Saturday, March 1, 2008

UNDI INDIA: TERJEJASKAH MAJORITI DUA PERTIGA?

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Sabtu, 1 Mac, 2008 muka N9

Oleh
Dr Aisar Yee Abdullah

SATU iklan diterbitkan oleh BN di dalam akhbar-akhbar beberapa hari lepas (Rabu) khas ditujukan kepada para pengundi India . Sebelum ini, BN mengeluarkan iklan yang ditujukan kepada keseluruhan rakyat Malaysia memujuk mereka mengundi BN. Iklan pada hari Rabu itu berbentuk soalan, jawapan dan fakta bertujuan mendorong pengundi India kekal bersama BN.

Kemunculan iklan khusus itu diyakini ialah berupa respons kepada tanggapan banyak pihak ketika ini bahawa terdapat satu ‘gelombang peralihan’ sokongan masyarakat India di dalam PRU 12 sedang berlaku.

Selain laman-laman web Internet, akhbar arus perdana juga ada menyiarkan berita dan gambar-gambar Presiden MIC, Samy Vellu diserbu orang ramai dan dicerca di khalayak. Banyak kejadian boleh ditonton dengan jelas melalui you tube. Seseorang dengan mudah akses kepada video-video yang memperlihatkan adegan sorakan dan maki hamun itu hanya dengan mengelik ‘Samy Vellu’ pada petak search di paparan you tube itu. Pasti akan tersenarai video-video yang memaparkan insiden seperti disebut di atas. Ia sudah tidak terselindung dan tidak dapat diselindung.

Selain Samy Vellu, pemimpin-pemimpin Melayu pun jika mereka ada bersama presiden MIC itu tidak akan terkecuali dari menerima sorakan boo yang berpanjangan lagi bising. Pemimpin-pemimpin itu baru-baru ini menghadiri majlis pecah tanah untuk pembinaan sekolah SJK (T) Seaport. Pihak polis terpaksa datang untuk ‘escort’ Samy dan pemimpin itu keluar dari tapak berkenaan.

Peristiwa itu turut mendapat liputan akhbar arus perdana di mana The Star melaporkan ‘Angry youths surround and jeer Samy at school event’ manakala NST melaporkan “Hecklers abuse Samy Velly, MB’’.

Populariti Samy nampaknya mula jatuh. Beliau semacam terpinggir. Usaha-usaha BN menyelamatkan Samy dan MIC seperti mengadakan pertemuan-pertemuan dengan NGO-NGO masyarakat India, jaminan kuil tidak dirobohkan pada masa akan datang tanpa persetujuan MIC, dan memberi cuti Thaipusam dianggap sudah terlewat. Sebahagian orang India memprtikaikan keikhlasan keputusan itu.

Itulah senario yang mendepani MIC ketika ini. Tanggapan umum sekarang ialah sekumpulan besar masyarakat India tidak berpuas hati dengan kepimpinan Samy dan MIC. Senario ini amat berbeza dengan yang lepas-lepas kerana sokongan masyarakat India kepada MIC adalah tidak belah-bahagi dan undi masyarakat ini banyak menyumbang kepada kemenangan calon BN
.

Sebelum ini, BN memberi kepercayaan penuh kepada MIC. Masyarakat
India tidak memiliki satu pun kawasan pilihanraya baik negeri mahupun parliamen di mana mereka merupakan kumpulan majoriti. Namun BN memperuntukkan mereka sejumlah kerusi yang besar, iaitu 12 kerusi parliamen dan 19 DUN. Biasanya jika undi masyarakat India di sesebuah kawasan melebihi 20 peratus, kawasan itu akan diperuntukkan kepada MIC.

‘Trade off’ ini penting kerana sebagai balasannya, MIC bekerja kuat di seluruh negara untuk menyerahkan undi kaum India bagi memenangkan calon BN yang terdiri dari kaum lain tetapi sesama anggota komponen BN.

Perubahan cita rasa mendadak kaum India yang dibangkitkan oleh kelompok menggelarkan diri sebagai Hindraf akan memberi kesan meruncing kepada kerusi yang diperolehi oleh BN. Kalau tidak dibendung, bukan sahaja kerusi MIC akan hilang, malah akan turut tersingkir ialah calon-calon BN dari parti komponen yang lain.

Masalah yang dibangkitkan oleh masyarakat India ini digunakan sebagai umpan yang baik oleh parti pembangkang. PKR mengambil kesempatan darinya. DAP pula bertindak lebih jauh dengan memberikan perhatian lebih kepada calon-calonnya yang berkertrunan India.

DAP yang sering dituduh sebagai didalangi cauvanis Cina bertindak meletakkan seramai 10 orang calon parliamen dan 20 orang lagi sebagai calon DUN dari mereka yang berketurunan India . Parti Gerakan pula yang digambarkan sebagai parti berbilang kaum, tidak meletakkan seorang pun calon berketurunan India di dalam pilinharaya kali ini. Sikap ini mengecewakan kaum India yang menganggotai parti itu.

Mereka membandingkan keputusan parti Gerakan itu dengan sikap yang diambil PAS yang meletakkan seorang calon Hindu bertanding di sebuah kerusi DUN di Johor. Satu ironi.

Seorang pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah ISA di Taiping telah diletakkan sebagai calon DAP di DUN Kota Alam Shah, Selangor. DAP mengambil kesempatan dari kemelut yang dihadapi oleh MIC dan masyarakat India.

Di samping DAP, PAS tiba-tiba juga mula diberi perhatian oleh masyarakat
India . Cermah-ceramah PAS turut dihadiri oleh masyarakat India . Banyak pula para pekerja parti PAS terdiri dari sukarelawan yang dibekalkan oleh NGO India. Laman-laman web kendalian tokoh-tokoh India dan NGO India menyiarkan tulisan menyeru pengundi India mengundi mana-mana parti selain BN.

Situasi ini kalau benar berlaku akan membuahkan sesuatu yang akan membawa padah kepada BN. Banyak penganalisis politik yakin keputusan pilihanraya kali ini tidak akan memberikan kemenangan cemerlang kepada BN seperti yang diraihnya pada tahun 2004 lalu.

Malah Abdullah Badawi pun mengaku demikian.
Mantan Perdana Menetri, Dr Mahathir pula yakin keputusannya akan seperti pilihanraya tahun 1999. Berita-berita yang tersiar juga menunjukkan kehadiran ceramah pembangkang tahun ini jauh melebihi kehadiran ceramah tahun 2004 malah juga seperti kehadiran tahun 1999. Ini menguatkan hujjah keyakinan Dr Mahathir dan penganalisis lain.

Keputusan pilihanraya 1999 (parliamen – Selangor) memperlihatkan begitu banyak kawasan yang majoriti diperolehi oleh calon BN adalah kecil sahaja. Kawasan-kawasan itu adalah Sabak Bernam 901 undi, Tanjung Karang 2,075 undi, Gombak 883 undi, Hulu Langat 3,866 undi, Serdang 4,099 undi, Petaling Jaya Selatan 3,845 undi, Petaling Jaya Utara 2,481 undi, Shah Alam 1,440 undi, dan Kapar 2,860 undi.

Bilangan pengundi India pula pada tahun ini di kawasan seperti di atas ialah Sabak Bernam 1,600, Tanjung Karang 4,039 undi, Gombak 9,816 undi, Hulu Langat 9,573 undi, Serdang 9488 undi, Petaling Jaya Selatan 10,612 undi, Petaling Jaya Utara 4,903 undi, Shah Alam 10.094 undi dan Kapar 14,589 undi.

Dari angka di atas didapati bahawa bilangan pengundi berketurunan India jauh melebihi bilangan majoriti yang diperolehi oleh calon-calon BN di dalam pilihanraya 1999. Sebarang perubahan mood masyarakat India yang nyata seperti yang ditanggap sekarang akan memberi kesan ke atas pencapaian calon BN baik, UMNO, MCA atau Gerakan.

Angka itu adalah untuk negeri Selangor sahaja. Berpuluh-puluh kawasan pilihanraya parliamen di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, dan Negeri Sembilan mempunyai peratusan pengundi berketurunan India yang hampir sama.

Apa pun, analisis di atas hanyalah berdasarkan mood pengundi India (ramalan sahaja) yang pula diasaskan kepada keputusan pilihanraya tahun 1999. Jika ia didasarkan kepada keputusan pilihanraya tahun 2004, sebarang perubahan mood kaum India tidak akan memberi kesan besar ke atas prestasi BN. Kalau BN mampu mengekalkan prestasi seperti yang dicapai pada tahun 2004, majoriti dua pertiga langsung tidak berada di dalam kedudukan yang yang bahaya.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger