Tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 02 Julai, 2008 muka N14
Oleh: Dr Aisar Yee Abdullah
Penulis enggan menganalisis tentang tuduhan liwat terbaharu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sungguhpun penulis sedar inilah hal yang hendak dibaca orang. Penulis meluat, penulis meluat kepada Anwar jika tuduhan itu benar-benar berasas. Apakah selepas memasuki penjara enam tahun, dipukul hingga cedera sampai hendak patah pinggang, lebam biji mata dan selepas bertahun-tahun berhempas pulas mempertahankan diri di mahkmah, dia sanggup melakukan perbuatan keji ini? Kalau tuduhan itu tidak benar, penulis meluat kepada orang yang menuduhnya dan sesiapa sahaja orang di belakangnya yang tidak sudah-sudah bertindak seolah-olah rakyat negara ini bodoh.
Penulis ingin mengingatkan bahawa melakukan perbuatan liwat adalah dosa besar. Menuduh orang melakukan liwat tanpa memberikan bukti sahih juga satu dosa besar yang menyebabkan orang yang memfitnah boleh dikenakan hukum secara qazaf, iaitu salah satu hukum hudud Allah (Surah An-Nuur 24:4).
Maka, penulis akan membicarakan topik yang amat rapat hendak hati orang Melayu, iaitu perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu.
Perhatian penulis kepada debat di antara Ketua Pemuda Pas, Sallehuddin Ayub dan Datuk Sharir Samad, terganggu dengan satu panggilan telefon. Kesanggupan si pemanggil mendapatkan penulis ketika debat itu sedang berlangsung panas memperlihatkan sikap cemas yang ada padanya.
Mengikut beliau, berita itu mengejutkan beliau dan beliau bimbang jika ia benar-benar terjadi. Berdasarkan ceritanya, kebenaran berita itu sudah pun disahkan oleh Datuk Hassan Mohd Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor. “Datuk Hassan sendiri yang sahkan kepada Haji Hashim. Antum tahu siapa Datuk Hassan dan siapa pula Haji Hashim.” kata belia u.
Benar, kedua-dua tokoh itu saya kenal.
Beliau bercerita panjang menyebabkan saya tidak lagi mampu memberikan tumpuan kepada debat yang membicarakan isu kenaikan harga petroleum. Saya terpaksa melayan panggilan telefon kawan saya ini. Dulu pun dia sentiasa bersama saya ke mana-mana. Ceritanya berkisar kepada ‘persetujuan’ Pas untuk bekerjasama dengan UMNO demi mengukuhkan ketuanan Melayu yang mula dikatakan menjadi lemah pada masa akhir-akhir ini.
Dia sebenarnya tidak mahu percaya dengan cerita yang dibawa oleh Haji Hashim itu. Namun, kedudukan perhubungan beliau dengan Haji Hashim begitu akrab. Mereka sama-sama mengerjakan solat Zohor dan Asar di Masjid Bandar Utama hampir setiap hari. Mereka datang dan pulang bersama menaiki kereta sama. Pejabat mereka berdekatan. Pada waktu solat Subuh, Maghrib dan Isyak mereka bersama lagi di masjid itu. Pasti apa yang dicakap oleh Haji Hashim itu benar. Apalagi, Datuk Hassan Ali pun seringkali solat bersama mereka.
Penulis benarkan dia bercerita dulu. Dia menjelaskan bahawa Pas telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO bersandarkan alasan akhafu al-darurain, iaitu memilih yang ringan mudaratnya ketika berhadapan dengan dua pilihan yang tidak menguntungkan. Berdasarkan hukum ini, Pas dikehendaki memilih UMNO dan membatalkan kerjasama dengan DAP kerana bekerjasama dengan DAP merugikan Pas dan Islam. UMNO sebaliknya, sungguhpun berupa seteru Pas, tetapi ia adalah musuh yang kurang berbahaya untuk dijadikan rakan berbanding DAP.
Kerjasama itu telah pun dipersetujui oleh Pas dan Nasharuddin telah pun berangkat ke London bertemu Datuk Seri Najib. Nik Aziz telah setuju dan Haji Hadi pun begitu. Semua yang dikatakan ‘fakta’ ini telah disahkan oleh Datuk Hassan kepada Haji Hashim. Haji Hashim telah pergi ke pejabat Datuk Hassan di Shah Alam kerana ingin mendapat pengesahan. Sebenaranya dia boleh tunggu pada waktu solat Maghrib hari sama untuk bertanyakan Datuk Hassan apabila mereka mengerjakan solat berjemaah di masjid berdekatan rumah mereka. Haji Hashim tidak sabar-sabar.
“Bagaimana pendapat abang? Saya tak nak percaya tetapi Datuk Hassan sendiri sahkan fakta itu kepada Haji Hashim.” Jelas rakan tadi. “Nah, kalau Datuk Hassan yang dah sahkan, maka antum raikan sajalah, “ kata penulis untuk menguji beliau. Dia membantah keras unjuran penulis. Penulis memberitahunya bahawa khabar seperti itu sudah pun penulis dengar lama dulu, sejurus selepas pilihan raya lagi. Ketika itu penulis diberitahu bahawa Pas telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan UMNO telah menawarkan jawatan MB kepada Hassan Ali, di Selangor dan Mohammad Nizar di Perak.
Jawapan penulis kepadanya ringkas, “Apa jadi pun, perkara itu tidak mungkin berlaku.” “Tetapi bang, Nik Aziz sendiri telah bersetuju untuk bekerjasama. Majlis syura pun bersetuju juga” dia cuba berhujah dengan penulis sambil memetik kata-kata yang kononnya datang dari Hassan Ali melalui Haji Hashim tadi. Sekali lagi penulis jawab tidak mungkin. Nik Aziz ada di Mekah ketika itu mengerjakan umrah. Tidak mungkin Dewan Syura bermesyuarat tanpanya kerana perkara itu penting tetapi bukan mendesak sangat.
Agak lega sedikit beliau mendengar penjelasan penulis tetapi bertanya penulis kenapa Hassan Ali mengesahkan perkara itu sebagai betul dan tentunya Hassan Ali tidak akan berbohong dengan Haji Hashim. Penulis tidak dapat menjawab soalan itu dan berjanji akan bertanyakan sendiri dengan Hassan Ali bila bertemu di mana-mana nanti.
Benar, tekaan penulis tepat kerana sewaktu bertembung dengan Hassan Ali penulis bertanyakan hal itu dan dia menafikan persetujuan dicapai. “Kenapa Datuk beritahu Haji Hashim lain?” Dia hanya ketawa dan tersenyum lebar . Katanya Haji Hashim itu lurus bendul orangnya dan dia hanya melihat reaksi dia sahaja. Persahabatan mereka terlalu rapat.
Hassan Ali telah pun menerangkan keadaan sebenar kepada Haji Hashim apabila didengarnya Haji Hashim mula merungut kepada beberapa orang lain tentang itu. Cuma rakan penulis tidak sedar tentang penjelasan yang dibuat oleh Hassan Ali kepada Haji Hashim.
Desas-desus tentang kerjasama Pas-UMNO ini bertiup kencang dan hangat diperkatakan oleh kalangan Pas terutamanya. Idea ini bagi penulis dicetuskan oleh beberapa kalangan pemimpin UMNO peringakat pertengahan yang terlampau bimbang dengan keadaan politik tanahair di mana orang Melayu menjadi terpinggir, kehilangan kuasa. Kuasa mereka terhakis dengan nyata di Pulau Pinang , Perak dan Selangor. Kaum itu kehilangan beberapa kerusi exco di setiap negeri tersebut. Kerusi itu sekarang sudah dirampas orang, terutamanya oleh DAP. Atau ia dicipta untuk mengguggat perpaduan PR, iaitu mencetus kecurigaan sesama mereka.
Dari situlah juga timbulnya teori akhafu al darurain tadi. Pas diminta meninggalkan kerjasama dengan DAP dan PKR dan mengambil UMNO sebagai temannya dengan memperakui bahawa UMNO adalah rakan yang kurang mudaratnya kalau pun PAS beranggapan UMNO itu seteru besar. Kerajaan negeri di Perak dan Selangor mengambil masa yang lama untuk dibentuk dan ada pendapat mengatakan ini terjadi kerana adanya rundingan-rundingan di antara PAS dan UMNO untuk bekerjasama membentuk kerajaan.
Isu Melayu sekarang bukanlah isu masalah negara tetapi lebih kepada isu survival parti terbesar Melayu, UMNO. Lantaran itu, apakah rasional PAS untuk meletakkan partinya dalam keadaan rumit melalui bekerjasama dengan UMNO. Penjelasan Nik Aziz tepat: Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan UMNO, jahanam, habislah…bahkan Muktamar Pas yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.
“Pas tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada UMNO, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebaikan rakyat,” tegas Mahfuz Omar, juga menafikan adanya kerjasama itu. Haji Hadi, Nasharuddin semuanya turut menafikan.
Pasti orang bertanya, perlukah Pas bersikap angkuh dan menjual mahal sedangkan ketuanan Melayu sekarang berada di tahap kritikal. Di manakah kepentingan survival Melayu dan Islam yang juga diperjuangkan oleh Pas?
Pas pula sementara itu ingin mempersoalkan keikhlasan UMNO memintanya untuk bergabung pada masa ini. Pas sentiasa mengingatkan UMNO bahawa gesaan ‘bersatu’ ini telah dibuat setiap kali UMNO berkeadaan tersepit. Apabila UMNO kuat, Pas dilupakan dan dicemoh.
Adalah rumit pada peringkat ini bagi Pas dan UMNO untuk bercakap dan bertindak untuk bekerjasama. Kerjasama UMNO-Pas di Perak dan Selangor akan hanya membentuk satu kerajaan Melayu. Orang bukan Melayu nanti tidak akan mempunyai tempat dalam kerajaan itu kerana di Selangor calon bukan Melayu BN kalah semua kecuali satu dan kedaan hampir sama berlaku di Selangor. Membentuk kerajaan Melayu bererti memisahkan pentadbiran negeri dari kaum lain yang bilangan mereka cukup besar.
Trend ini sebenarnya sedang berlaku sekarang. Kalau Pas meninggalkan PR di peringkat pusat, PR akan menjadi sebuah pakatan majoriti bukan Melayu. Keadaan akan bertambah buruk jika SAPP, UPKO, PBS dan beberapa parti lain bukan Melayu di Sabah dan Sarawak meninggalkan BN sebagaimana didakwa Anwar. Terdapat juga dakwaan beberapa orang MP Gerakan dan MCA akan menyertai PR. Apakah hasilnya? Satu pihak, kerajaan didokong oleh orang Melayu dan pihak satu lagi oleh bukan Melayu.
Paling penting jika polarisi itu berlaku, kepercayaan bukan Melayu terhadap BN akan terhakis di mana UMNO akan dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan multi-rasial dengan meminggirkan bukan Melayu dan perpecahan besar berlaku di dalam Pas dan bukan Melayu yang pertama kalinya menyokong Pas baru-baru ini tidak akan percaya lagi kepada Pas sampai bila-bila. Kebanyakan orang akan bertindak melalui garisan perkauman.
Jika ini terjadi, negara boleh hancur. Kekacauan akan melanda. Kestabilan tergugat. Para pelabur yang sekarang ini sudahpun lebih selesa memilih Vietnam berbanding kita, maka yang ada pun, akan mula menanggalkan skru dan nat pada jentera di kilang untuk berpindah ke negara lain. Itu akibatnya. Kita tidak boleh sekali-kali bermain politik perkauman. Politik kita berasaskan berbilang kaum. Sistem ini diasaskan dengan jayanya oleh bapa kemerdekaan kita Tunku dan Tun Abdul Razak. Sistem dua parti, di mana adanya BN dan PR baik.
Sebenarnya, UMNO boleh memperkasakan ketuanan Melayu jika pada selepas 8 Mac lalu meminta beberapa orang ADUNnya menyertai Pas bagi memperkukuhkan parti itu untuk berunding dengan rakannya-rakannya yang lain dalam PR mendapatkan kuasa yang lebih bagi kaum yang diwakiliya, Melayu. Pada ketika itu, sertailah Pas buat seketika demi strategi mendaulatkan kuasa Melayu. Kalau 10 orang ADUN UMNO di Perak menyertai Pas, tidak kuatkah Mohammad Nizar dan bermayakah lagi DAP menuntut bukan-bukan? Theresa Kok tidak akan menjadi Exco kanan kalau Khir Toyo bertindak strategik meminta dua tiga orang ADUNnya membantu Pas demi Melayu. Bolehkah dikatakan bahawa UMNO hanya mahu menjatuhkan kerajaan PR tetapi tidak serius memikirkan tentang usaha memantapkan ketuanan Melayu?
Seperti penulis katakan di atas, ADUN Pas tidak boleh memasuki UMNO bagi mengelakkan iklim politik Malaysia menjadi perkauman tetapi dua tiga orang ADUN UMNO boleh bertindak masuk sebagai tindakan strategik untuk mempunyai kuasa runding yang lebih kuat. Kemasukan ADUN-ADUN itu tidak menjejaskan iklim politik negara. Sebenarnya, bagi penulis, UMNO perlukan Pas dan Pas pula perlukan UMNO tetapi mereka tidak perlu bersatu.
Wednesday, July 2, 2008
KETUANAN MELAYU, KERJASAMA PAS-UMNO PERLU
Posted by DR AISAR YEE ABDULLAH at 9:29 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment