Friday, September 19, 2008

GUNA ISA: MUAFAKAT KABINET RETAK

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Rabu 17 hb. September, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Beberapa hari sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim telah menegur Muhyiddin Yassin kerana membuat gesaan agar pengunduran Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri dipercepatkan tanpa perlu menunggu 2010 sebagaimana diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet sebelum itu. Zaid meminta Muhyiddin berundur dari Kabinet Abdullah jika dia tidak dapat lagi bersetuju dengan dasar-dasar Abdullah sekarang.

Isnin dua hari lepas, akhbar-akhbar menyiarkan berita Zaid pula tidak bersetuju dengan dasar kerajaan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menahan tiga individu. Akhbar NST menyifatkan tentangan Zaid kepada penggunaan Akta itu sebagai dia ‘strongly critised’. Jika Zaid menyarankan Muhyiddin untuk meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan tindak tanduk pemimpin, Zaid pastinya sedar bahawa dia juga tertakluk kepada hukum yang sama. Oleh itu Zaid awal-awal lagi sudah meletakkan jawatan menteri yang disandangnya. Selepas perletakan Jawatan beliau ditolak PM, beliau masih berdegil mahu berhenti. Zaid mahu penggunaan Akta itu khusus untuk menahan komunis atau pengganas. Sikapnya keras dan jelas.

Zaid dilaporkan sebagai berkata menggunakan ISA untuk menahan tiga individu baru-baru ini memperlihatkan bahawa kerajaan bertindak menentang hasratnya sendiri iaitu untuk membuktikan tekad bahawa ia mahu berubah. Dia berkata kerajaan sekarang adalah sebuah yang berperaturan yang berasaskan prinsip-prinsip dan undang-undang. Jika ISA digunakan seperti baru-baru ini bererti kerajaan masih lagi berada di takuk lama, dakwa beliau.

Lagipun, mengikut Zaid, dalam episod terbaharu ISA ini, kerajaan telah menyemarakkan gambaran tentang penangkapan berpilih-pilih kerana tidak mengambil tindakan ke atas orang yang mencetuskan komen berbaur perkauman itu. “Kita hanya membuktikan kita bertindak kepada orang yang tidak sebulu dengan kita sahaja,” jelas beliau.

Beliau menambah, “Saya menyertai kerajaan kerana saya percaya akan terjadi transformasi. Kerajaan mesti berubah tetapi perubahan tidak akan terjadi jika ia masih terus menerus berfikiran lama dan berpegang kepada falsafah lama.”

Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari sama, mengesahkan bahawa penahan tiga individu tersebut adalah keputusan kerajaan dan ia tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana menteri termasuk Menteri di jabatan Perdana Menteri itu, iaitu Zaid. Menurut beliau, tindakannya meluluskan penahanan di bawah ISA itu adalah bagi pihak kerajaan yang memerintah, selaras dengan kedudukannya sebagai menteri Kabinet, bukannya ‘orang luar kerajaan’.

Setelah meneliti akhbar-akhbar pada hari sama, kelihatan Zaid bukan bersendirian di dalam membuat teguran terhadap tindakan ‘kerajaan’ menggunakan ISA itu sungguhpun Syed Hamid menamakan hanya beliau. Akhbar Star pada muka depannya menyiarkan berita berjudul ‘Isa furore, Zaid leads chorus of protest by Barisan ministers’ jelas membuktuikan menteri lain pun tidak bersetuju. Menteri yang disenaraikan dalam berita itu termasuklah Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Samad, rakan menteri Zaid di Jabatan Perdana Menteri, Bernard Dompok, Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai, Menteri Sumber Manusia, Dr S. Subramaniam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Tin, dan seorang menteri kanan kerajaan, Dr Rais Yatim.

Menteri-menteri tersebut memberikan pelbagai komen yang semuanya menjurus untuk tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan ISA bagi untuk penahan-penahan kali ini yang pada pandangan mereka tidak selaras dengan ‘jiwa’ Akta itu diluluskan dulu. Ada yang berpendapat Akta itu masih relevan tetapi hendaklah digunakan dengan penuh bijaksana dan ada pula yang mahu ia dimansukhkan terus. Ong Tee Keat contohnya mahukan Akta itu di perhalusi kembali secara menyeluruh.

Menteri Sumber Manusia, Dr S. Subramaniam berkata kerajaan sepatutnya bersikap sensitif kepada perasaan orang ramai dan tidak buta kepada fakta bahawa sebahagian besar rakyat menolak ISA dan inginkan ia tidak digunakan. “Setiap kali seseorang ditangkap di bawah ISA, ia memberi gambaran bahawa kerajaan melakukannya kerana tidak berupaya mengenakan tuduhan dan untuk mendapati dia bersalah di bawah undang-undang yang sedia ada.

Lapaoran akhbar Selasa (semalam) mengheret nama Menteri Pelajaran pula sebagai seorang lagi yang tidak dapat menerima alasan diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menahan seorang wartawan. Dia kecewa Akta ini gunakan untuk menahan Tan Hoon Cheng.

Selain anggota kabinet yang komen-komen mereka dilaporkan oleh akhbar-akhbar, para pemimpin BN lain juga turut memberi pendapat. Presiden MCA, Ong Ka Ting memberitahu bahawa ISA hendaklah digunakan hanya dalam kes-kes tertentu sahaja yang mendesak. Ia tidak boleh digunakan atau disalahgunakan ke atas orang awam. Kalau tidak, katanya, Akta itu akan berupa satu ancaman kepada pentadbiran undang-undang dan hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan.

Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon pula mahukan ISA dikaji balik kalaupun tidak ia dimansukhkan terus. Beliau menegaskan bahawa itu adalah pendirian Gerakan selama ini. Beliau menggesa kerajaan membawa orang yang dituduh ke mahkamah untuk diadili. Beliau tidak faham mengapa ISA terpaksa digunakan kerana terlampau banyak undang-undang sedia ada yang sudah mencukupi untuk menjamin keselamatan negara. Dia mahu mereka yang ditahan dibebas segera.

Parti yang dipimpin Dr Koh Tsu Koon, Gerakan bertindak setapak lebih apabila ratusan anggotanya berarak dari ibu pejabat parti itu di Jalan Macalister, George Town, ke pejabat akhbar Sin Chew untuk menyerah satu petisyen menyokong gesaan membebaskan Tan Hoon Cheng, salah seorang dari tahanan ISA tersebut. Mereka juga menghadiahkan sekalung bunga kepada pentadbiran akhbar itu.


Pandangan-pandangan anggota kabinet dan pemimpin tertinggi komponen BN yang tidak menganggotai kabinet memperlihatkan satu perpecahan ketara di kalangan badan pembuat dasar tertinggi Negara dalam Kabinet dan sesame anggota BN. Perpecahan ini adalah sesuatu yang amat tidak sihat kerana sebagaimana kata Syed Hamid, “Malaysia akan berdepan krisis pemerintahan jika setiap menteri ada pandangan tersendiri mula mempersoal dan membahaskan tugas menteri yang lain secara terbuka melalui media.”

Mengikut Syed Hamid, Zaid ada dalam Kabinet dan jika dia memiliki pendapat yang tersendiri, seharusnya dia membawa kepada Perdana Menteri. Jika setiap anggota Kabinet yang ada pendirian sendiri berbahas secara terbuka dalam media, negara akan berdepan dengan krisis pemerintahan. “Kalau seorang ahli Kabinet melaksanakan tugasnya, yang lagi satu mengkritiknya secara terbuka, saya tak tahu ke mana kita dan saya tak tahu apa akan terjadi,” jelas beliau.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger