas orang Islam itu mati. Ketika itu timbullah pihak berkuasa agama datang berebut mayat. Perbuatan bersekududkan itu tidak dikesan oleh masyarakat dan saudara mara.
Perbuatan merebut mayat-mayat menyebabkan agama Islam dipandang serong oleh bukan Islam. Pihak berkuasa Islam dituduh bertindak zalim ke atas mereka. Bagi mereka, saudara mara mereka itu kalaupun pernah memeluk Islam tidak pula mengamalkan cara hidup Islam selepas itu. Mereka menganggap orang Islam salahguna kuasa dan menindas mereka.
Tindakan Jabatan agama Islam Perlis dalam ‘membebaskan’ mayat Selamah tadi dan tindakan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang tidak beberapa lama dulu yang membenarkan seorang mualaf, Siti Fatimah Tan Abdullah kembali kepada ajaran agama asalnya, Buddha sedikit sebanyak mereda sangkaan buruk yang diberikan kepada Islam. Fatimah Tan memeluk Islam pada tahun 1998 untuk membolehkannya berkahwin dengan seorang Islam. Dia bercerai akhirnya dan mengaku tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam.
Kalau kita bergaul dengan bukan Islam dan berbicara dengan mereka secara rasional jelas akan terdapat satu gambaran diberikan mereka kepada Islam, iaitu agama yang menindas. Tindakan Abdul Rahman menyerahkan memorandum pasti akan dijadikan contoh atau bukti akan penindasan itu.
Maka kita bertanya, bolehkah Islam berdiri tegak menjadi satu agama agung dan perkasa tanpa berusaha menyekat agama lain? Bolehkah kita bersaing dengan mereka? Kita perhatikan tindakan sebuah majlis daerah di Kelantan yang bertindak meroboh sebuah gereja yang didirikan oleh masyarakat orang Asli. Baru-baru ini kita terbaca satu lagi berita satu masyarakat orang Asli dari Suku Jahut yang menyeret Majlis Daerah Lipis ke mahkamah menuntut sebuah gereja yang mereka dirikan di Kampung Pusu dibekalkan dengan kemudahan api dan air. Sebelum itu gereja tersebut dirobohkan atas alasan ia dibina tanpa kebenaran. Gereja itu dibina kembali atas arahan mahkamah.
Semua tindakan pihak berkuasa yang rata-rata dikepalai orang Islam ini dilihat sebagai satu kelemahan agama Islam untuk berdiri di atas kekuatannya sendiri. Tentu janggal bagi kita kerana kelihatan terlampau ghairah berebut satu mayat tetapi melupakan tugas kita memberi hidayah kepada ratusan ribu yang masih hidup. Kita memberi tumpuan kepada yang telah mati. Tidak malukah kita melihat bagaimana mubaligh Kristian sanggup masuk hutan berdakwah tetapi kita hanya mampu menyerahkan memorandum untuk menyekat orang lain beribadat sedangkan hak itu dibenarkan oleh perlembagaan kita? Kita berdakwah di sebuah kampung di Lipis pun sudah tidak larat!
Apakah peranan kita sebagai pemimpin Islam? Apakah yang kita lakukan dulu semasa kita diberi peluang oleh rakyat menjadi pemimpin? Adakah kita sudah berusaha keras memberikan imej bahawa pimpinan kita adalah satu pimpinan Islam yang boleh dijadikan contoh dan dibanggakan oleh seluruh umat? Berusahakah kita menjadi seperti Umar Abdul Aziz? Berapa ramai orang bukan Islam tertarik dengan Islam hanya setelah menyaksi cara kita mentadbir Negara?. Atau, lebih buruk kiranya pimpinan kita adalah sesuatu yang korup sehinggakan agama Islam sendiri terpalit dengannya dan agama kita dihina?
Sunday, July 13, 2008
MEMORANDUM DEDAH KELEMAHAN ISLAM
Posted by DR AISAR YEE ABDULLAH at 9:18 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment