Wednesday, February 27, 2008

PEMILIHAN CALON BN GAWAT

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Rabu 27 Februari, 2008 muka N25

Oleh: Dr Aisar Yee Abdullah

Proses penamaan calon selesai sudah. Kempen belum memuncak panas. Bendera, dan sepanduk baru hendak mula dipasang. Poster belum siap lagi. Perbualan orang ramai masih berkisar kepada pemilihan calon oleh parti-parti bertanding. Pemilihan calon kali ini terutamanya dari kalangan parti BN dianggap kecoh dan gawat.

Biasanya, pencalonan BN tenang. Sekurangnya begitulah gambaran yang diberikan untuk siaran dan tatapan ramai. Setiap anggota komponen semacam sudah akur dengan persefahaman gentlemen sesama sendiri.

Menjadi calon yang dipilih BN bertanding dalam pilihanraya tentunya menjadi idaman ramai. Kemenangan di dalam pilihanraya hampir terjamin.


Perebutan menjadi calon BN sengit. Kalau menang ganjarannya pula banyak. Ada peluang menjawat jawatan dalam kerajaan. Boleh jadi menteri, timbalan menteri, setiausaha parliament, Dari negeri Johor sahaja ada tujuh MP berjawatan menteri penuh.

Sebelum ini, kalau seseorang tidak terlantik menjadi calon, tiada bantahan diperlihatkan. Mereka tetap membantu mereka yang terpilih.

Lain pula kali ini. Kekecewaan diperlihat terang-terangan sehinggakan keadaan jadi gawat. Orang terpinga melihat gelagat mereka.

Barangkali, dulu kecoh juga. Cuma ia tidak terdedah ke pengetahuan umum. Akhbar dan TV tidak melaporkannya. Hari ini, lima minit selepas seorang memberontak, ribuan SMS bertebaran, pemblog pun terus melaporkan di Internet. Kisah bakal calon Pengkalan Chepa enggan bertanding atas nama BN segera mendapat liputan. Berita tidak dapat dikekang lagi.

BN tentunya menerima impak teknologi Internet. Akhbar arus perdana terpaksa menari mengikut rentak perkembangan teknologi.

Justeru, kerana sebelum ini tidak tersiar berita tentang adanya bantahan berkaitan pemilihan calon, orang akan mudah beranggapan bahawa sesuatu tidak kena dengan cara pemilihan calon kali ini. Orang juga ada beranggapan bahawa kepimpinan sekarang lemah kerana membiarkan kekecohan jadi terbuka semacam di luar kawalan.

PM Datuk Seri Abdullah Badawi akhirnya terpaksa memberi amaran agar anggota parti menghentikan tindakan memprotes keputusannya memilih calon. Keputusan itu sudah muktamad dan jangan ditakwil lagi. Dia mengharapkan hari-hari mendatang, keadaannya kembali bertambah baik.

Sungguhpun adalah biasa bagi para penyokong memberikan reaksi negatif sebaik sahaja mendengar ketua mereka digugurkan, magnitude reaksi kali ini adalah tinggi. Ia seolah sebesar 7.5 pada skala Ritcher mengukur gempa bumi.

Dulu, kekecohan yang wujud segera padam dalam masa sehari dua. Parti BN mudah menyelesaikan masalah orang yang digugurkan ini. Kalau tidak boleh jadi calon, jangan risau. Banyak peluang lain ada. Mereka boleh dilantik jadi senator, boleh diangkat menjadi Pengerusi atau anggota-anggota Lembaga Pengarah Badan Berkanun, Majlis Daerah atau dianugerahkan projek itu dan ini. Selesai.

Kekecohan pemilihan calon tahun ini adalah luar biasa semacam tidak terubat. Perlis contohnya menyebabkan MB negeri itu terpaksa berkampung di Puterajaya selama tiga hari dan berulang alik sebanyak 7 kali ke Jabatan Perdana Menetri. Bila pulang rupanya masih belum beres lagi. Pengumuman ditangguh lagi.

Senarai yang kononnya muktamad dipinda lagi. Ismail Kassim gugur kembali. Ganti Mastika Junaidah yang hanya digugurkan balik sebelah petangnya.

Keadaan sama berlaku di Kedah. Seorang calon Saad Man diumumkan bertanding di DUN Jitra hanya pada Sabtu malam menggantikan Aman Khan Hussain. Di Kelantan dua orang calon enggan bertanding selepas nama mereka diumumkan sebagai calon oleh ketua BN negeri.

Kediaman-kediaman menteri besar Perak dan Terengganu diserbu penyokong calon-calon tertentu. Di Terengganu demonstarisi diadakan siang malam membantah pengguguran Abdul Rahman Bakar, Shapian Ali, Wan Ahmad Nizam dan Tengku Putera.

Akhbar Star melaporkan seramai 5,000 berkumpul di rumah MB Perlis pada suatu ketika. Tokoh-tokoh tempatan meletakkan jawatan dan bendera-bendera parti dikoyak-koyakkan. Sumber lain menyebut angkanya sebanyak 10,000 orang.

Kegawatan yang terjadi di dalam proses pemilihan calon ini dibicarakan juga melalui rancangan khas TV pagi kelmarin (Ahad) sempena hari penamaaan calon. Seorang pengulas, Prof Dato Dr Faiz Ahmad menyifatkannya sebagai menunjukkan ketidakcekapan BN dalam menamakan calon-calon bertanding. Ia menunjukkan berlakunya kemelut dalaman. UMNO terutamanya, sepatutnya menunjukkan sikap yang matang kerana sudah lama berkecimpung dalam politik.

Perebutan dan kegawatan yang tercetus boleh menimbulkan keresahan kepada BN. Undi yang diraih di dalam pilihanraya nanti mungkin terjejas. Perpecahan yang semacam sudah tidak terkawal lagi boleh menyebabkan BN akan kalah beberapa kerusi. Ramai orang sedang memerhati prestasi BN di Perlis.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger