Friday, July 4, 2008

KITA TIDAK BERSIKAP RASIONAL

Tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 4 Julai, 2008 muka N14

Oleh: Dr. Aisar Yee Abdullah

Insiden Memali berupa satu kejadian besar terjadi di Kampung Memali, Baling Kedah pada 19 November, 1985, lebih dua dekad lepas. Ramai orang sudah melupakannya. Ramai pula langsung tidak tahu menahu akan terjadinya kejadian itu. Dalam kejadian itu kira-kira 200 orang anggota polis telah mengepung kampung tersebut setelah menerima arahan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam (sekarang Tun).

Terdapat kira-kira 400 orang pengikut Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagi Ibrahim Libya mendiami kampung itu. Pertelingkahan politik yang meruncing di antara Pas dan UMNO menyebabkan suasana politik di situ menjadi panas. Pandangan-pandangan keras yang diajar oleh Ibrahim Libya kepada para pengikut terhadap UMNO memaksa pihak Pusat Islam mengharamkan ajaran itu. Ajaran Ibrahim dianggap melampau dan fanatik.


Ibrahim adalah seorang guru agama tempatan yang mendapat didikan dari Universiti Tripoli , Libya . Memandangkan pengharaman itu tidak dipedulinya, polis kemudian bertindak mahu menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana mewujudkan suasana permusuhan dan persengkitaan sesama orang Islam. Dia enggan menyerah diri. Dia juga dituduh memberi perlindungan kepada dua orang bersaudara yang dikehendaki polis, iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit.


Para
pengikut Ibrahim bertindak untuk mempertahankan guru mereka dari serangan polis yang dihantar oleh Musa Hitam tadi. Perundingan di antara orang kampung dan polis bagi mendapatkan Ibrahim menyerah diri gagal. Orang kampung rela menghadapi pihak polis secara kekerasan. Mereka bersenjatakan pisau, beberapa senapang memburu tupai dan parang bertempur dengan polis yang bersenjatakan lengkap
.

Dalam pertempuran itu seramai 14 orang kampung dan 4 orang anggota polis terbunuh. Turut menemui ajal ialah Ibrahim. Mayat Ibrahim dan orang kampung disemadikan secara syahid dalam satu lubang kubur besar di Memali. Mayat anggota polis dibawa keluar dan disemadi di tempat masing-masing dengan penuh adat istiadat polis dan dianggap sebagai wira yang mati dalam menjalankan tugas untuk negara
.

Di sinilah timbulnya kontroversi. Majlis Agama Islam Kedah dalam fatwanya tidak menganggap kalangan yang mati dari penyokong Ibrahim itu sebagai syahid.
Kalangan para pemimpin Pas, dari semua peringkat menganggap mereka sebagai mati syahid. Penyokong Pas pun beranggapan begitu. Menariknya, seorang ulama yang berupa penyokong Pas yang menduduki Majlis Fatwa Kedah berpendapat berbeza dengan apa yang diputuskan oleh majlis itu. Pendiriannya sama dengan partinya. Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 4 Februari 1986 menganggap mereka sebagai tidak syahid. Kerajaan menganggap mereka sebagai penjenayah.


Haji Hadi seorang ulama, dia kata Ibrahim Libya mati syahid. Wan Mokhtar, Menteri Besar Terengganu ketika itu dari BN juga seorang ulama dan dia beranggapan Ibrahim tidak mati syahid. Pendirian ulama berbelah bahagi tentang isu ini. Pendirian mereka berpihak kepada kedudukan politik yang dia anuti. Kalau ulama UMNO, semuanya mengatakan tidak syahid begitu juga Pas yang menganggapnya sebagai syahid. Kalaulah Wan Mokhtar pemimpin PAS apa pula fatwanya? Kalaulah Hadi pemimpin UMNO bagaimana agaknya fatwa beliau?


Nah, kita lihat kerasionalan kita diputuskan oleh pendirian politik kita. Kita ketepikan fakta. Kita ketepikan kitab agama. Kita pentingkan pegangan parti kita. Masing-masing ada nas tersendiri untuk meperkuatkan hujah. Kita cari nas dan fakta yang hanya boleh digunakan untuk berpihak kepada kita. Kita kesampingkan fakta sungguhpun banyak fakta terdedah kepada kita.


Kisah itu berlaku lebih dari dua dekad lalu.
Hari ini kita berdepan dengan kedudukan yang sama. Dilema sama dan cara berfikir dan bertindak kita pun masih sama.


Kira-kira 10 tahun yang lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh melakukan perbuatan liwat. Dia dibicarakan dan dihukum. Para pendokong UMNO menganggap hukuman itu membuktikan Anwar sebagai seorang homoseksual. Pengikut Anwar enggan menerima hukuman itu dan menganggap hukuman itu dijatuhkan oleh sebuah mahkamah yang tidak adil. Pendirian sama ada Anwar seorang homoseksual atau tidak ditentukan oleh parti mana kita sokong.


Apabila Anwar dibebaskan dari tuduhan selepas mengemukakan rayuan yang dibuat oleh Mahkamah yang iklim kebebasannya mula kelihatan pada masa itu, para penyokong Anwar menganggap itu sebagai bukti Anwar tidak bersalah. Mereka yang menyokong BN tetap beranggapan Anwar sebagai seorang homoseksual yang dibebaskan oleh Mahkamah hanya kerana bukti tidak cukup. Imej homoseksual yang diberikan mereka kepada Anwar mereka kekalkan.


Sepuluh tahun selepas peristiwa pertama Anwar itu berlaku, ia berulang lagi tahun ini. Sekali lagi Anwar dituduh melakukan perbuatan keji itu. Sekali lagi kita dapat tonton reaksi sama dari para pendokong parti berlainan. Mereka yang kurang selesa dengan pemerintahan BN tanpa berfikir panjang mengisyitiharkan Anwar tidak bersalah dan menjadi mangsa satu konspirasi lagi. Mana mungkin seorang tua berumur 61 tahun yang sakit pinggang yang fikirannya masih diselubungi fobia dipukul lumat sampai lebam mata, hampir patah pinggang dan pengsan dua hari oleh polis dengan tangan bergari dan mata terikat masih teringin menyempurnakan tuntutan syahwatnya cara begitu. Itu hujah mereka.


Lain pula pandangan pengikut BN. Seseorang yang nafsunya memuncak tentu tidak memikirkan lagi risikonya. Mereka menghujah seorang homoseksual seperti Anwar pasti sanggup melakukan itu tanpa menghiraukan akibatnya. Mereka membuat andaian bahawa Anwar itu adalah seorang homoseksual kerana dia pernah dituduh begitu oleh kerajaan dulu dan pelepasannya oleh mahkamah rayuan hanyalah dari segi teknikal sahaja. Golongan ini mudah membuat andaian. Sekali dituduh melakukan perbuatan liwat sudah tersedia dicop sebagai homoseksual yang habitual selama-lamanya.


Sebelum kejadian yang melibatkan Anwar ini, terjadi lagi satu tuduhan lain, iaitu yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin yang menuduh isteri Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah sebagai terlibat secara langsung dengan pembunuhan Altantuya. Apakah reaksi mereka yang menyokong pembangkang? Ya, Sah Rosmah terlibat.
Mereka membuat keputusan itu hanya bersandarkan sekeping perakuan sumpah. Mudahnya! Mereka tidak lagi memperincikan motif dan menuntut bukti lanjut. Apakah ironinya?


Ironinya, kalau kita orang BN kita akan tolak perakuan sumpah itu. Kita kata mana bukti? Surat sumpah sahaja tidak cukup! Siapa-siapa pun boleh buat surat sumpah. Bila ada orang kata Anwar liwat orang, kalau kita orang BN, kita kata, memang Anwar buat kerja itu. Buktinya? Orang itu sudah buat laporan. Tidak pula kita kata siapa-siapa sahaja boleh buat tuduhan.


Sebaliknya, kalau kita menyokong Anwar pasti kita kata Rosmah terlibat. Buktinya, perakuan sumpah yang dibuat oleh RPK. Kita sebaliknya menolak laporan yang dibuat oleh Saiful sebagai palsu dan tidak mencukupi untuk mensabitkan keyakinan kita bahawa Anwar seorang peliwat. Kita akan berkeras-keras mempertahankan Anwar dengan berkata mana mungkin seorang pemuda berbadan sasa ketinggian 6 kaki boleh dimamah oleh seorang lelaki tua yang sakit pinggang. Lagipun, takklah pemuda tu menonggeng keras macam batu menunggu. Ada saja alasan kita. Bila kes Rosmah kita terima akuan itu bulat-bulat.


Di dalam mana-mana tuduhan yang dibuat oleh sesiapa, hanya pihak yang berkuasa boleh menentukan kebenaran. Kebenaran tidak boleh ditentukan oleh parti politik atau pengikut masing-masing. Kalau ia kes polis, serahkan ia kepada polis kemudian mahkamah menentukannya.


Maka tentulah amat pelik jika ada orang apabila mengulas kes Anwar berkata, “pasti orang yang dituduh akan menafikannya. Itu lazim dibuat oleh sesiapa yang menghadi tuduhan. Biarlah polis yang menentukan selepas disiasat”. Kita dapati orang lagi pelik bila orang sama juga memberikan komen berlainan apabila tuduhan dibuat terhadap Rosmah. Secara pantas dia menjawab, “Rosmah tidak bersalah. Saya kenal dia, saya kenal Najib.” Tidak pula dia berkata lazimlah orang yang dituduh itu akan menafikannya dan tidaklah pula dia menyatakan biarlah polis yang menentukan sama ada Rosmah bersalah atau tidak. Jawapan ini nyata didorong oleh pendirian parti.


Lebih berbahaya kalau komen itu datangnya dari orang yang berkuasa. Komen sedemikian boleh dibaca sebagai satu isyarat kepada pihak polis supaya tidak meneruskan penyiasatan kerana itulah kehendak orang atas. Sesiapa sahaja kita, berkuasa atau tidak, biarkanlah polis menjalankan tugas mereka dengan saksama kepada semua.


Sebelum kejadian tuduhan bersumpah ini dibuat kepada Najib dan Rosmah, kita juga dikejutkan dengan kes video Lingam. Sesiapa yang mengikuti perkembangan kes ini pasti akan membuat rumusan masing-masing. Para penyokong Tun Mahathir menganggap Lingam sebagai seorang pemabuk yang berborak egoistik tentang kemampuannya menentukan kedudukan hakim. Mereka mungkin juga berkata orang itu kelihatan macam Lingam, bunyi macam Lingam tetapi pastinya bukan Lingam. Keputusan Inkuiri pun ditolak mereka.


Mereka yang menentang Mahathir pasti pada peringkat awal-awal lagi semasa pita ini mula dikemukakan oleh Anwar sudah pun membuat rumusan bahawa Mahathir telah mempengaruhi penghakiman mahkamah dan Mahathir melantik hakim yang disukainya sahaja ke jawatan lebih tinggi. Adanya pita itu adalah bukti. Sama ada pita itu disunting atau tidak, tidak penting bagi mereka. Rumusan sudah dibuat.


Sebenarnya, pada pihak mana kita berada, kita bersikap tidak rasional. Kita cenderung mengenepikan kebenaran. Kita lebih berat untuk berpihak kepada pendirian parti pilihan kita.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger