Monday, September 1, 2008

PERMATANG PAUH, KUBU PEMBANGKANG? KARUT

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Isnin 1 September, 2008 muka N18

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Sekilas pandang dan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, kekalahan calon BN dalam pilihan raya kecil beberapa hari lalu tidak mengubah kedudukan kerajaan. Calon yang menang hanya bertindak menggantikan calon lama dari parti yang sama, PKR dari PR. Kedudukan bilangan calon ADR BN kekal sama, 140 orang dari 222 anggota. Kedudukan itu adalah satu kedudukan yang kuat dan manatap.

Tidak ramai dari kalangan para pemimpin UMNO yang melihat kekalahan calon BN ini dengan serius. Mereka menganggap kekalahan ini memang dijangkakan terutamanya kerana Permatang Pauh, berupa kubu kuat pembangkang. Ketua Penerangan UMNO sendiri, Muhammad Muhd Taib berkata, beliau tidak terkejut kerana semenjak 7 pilihan raya yang lepas-lepas kawasan itu sudah berada di tangan pembangkang dan itu adalah kubu kuat pembangkang. Beliau juga memperlekehkan kemenangan Anwar yang hanya pada perkiraan beliau mendapat tambahan 800 undi lebih sahaja.

"Dia mendapat sokongan kuat kerana dia anak tempatan..., sebagai anak Padang Rengas, saya pun dapat sokongan kuat di Padang Rengas. Permatang Pauh menjadi kubu kubu pembangkang," kata Nazri Aziz, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan pula tidak menganggap BN bersedih kerana kawasan itu sentiasa menjadi pengkalan Anwar dan kubu kuatnya bagi suatu tempoh yang panjang. Dia berkata demikian untuk menolak tanggapan ramai bahawa kemenangan Anwar akan mengancam BN tetapi tidak ada apa yang perlu ditakuti kerana kawasan itu tidak pernah menjadi milik BN. Bagi PKR, pilihan raya kecil ini adalah sesuatu yang menentukkan hidup mati PKR tetapi bagi BN bukanlah begitu. Ia tidak melibatkan kepimpinan.

Menteri Penerangan itu malah selanjutnya menyuarakan satu pandangan yang agak pelik dan terseleweng. Barangkali pendapatnya banyak dipengaruhi oleh sentimen kebencian yang melampau terhadap Anwar. Akhbar Utusan Malaysia 28 Ogos memetik Shabery sebagai berkata: ''Saya rasa kalau dilihat pada hari penamaan calon yang mana kehadiran penyokong Anwar 50,000 orang dan sepatutnya undi yang dia dapat pun 50,000 atau sekurang-kurangnya 20,000 tetapi ini tidak berlaku," ujarnya.

Shabery harus ingat bahawa Anwar berjaya mendapat undi sebanyak lebih dari 31,000 pengundi. Penulis sedar bahawa kenyataan Shabery itu berbentuk sinis tetapi angka undi yang Anwar dapat jauh melebihi angka yang Shaberi berikan, 20,000. Lagipun, penulis tidak pernah terbaca pun kehadiran penyokong Anwar seramai itu. Kenyaaan Shabery adalah contoh reaksi diberikan BN yang enggan mahu mengaku kesilapan diri dan banyak berdalih.

Kalau kenyataan Shabery itu sudah dianggap pelik, kenyataan Naib Presiden UMNO lebih membingungkan. Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam berkata salah satu faktor kekalahan calon BN ialah sikap terlalu yakin jentera parti untuk menang. Penulis gagal mencari suasana bagaimana ia boleh menyebabkan jentera parti boleh bersikap terlalu yakin, kerana sebelum ini ada yang minta agar parti tidak meletak calon pun. Bilangan kehadiran penyokong BN pada hari penamaan calon? Tidak. Mungkin ‘kehadiran’ melaui tayangan Saiful bersumpah berulang-ulang kali yang menjadi dorongan?

Lafaz sumpah yang mengandungi kata-kata yang pada hari biasa dianggap lucah kerana ia mengandungi perkataan memasukkan ***** ke dalam ***** itukah yang meyakinkan BN untuk menjadikan orang kampung benci kepada Anwar dan membawa undi kepada BN? Atau kehadiran kehadiran begitu ramai tokoh-tokoh BN di sana telah menyebabkan pengundi terpengaruh lalu menjadikan jentera yakin?

Atau mungkin jentera parti BN menjadi terlampau yakin kerana bantuan oleh Najib dan pemimpin MCA serta MIC mencurah-curah? Kalau begitulah suasananya, maka tidak silap pandangan seorang penganalisis bahawa jentera BN berada pada tahap primitif. Komen tentang ‘primitif’ ini penulis dengar diutarakan oleh seorang pengulas secara ‘live’ sebuah stesen TV pada petang menjelang keputusan diketahui.

Malang kalau begitu bagi BN. Ia masih berada di takuk lama. Fikiran pemimpin jelas buntu dan tidak progresif. Strategi yang diamalkan ini boleh membawa kemenangan kalau pilihan raya itu berlaku 30 tahun dulu. Seingat penulis, satu pilihan raya kecil diadakan di Pengkalan Kota, Pulau Pinang. Kawasan itu adalah satu kubu kuat DAP. Melalui strategi sama yang diamalkan BN sekarang, BN berjaya merampas kawasan itu. Ketika itu Tengku Razaleigh menjadi menteri kewengan. Beliau mencurah bantuan kepada sekolah-sekolah Cina di sana. DAP kalah.

Silap strategi satu, memberi dalih yang bukan-bukan adalah satu. Sudah menjadi amalan bahawa para pemimpin BN sekarang berada di dalam keadaan ‘super denial mood’. Hanya beberapa kerat sahaja dari pemimpin itu yang mahukan kekalahan itu dipandang serius. Pemimpin lain masih menganggap ia tidak memberi kesan dan kekelahan itu jangan dirintih sangat kerana ia berlaku di kawasan kononnya kubu kuat pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan Anwar jangan dipandang enteng. Beliau bimbang kalau-kalau corak pengundian begitu menjadi satu trend. Beliau takut kalau itu adalah isyaratnya. Selanjutnya Muhyiddin berkata keputusan menunjukkan 'mindset' para pengundi telah beralih dan mereka sekarang mahukan sesuatu 'yang lebih adil dan tidak berteraskan ras tetapi sesuatu profail yang berdasarkan rakyat Malaysia yang berbagai keturunan dan agama. UMNO mesti sedia untuk berubah. Katanya lagi, 'apa pun yang dicakap berkaitan Anwar, orang tetap enggan mempercayainya.' Tengku Razaleigh pun berpendirian hamper sama.

Mantan PM, Mahathir pula menganggap sebagai penolakan kepada kepimpinan Abdullah. Mengikut beliau, pengundi Melayu dan bukan Melayu bukannya mahu mengundi Anwar. Hanya mereka tidak mahu mengundi Abdullah. Pendapat ini boleh dibahaskan atau disamakan bahawa sejak sekian lama para pengundi ingin menolak BN dan enggan mengundi BN tetapi mereka tidak mahu mengundi Pas dan DAP. Lalu BN menggunakan kesempatan. Hanya kedatangan Anwar yang mengubah keadaan itu.

Penulis ingin mengimbas kembali ingatan para pemimpin BN dan UMNO. Bagi penulis, Permatang Pauh BUKAN kawasan kubu kuat pembangkang. Sebaliknya ia adalah kubu kuat UMNO. Semenjak pilihan raya kali pertama diadakan hinggalah pada tahun 1999 hanya sekali sahaja kawasan ini ditawan oleh Pas melalui calonnya Haji Zabidi Ali. Selepas itu ia menjadi kubu kuat UMNO melalui calonnya Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim merupakan calon UMNO.

Calon UMNO ini pula telah mengalahkan calon-calon Pas di dalam siri pilihan raya selanjutnya. Calon Pas yang dikalahkan termasuklah Mohd Sabu dan Mahfuz Omar! Pembangkang hanya mampu merampas kawasan ini hanya pada tahun 1999 itu pun setelah Anwar terpenjara dan dipukul sehingga lebam mata. Pada tahun itu pengundi bersimpati kepada calon pembangkang, Wan Azizah setelah mendapati seorang Islam dipukul sehingga hampir mati dan orang yang memukulnya menyatakan mangsa mencederakan diri sendiri. Sampai hati.

Pada pilihan raya berikutnya, calon pembangkang, yang suaminya masih lagi berada di dalam tahanan dan sungguhpun telah dilihat banyak membuat jasa sewaktu menjadi menteri dan TPM dulu hanya mampu memenangi kawasan itu dengan undi majoriti sebanyakk 590 sahaja. Adakah itu dikatakan kubu kuatnya?

Kemenangan besar calon pembangkang pada 2008 bukanlah kerana kawasan itu berupa kubu kuatnya. Pada pilihan raya umum 2008 banyak kawasan bertukar menjadi ‘kubu kuat pembangkang’ jika cara berfikr tokoh-tokoh BN itu diambil kira. Pengundi-pengundi kebanyakan kawasan menolak BN kerana beberapa hal yang telah pun dianalisis dulu.

Majoriti tidak boleh diukur dengan angka besar tetapi dengan kekalahan besar. Seseorang calon yang mendapat undi majoriti yang kecil dianggap menang besar jika dia berjaya mengubah majoriti besar calon lawannya pada pilihan raya sebelumnya kepada kemenangan kecil bagi dirinya. BN hendaklah mengambil kira bahawa pada 2004 Wan Azizah memperoleh 21,757 undi tetapi pada tahun 2008 ini suaminya berjaya mendapat 31,195 undi satu peningkatan sebanyak hampir 10,000 adalah satu kekalahan besar BN di kubunya sendiri di mana 4 tahun sebelum ini Wan Azizah hanya menang dengan 590 undi. sahaja.

Dalih boleh diberi bahawa calon pembangkang adalah Anwar dan anak tempatan. Harus diingat bahawa calon BN kali ini pun adalah anak tempatan juga. Ketokohan juga tidak boleh diambil kira kerana terbukti semenjak zaman berzaman, para pengundi tidak mengambil kira ketokohan. Pilihan mereka adalah parti. Seawal tahun 1955 orang Kelantan tolak Nik Ahmad Kamil tokoh tempatan semata-mata dia bertanding atas tiket Parti Negara sedangkan pilihan mereka parti Perikatan yang diwakili oleh orang Kedah.

Kita tidak perlu kembali ke zaman silam untuk melihat hujah. Perhatikan keputusan pilihan raya umum terakhir. Bukankah calon-calon PKR yang langsung tidak terkenal berjaya mengalahkan calon BN yang lebih masyhur dan gah namanya? Siapa Nik Azmi berbanding Sharifah Noli? Nga Kor Ming berbanding M. Kayveas? Siapa Markiman Kobiran berbanding Che Rosli Che Mat? Siapa Loh Gwo Burne berbanding Lee Hwa Beng? Begitu banyak nama tidak terkenal. Hanya parti mereka wakili sahaja terkenal dan mereka terpilih. Bukan Anwar jadi faktornya. Kalau pun Anwar menjadi calon BN belum tentu dia menang di Permatang Pauh kali ini.

Kekalahan BN dalam pilihan raya kecil PP hendaklah dilihat sebagai satu corak bengundian pada masa ini di kawasan-kawasan lain. BN hendaklah memandangnya dengan serius kerana Najib sendiri berkempen hebat, ia masih kalah dengan majoriti calon lawan meningkat sungguhpun segala senjata digunakan termasuklah menggunakan isu liwat, isu sumpah, isu jual agama dan kaum dan isu menjadi agen Yahudi dan Amerika. Seluruh jentera parti dan kerajaan digunakan untuk berkempen, BN masih kalah. PM sendiri pun turun padang jkali ini dan BN masih gagal.

BN hendaklah segera bangkit dari sikap berdalih serta mengaku bahawa secara perlahan genggaman kuasa dari tangannya kian tergelincir keluar dan apabila ia tersedar dari tidur, kuasa itu mungkin sudah hilang. Keputusan pilihan raya kecil Selasa lepas mengesahkan sekali lagi, BN kalah di kubunya sendiri kerana dari 12 kali pilihan raya, pembangkang hanya menang tiga kali di kawasan itu. Lainnya milik BN. Masih kata Permatang Pauh kubu pembangkang?


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger