Wednesday, September 3, 2008

LOMPAT PARTI, TIDAK BERMORAL ATAU APA?

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Rabu 3hb. September, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Anwar sudah masuk ke Parlimen sebagai anggota mewakili Permatang Pauh dan dengan itu melayakkan dia duduk bersetentangan dengan Abdullah Badawi. Anwar berkali-kali mengisytiharkan dia akan menjatuhkan kerajaan Abdullah pada 16 September ini. Abdullah sebaliknya, di depan Anwar sendiri pada Jumaat lepas sewaktu membentang Bajet 2009 mengisytiharkan beliau tidak akan berdiam diri melihat genggaman kerajaan terlucut darinya. Dia menyatakan tidak akan membenarkan mandat yang diberi rakyat direntap darinya secara tidak bermoral.

Abdullah menegaskan bahawa usaha beberapa pihak untuk menjadikan negara tidak stabil melalui satu rampasan kuasa cara tidak halal dan tanpa mandat dari rakyat hendaklah ditolak. Mengikut beliau, ketidaktentuan-ketidaktentuan akan memberi kesan kepada pelaburan, sentimen ekonomi dan pasaran-pasaran modal.

Sama ada usaha Anwar ‘merampas kuasa’ ini sesuatu yang akan terjadi atau tidak, menjadi teka-teki. Ramai tidak percaya ia akan terlaksana tetapi pada masa sama bimbang kalau-kalau ia menjadi kenyataan jua. Mana ada tempat di dunia ini sebuah kerajaan yang memiliki majoriti 58 buah kerusi boleh tumbang melalui lompatan anggota sebagaimana didakwa Anwar akan berlaku? Mereka enggan percaya tetapi pada masa sama agak kepanasan.

Bagi menjayakan rencangannya, Anwar memerlukan sejumlah lebih dari 30 MP BN untuk melompat ke partinya. Perbuatan melompat parti adalah satu perbuatan yang sering terjadi di Malaysia. Orang yang melompat parti digambarkan sebagai ‘katak’, iaitu diambil dari sifat katak yang melompat ke sana-sini mencari rezeki.

Perkataan ‘katak’ dalam perspektif ini dilihat dari segi negatif. Dulu, ‘katak’ melibatkan orang dari parti pembangkang menyertai parti kerajaan. Jarang sangat terjadi orang dari parti kerajaan menyertai pembangkang. Parti pembangkang sering menggelarkan ‘katak’ ini dengan sifat-sifat yang jijik. Juga, orang yang melompat dilihat sebagai mempunyai moral yang rendah kerana lazimnya, imbuhan diumpan bagi mendorong seseorang ‘melompat’. Ia membabitkan moral. Hari ini pembangkang ingin mengumpan ‘katak’ dari kalangan kerajaan. Terbalik, dan semestinya, mereka di pihak kerajaan pula bercakap tentang moral.

Sewaktu kerajaan negeri Kelantan terbentuk selepas pilihan raya umum ke 11, majoriti yang dimiliki oleh kerajaan negeri itu hanyalah dua kerusi sahaja dan selepas pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, majoriti kerajaan Pas di Kelantan merosot ekoran kekalahan calonnya. Hayat kerajaan itu lakasana berada di hujung tanduk.

Ketika itu cakap-cakap bahawa hanya masa sahaja yang akan menentukan tumbangnya kerajaan negeri itu lagi kuat kedengaran. Sebelum kekalahan itu pun ia sudah cukup kuat diperkatakan. Umum percaya bahawa pimpinan BN negeri akan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan itu melalui lompatan ADUN Pas menyertai BN. BN hanya memerlukan satu kerusi sahaja untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan tetapi masih gagal. Mendapat satu kerusi terlalu sukar.

Memandangkan kali ini, orang yang dijangka melompat itu ramai dan bukannnya satu seperti yang diharapkan berlaku di Kelantan dulu, dan lompatan itu dikaitkan dengan usaha membentuk sebuah kerajaan baru, sama juga seperti usaha di Kelantan dulu, kedudukan perbuatan lompat itu dibahas hebat, bermoralkah dan terhinakah rakyat olehnya? Jangan cakap tentang berjayakah Anwar. Itu persoalan lain.

Hasrat Anwar membentuk kerajaan pada pertengahan bulan ini dianggap sebagai menggunakan pintu belakang untuk mendapat kuasa. Memujuk lompatan beramai-ramai dari BN ke PKR dikatakan adalah satu perbuatan yang tidak bermoral, tidak demokratik dan menghina rakyat yang sudah pun membuat pertimbangan pada 8 Mac lepas. Kabinet yang dibentuk dari kalangan mereka yang melompat dikatakan tidak memiliki wibawa. Imej parlimen sendiri terjejas. Kalangan BN menganggap Anwar sebagai seorang yang terlampau taksub untuk berkuasa dalam masa yang amat singkat ini.

Masihkah ia dianggap tidak bermoral jika lompatan parti itu tidak didorong oleh umpan harta benda atau jawatan dan dibuat berdasarkan apa yang mereka percaya dilakukan demi menyelamatkan negara? Ya, tetap begitu kata mereka dari kalangan kerajaan kerana ia melibatkan pengkhianatan ke atas undian kepercayaan yang diberikan oleh rakyat pada PRU ke 12 lepas. Bukankah para pemimpin PR yang sering melaung-laung untuk mencadangkan Akta anti-lompat dibuat pada masa dulu? Kenapakah mereka sanggup mengkhianati proses demokrasi melalui persekongkolan bersama wakil BN (yang melompat) pilihan rakyat?

Para penggiat moral mencadangkan mereka yang ingin melompat agar meletakkan jawatan sebagai MP dulu dan kembali menagih sokongan rakyat bagi mengesahkan perbuatan mereka itu. Hakikatnya, gesaan ini sungguhpun baik, ia tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana melalui satu Akta yang ada hari ini yang diluluskan oleh Parlimen semasa pentadbiran Mahathir dulu telah menetapkan mana-mana MP yang meletak jawatan sebelum tamat tempoh lantikan mereka tidak dibenarkan bertanding kembali dalam masa tempoh lima tahun bermula dari tarikh dia meletak jawatan. Mahathir dan BN membenarkan melompat parti tetapi tidak membenarkan meletak jawatan. Itu hakikat.

Suatu ketika dulu, DUN Kelantan telah meluluskan satu Rang Undang-Undang yang mengisytiharkan kosong mana-mana kerusi yang pemegangnya melompat meninggalkan parti dan mengkhianati kepercayaan rakyat yang dia bertanding dan menang dalam pilihan raya. Dua orang wakil rakyat parti Semangat 46 telah melompat menyertai UMNO sebaik memenangi pilihan raya dan akibatnya kerusi-kerusi mereka telah diisytiharkan kosong oleh DUN Kelantan. Namun, pilihan raya kecil yang diadakan berikutan itu dianggap tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah kerana Rang Undang Kelantan itu bercanggah dengan apa yang diamalkan diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Langkah ini diambil bagi menghalang mereka meletak jawatan tanpa sebab dan untuk bertindak memalukan kerajaan Kuala Lumpur semata-mata. Mana-mana anggota Parlimen BN yang terlibat meluluskan Akta itu dulu, hari ini tidak memiliki hak untuk mempersoalkan moral MP BN yang melompat (jika ada) kerana wujudnya Akta yang melarang MP meletak jawatan dan bertanding kembali diluluskan di atas sokongan mereka. Kalau mereka masih berkeras mahu MP melakukan itu hari ini, mereka hendaklah menyepak diri sendiri. Penulis perhatikan masih ramai MP yang mengundi meluluskan usul itu masih menjadi MP hari ini.

Peristiwa BN dimalukan akibat perletakan jawatan Shahrir Samad sebagai MP menyebabkan satu pilihan raya kecil diadakan di Johor Bahru suatu ketika dahulu. Shahrir yang bertanding sebagai calon bebas bersimbolkan tiga kunci telah mengalahkan calon BN. Sebelum itu Shahrir memenangi PR di atas tiket BN. Kemudian dia mempunyai pandangan berbeza dengan Mahathir.

Hasil dari tindakan Shahrir itu, Mahathir menganggap perbuatan meletak jawatan dan kembali mendapatkan mandat rakyat sebagai membazirkan wang rakyat dan membuang masa. Selepas itu, kerajaan BN kemudiannya meluluskan satu pindaan undang-undang menghalang mana-mana MP yang meletak jawatan untuk bertanding semula. Wan Azizah yang meletak jawatan sebagai MP baru-baru ini terikat dengan undang-undang ini di mana selama 5 tahun akan datang beliau tidak boleh bertanding lagi.

Maka, mereka yang ingin melompat hanya boleh mendapat mandat baru dalam pilihan raya akan datang. Sementara itu terpulanglah kepada mereka sendiri untuk menilai perbuatan mereka itu. ‘‘Bermoralkah aku?” Dia boleh berhujah bahawa niatnya murni. Niatnya baik dan tujuannya pun baik. Matlamat menghalalkan cara. Dia tidak memungkiri janji kepada rakyat. Bukan dia yang mungkir janji. BN pula dituduhnya sebagai pihak yang memungkiri janji.

BN berjanji tidak mahu menaikkan harga petroleum, ia mungkir. Harga petroleum dinaikkan ‘gila-gila’ (meminjam istilah anak muda sekarang). BN tidak terdaya memberikan pimpinan yang berkesan ketika ini. Kerajaan yang ada dilihat lesu. ‘MP yang prihatin’ ini tidak boleh menunggu lagi empat tahun. Empat tahun terlalu lama. Ia akan memudaratkan sistem ekonomi, sistem politik dan kehakiman. Keadaan tidak boleh dibiarkan. Fikirannya jelas, dia bukan pengkhianat rakyat, dia penyelamat rakyat.

Jika keadaan sudah begitu mendesak, persoalan tentang moral tidak dapat diberi perhatian berat. Lagipun, bagi para MP ini soal etika dan demokrasi hendaklah dilihat dari sudut apakah sebelum 8 Mac pihak pembangkang mendapat liputan media yang adil? Mereka mungkin insaf bahawa mereka dilantik sebagai MP BN kerana mereka mendapat liputan meluas dalam media massa di mana semua yang baik digambarkan untuk mereka dan stesen-stesen TV sentiasa memberi gambaran buruk tentang pembangkang. Jika media lebih adil mungkin MP yang melompat ini kalah awal-awal lagi semasa pilihan raya umum itu.

Para MP yang melompat ini juga mungkin cuba rasionalkan tindakan mereka bahawa semasa pilihan raya umum segala jentera telah digunakan (disalahgunakan) untuk mendapatkan kemenangan kepada calon BN. Perbelanjaan-perbelanjaan pilihan raya yang banyak telah dicajkan kepada kerajaan yang membolehkan jentera parti bertindak dengan berkesan. Dengan berbuat demikian, mereka telah tidak berlaku adil kepada calon lawan mereka. Kononnya, sekarang bagi mereka adalah masa untuk menebus dosa.

Namun, yakinkah dia bahawa kerajaan yang dia akan menjadi sebahagiannya pada bulan ini nanti adalah sebuah kerajaan yang mantap? Apakah persefahaman di antara parti-parti yang membentuk kerajaan baru ini tidak goyah apa lagi kalau ia disertai pula oleh komponen-komponen baru yang ideologi parti masing-masing berbeza laksana langit dengan bumi. Dengan tiga anggota sahaja pun sekarang, iaitu Pas, DAP dan PKR percanggahan polisi sudah ketara, tentunya anggota baru dari Sabah dan Sarawak akan ‘mencaca murba’ lagi keadaan dalam Pakatan. Percakaran sesama sendiri mungkin tidak akan membuahkan suatu kerajaan yang stabil. Mungkin lebih lesu dari apa yang ada sekarang.

Persoalan utama ialah jika sebuah kerajaan terbentuk dalam masa terdekat ini, adakah ia sebuah kerajaan yang kuat yang berdasarkan aspirasi rakyat atau ia akan menjadi sebuah kerajaan yang para MPnya terdorong mendokong kerana habuan-habuan manis dijanjikan dan perebutan-perebutan jawatan akan menyebabkan negara diletakkan dalam kacau-bilau.

Atau, sebaiknya, PR harus mengambil peluang evolusi diri untuk menjadi kerajaan pada masa akan datang dan buat masa ini menjadi pendesak-pendesak yang berkesan. Apapun, utamakan kepentingan rakyat di dalam setiap tindakan. Lakukan sebaiknya demi negara. Peranannya hari ini dilihat amat berkesan menyebabkan kerajaan BN lebih sensitif kepada rakyat. Ia tidak perlu menjadi kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. September 16 bukanlah segala-galanya.

*Untuk pembaca yang ketinggalan mana-mana artikel sebelum ini boleh lawati laman web penulis ‘draisaryee.blogspot.com


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger