Wednesday, August 27, 2008

HARGA PETROLEUM TURUN, TARIF ELEKTRIK BILA?

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 27 Ogos, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Penulis berada di Johor Bahru selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu sempena cuti sekolah bagi menziarahi saudara mara. Pada Jumaat petang, kami berkumpul anak-beranak. Pertemuan begini lazim diadakan setiap kali ada orang jauh pulang kampung. Adik penulis seorang peniaga di sana. Dia memiliki tiga buah stesen petroleum. Kami rancak berbual. Tidak semena-mena dia melompat marah-marah apabila dia membaca sms yang baru diterimanya.”Matilah aku, harga minyak turun tengah malam ni.”

Penulis pada mulanya kurang bersimpati dengannya. Simpati penulis kepada rakyat ramai. Takkanlah sampai mati kalau harga petroleum turun. Kalau dia yang ‘mati’ asalkan jangan benar-benar mati, tidak mengapalah kerana ramai yang akan hidup lebih tenteram. Dia tidak habis-habis memegang telefon bimbit dan menggoncangnya yang di dalamnya terkandung sms tentang penurunan harga sambil memarahi tindakan yang dibuat.

Penulis biarkan dia demikian. Di dalam hati penulis berkata, “apabila harga naik baru-baru ini tentu dia buat banyak duit. Dulu naik 78 sen, sekarang turun hanya lima belas sen. Ruginya sedikit sahaja berbanding untung yang banyak dibuatnya pada 5 Jun lepas”. Seperti dia tahu apa yang ada di dalam hati penulis, dia menjelaskan mulai petang malam 4 Jun baru-baru ini sehingga tengah malamnya, kenderaan tanpa henti masuk ke stesen-stesen petroleumnya dan mengeringkan segala apa yang ada di dalam tangki-tangki. Hampir kering kontang jadinya. “Mana ada untung?” Tanya beliau.

Berbeza kali ini, dia mengagak, sekejap lagi apabila berita itu tersebar luas melalui sms, dia pasti stesen minyaknya akan lengang sehinggakan ‘Bangla’ yang bertugas boleh berbaring di tepi pump. Dia mengeluh kerana petang itu dia dijangka menerima 90 ribu liter minyak dari pembekal dan harga yang diinvoiskan kepadanya berdasarkan harga lama. Dia menjelaskan bahawa syarikat pengeluar minyak memang mengatur strategi agar pemilik stesen minyak tidak menyimpan stok yang berlebihan memandang harga minyak dijangka turun pada awal bulan September nanti sebagaimana pengumuman dibuat oleh menteri.

Dia yakin harga minyak akan diturunkan pada awal bulan, iaitu lagi seminggu dari hari itu. Perdana Menteri, Abdullah Badawi sendiri mengumumkan itu pada 1 Ogos lepas, iaitu kira-kira sebulan dulu lagi bahawa penurunan harga akan dibuat dan penilaian untuk menentukan harga akan dibuat sebulan sekali, pada setiap awal bulan. Maka, tidak salah baginya untuk menimbal stok hari itu bagi jualan dua tiga hari akan datang.

Dia yakin dengan tindakannya menambah stok itu tepat sebab sehingga 20 Ogos, PM masih menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga petroleum sebelum hari pengundian Permatang Pauh. Dia tidak mahu pelanggannya keputusan bekalan dan menyusahkan mereka. Kerajaan akan tetap berpegang pada tarikh 1 September tegas PM. Dia yakin PM tidak akan mungkir janji lagi sungguhpun ramai orang menyifatkan bahawa kata-kata PM tidak boleh dipegang.

Petang itu dia terkejut besar, harga petroleum turun sebanyak 15 sen dan bekalan tambahan yang dipesannya untuk dua dari tiga stesen minyak miliknya, akan menyebabkan dia kerugian sebanyak hampir RM15,000. Dia mula marahkan Abdullah kerana bersikap tidak tegas. Hanya orang bebal sahaja akan datang untuk mengisi minyak petang dan malam ini dia mendakwa. Kalau ada yang datang pun, mereka akan hanya isi sekadar untuk sampai ke destinasi sahaja. Mereka akan mula mengisi semula esok, dia menambah.

Termakan dengan kata-kata orang politik menyebabkan rakyat dan peniaga macam adik saya tadi terpedaya. Selepas pilihan raya PM mengumumkan harga petroleum tidak akan dinaikkan. ‘No petrol price hike in accordance with people’s wish’ lapor akhbar Star 3 April memetik kata-kata Abdullah yang menegaskan kerajaan menerima dan mengakui mesej keras diberikan oleh pengundi dalam pilihan raya Mac, 2008. Kemudian, ikrar itu berubah dengan berkata kata harga petroleum akan hanya dinaikkan pada bulan Ogos. Malangnya, masuk sahaja awal Jun, pengumuman dibuat harga petroleum dinaikkan. Ia dinaikkan mengejut. Akhbar-akhbar menyiarkan gambar dan berita stesen minyak ‘diserang’ pengguna sehingga menyebabkan jalan raya sesak. Kenaikan pula bukan kecil-kecil anak, naik sebanyak 78 sen seliter.

Kali ini, isytihar akan diturunkan mulai September tetapi seminggu sebelum itu sudah diubah lagi. Orang kata kerana ingin meraih undi di Permatang Pauh. Menurunkan harga lebih awal itu adalah satu tindakan baik tetapi tidak memiliki pendirian adalah satu tindakan tidak baik, Jelas kelihatan kerajaan tidak dapat membuat satu dasar. Dasarnya disebut oleh Dr Mahathir sebagai ‘flip-flop’ atau dasar lalang, berubah mengikut aliran angin.

Dasar kerajaan berkaitan harga petroleum seperti kehilangan arah, sehinggakan kita tertanya-tanya pula mampukah kabinet kita membuat suatu keputusan yang bijak? Kerajaan menaikkan harga petroleum terlampau tinggi sehinggakan ia amat membebankan. Kerajaan terpaksa mengumumkan beberapa strategi lain untuk mengurang penderitaan rakyat. Rebat dibayar sebanya RM625 bagi setiap pemilik kereta di bawah 2,000 cc.

Kalaulah, kerajaan tegas dengan dasarnya yang diisytiharkan Abdullah bahawa harga petroleum akan dinaikkan hanya pada Ogos, pembayaran rebat itu dapat diselamatkan. Sekarang bayaran rebat diteruskan dan harga minyak mulai turun. Dianggarkan sebanyak lebih dari RM4 bilion adalah bayaran dibuat kerajaan dalam bentuk rebat sahaja. Akhbar Sinar Harian edisi Nasional 24 Ogos menyebut Najib sebagai berkata, rebat jika diterjemah dalam bentuk subsidi berupa di antara 35 sen hingga 40 sen seliteter.

Kalau begitu keadaannya, pastinya meletakkan harga minyak kepada RM2.35 (selepas ditolak rebat 35 sen sahaja) adalah lebih baik berbanding bayaran rebat yang diberikan. Mengenakan harga petroleum pada kadar RM2.35 adalah lebih wajar berbanding harga RM2.70 dan memberikan rebat pula. Pada harga itu, tekanan inflasi boleh diredakan. Dengan kenaikan harga petrol kepada RM2.70 liter, tekanan inflasi sudah tidak tertanggung oleh rakyat.

Baru-baru ini Bank Negara meningkatkan unjuran purata inflasi kepada sekitar 5.5% dan 6 % dari 4.2% yang dibuat sebelumnya. Kerajaan pula mengumumkan harga-harga pengguna telah naik sebanyak 7.7% pada bulan Jun berbanding Jun tahun lepas. Pada bulan Julai pula ia meningkat lagi menjadi lebih dari 8.5 peratus iaitu satu kadar tertinggi dalam masa 27 tahun dan punca utamanya ialah akibat kenaikan harga petroleum.

Pada hari sama semasa adik saya mengeluh tentang kerugiannya, pada sebelah malam saya ke Kip Mart di Skudai. Tergamam saya melihat satu tanda harga, harga telur ayam grade AA, iaitu RM9.90 sepapan (30 biji). Dulu sewaktu saya sering menemani isteri berbelanja, harga telur ayam hanyalah sekitar RM4.00 sepapan. Harga ayam sudah meningkat kepada lebih dari RM7 sekilo. Mee Soto kegemaran saya, dekat pasar malam menjadi RM3.50 semangkuk atau sebungkus. Itu semua meningkat setelah harga petroleum ditingkatkan kepada RM2.70 seliter. Nasi lemak sudah naik kepada RM1.20 sebungkus.

Berita yang disiarkan oleh Sinar Harian itu turut memetik Najib sebagai berkata kerajaan mungkin akan mengkaji sistem bayaran rebat jika rakyat tidak bersyukur dengan inisiatif kerajaan. Ditanya sama ada penurunan harga petroleum ini akan menyebabkan turunnya harga makanan, Najib menyatakan harapannya corak inflasi akan menurun,. Dia tidak menyatakan keyakinannya selain sekadar menyebut ‘harapan’ sahaja.

Maka akan turunkah harga barangan, makanan dan kos perkhidmatan ekoran penurunan petroleum kali ini? Seruan demi seruan akan dibuat oleh para pemimpin agar harga diturunkan selaras dengan penurunan itu. Seruan juga dibuat dulu agar harga barangan tidak dinaikkan ekoran kenaikan harga petroleum ini dulu. Pemimpin boleh membuat apa saja seruan. Pemimpin juga boleh membuat jaminan. Dulu kita mendengar pemimpin memberi jaminan bahawa harga barangan dan makanan tidak akan naik sungguhpun harga petrolem dinaikkan mendadak tingginya.

Kerajaan sekarang menjadi tidak popular kerana tindakannya gagal mengawal inflasi. Malah, populariti Abdullah sendiri merudum ke tahap di bawah 50 peratus dan beliau menyatakan sebagai seorang ahli politik beliau tidak risau dengan persepsi begitu. Beliau sendiri kesal dengan keadaan yang menyebabkan kerajaan gagal mengawal inflasi.

Mudah bagi para pemimpin kita membuat seruan untuk para peniaga tidak menaikkan harga atau menurunkan harga sejajar dengan perubahan harga petroleum di stesen pump. Akan turunkah harga sebungkus nasi lemak atau semangkuk mee soto dengan penurunan harga petroleum kali ini?

Akhirnya, kita mahu lihat sejauh mana kerajaan sendiri mampu mengamalkan seruannya. Bolehkah ia menjadikan Tenaga Nasional, iaitu pembekal tenaga elektrik kepada pengguna dan perusahaan-perusahan menurunkan tarif elektrik ekoran penurunan harga minyak ini? Pengguna komersial dan industrial terpaksa berdepan dengan kenaikan tarif sebanyak 26% pada Jun dulu. Kenaikan ini menyebabkan barangan keluaran mereka terpaksa dinaikkan dan pastinya akhirnya ia dibebankan kepada pengguna terakhir pula, iaitu kita. Semuanya menyebabkan satu reaksi berantai kenaikan barangan dan perkhidmatan.

Seruan atau jaminan akan dikira sebagai satu laungan kosong yang tidak bererti jika kerajaan sendiri tidak mampu membuatkan TNB yang berupa satu ‘GLC’ menurunkan harga tarif sejajar dengan penurunan harga bahan bakar itu atau TNB seperti juga pedagang yang lain, akan menggenggam erat rezeki tambahan ini.

Penulis bangkitkan kisah kerugian adiknya bukan kerana dia adik penulis, tetapi sebagai mengingatkan para pemimpin agar sentiasa berpendirian tetap dan tidak bertindak seperti lalang. Orang masih melihat pemimpin dari segi negatif. Sudah hampir enam bulan pilihan raya umum berlalu, imej pemimpin kita tetap sama dan rakyat melihat ia menuju tanpa satu arah positif.

*Untuk pembaca yang ketinggalan mana-mana artikel sebelum ini boleh lawati laman web penulis draisaryee.blogspot.com


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger