Wednesday, March 5, 2008

KELANTAN DAN TANGGUNGJAWAB PEMBANGUNAN

Tersiar dalam Sinar Harian Rabu, 5 Mac, 2008, muka N25

Pak Lah tidak toleh kebelakang dan ingin bekerjasama atas keikhlasan tanpa perlu mengungkit

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Seramai 806 penduduk Kelantan ditanya melalui poll oleh Merdeka Centre sama ada, memandangkan projek-projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilaksanakan juga di Kelantan, perlukah kerajaan negeri ditukar atau tidak. Hanya sebanyak 39 peratus dengan tegas beranggapan kerajaan yang ada patut ditukar. Baki, kira-kira 61 peratus beranggapan sama ada kerajaan yang ada dikekalkan, tidak tahu atau tidak menjawab.

Seseorang pastinya mengharapkan respons lebih tinggi diberikan kepada mahukan kerajaan negeri sekarang ditukar apabila mengetahui bahawa projek-projek pembanguan ditawarkan untuk Kelantan. Pembangunan semestinya akan menjadi rancak berbanding sekarang.

Memandangkan BN pasti akan memerintah Malaysia sekali lagi selepas pilihanraya ini, seharusnya parti yang memerintah di Kelantan itu juga parti yang sama, iaitu BN.

Berdasarkan survey firma yang sama, seramai 62 persen responden menyatakan mereka tahu tentang ECER tetapi hanya 50 peratus sahaja dari mereka yakin akan menikmati faedah darinya.

Persoalan yang timbul ialah kenapa hanya kira-kira 50 peratus sahaja yakin akan menikmati faedah dari projek raksasa itu? Apakah pengalaman yang mengajar mereka? Jika ya, apakah pengalaman yang mereka alami itu? Atau apakah ia berpunca dari masalah reputasi yang ada pada BN?

Atau apakah kerana mereka masih belum jelas terhadap pelaksanaan projek-projek di bawah ECER? Tuan Guru Nik Abdul Aziz menganggap sebuah rancangan akan terus kekal sebagai sebuah rancangan sehinggalah ia siap terlaksana. Ada projek yang bermula tapi tiada berakhir. Terbengkalai atau tertangguh.

Adakah itu yang menyebabkan mereka pesimistik?

Kelantan bukanlah sebuah negeri yang maju. Terkeluar sedikit sahaja dari pusat bandar Kota Bharu akan kedapatan pemandangan sebuah petempatan rumah-rumah yang tidak teratur susunannya dan banyak pula yang buruk-buruk. Cukai-cukai yang dapat dikutip tidaklah banyak. Hanya cukai tanah, premium tanah dan cukai pintu sahaja dan kutipan parker kereta. Pern berkisar di bandar Kota Bharu.

Hasil mahsul negeri dikatakan cukup sekadar untuk belanja pengurusan dan bajet untuk pembangunan amat terhad. Banyak pembangunan diharapkan dari kerajaan pusat. Duit lebih pula untuk bayar hutang kepada kerajaan pusat.

Malangnya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri tidak sehaluan. Konsep federalisme semacam tidak diendah. Tun Mahathir, pernah memberitahu bahawa dia sengaja tidak membawa pembangunan ke Kelantan. Alasannya, kalau Kelantan dibangunkan, rakyat Kelantan akan berpendapat: "Buat apa pilih Barisan, pilih PAS pun dapat pembangunan" Itulah pengakuan jujur dibuat oleh Mahathir selepas beliau bersara sebagai PM.

Sikap begini tidak pula diikuti oleh PM selepasnya, Datuk Seri Abdullah. Sewaktu berucap merasmikan Majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur, beliau menegaskan:

‘‘Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia , saya Perdana Menteri bagi semua negeri termasuk Kelantan dan bagi saya tiada sebab mengapa Kelantan perlu diketepikan.

‘‘Saya tidak toleh ke belakang dan mengambil cerita-cerita dulu yang pernah berlaku. Biarlah kita pandang ke hadapan, kalau ingin bekerjasama, kita bekerjasama atas keikhlasan tanpa perlu mengungkit,"

Dasar ini terpuji. Kita lihat bagaimana terjadi kepada Trengganu. Sebaik sahaja PAS menawan negeri tersebut di zaman pentadbiran Dr Mahathir, kerajaan pusat terus menahan pemberian wang honorium yang berjumlah hampir satu billion ringgit setahun.

Sebaik sahaja Terengganu berjaya dirampas kembali, wang itu yang tersimpan begitu lama dilepaskan dan terbangunlah Terengganu dengan pesatnya sehinggakan terdiri sepuluh masjid dalam sebuah pulau berpenghuni kecil.

Antara masjid itu ialah masjid Kristal yang pembinaannya mengkagumkan tetapi sayangnya solat Jumaat tidak dapat dilakukan dilakukan di dalamnya kerana hukum menetapkan sekurang-kurangnya ada 40 pemastautin baru boleh solat Jumaat didirikan. Kawasan itu tidak mempunyai pemastin seramai itu.

Semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan pada bulan November 2005 Datuk Najib berjanji bahawa sebuah universiti awam akan dibangunkan di Kelantan jika BN Berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dalam pilihanraya umum nanti (Lihat laporan Utusan Malaysia, 23 Nov. 2005).

Begitu juga pernah terjadi, mantan MP BN, Ibrahim Ali mampu membawa terbinanya jambatan yang merentangi Sungai Kelantan di Tendong hanya selaku MP Pasir Mas. Kelantan tetap di bawah PAS ketika itu.

Hari ini, sudah pun terdapat Universiti Malaysia Kelantan yang dibangunkan oleh kerajaan pusat tanpa menunggu memerintah Kelantan. Ini menunjukkan BN boleh membangunkan Kelantan, kalau ia mahu, tanpa berkuasa di sana.

Berdasarkan itu, Kelantan sepatutnya sudah lebih maju kerana BN menguasai hampir separuh DUN Kelantan di mana 22 ADUNnya terdiri dari ADUN BN dan 9 dari 14 MP juga berupa MP BN sedangkan MP Pas hanyalah seramai 5 orang sahaja. Itu keputusan pilihanraya umum 2004 lepas.

Keikhlasan membangun Kelantan sangatlah penting tanpa perlu memikirkan kepentingan diri dan parti politik. Pak Lah merupakan harapan bahawa pembangunan akan tetap terlaksana melalui ECER tanpa mengira siapa memerintah Kelantan. Kelantanlah terletaknya nadi kemajuan Melayu. Maju Kelantan, majulah Melayu.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger