Wednesday, July 30, 2008

MERCEDES: SEMUA PIHAK BERTINDAK KELAM KABUT

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian, Rabu 30hb. Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Terengganu mendapat limpahan liputan berita sepanjang minggu lalu dan minggu ini. Dua berita menarik, satu fasal pernjimatan yang bersesuaian dengan iklim ekonomi negara dan satu lagi yang bersifat menentang arus, membazir.
Satu berhak diberi pujian dan satu semestinya dikeji habis-habisan.

Baginda Sultan Terengganu mengambil keputusan tidak membuat apa-apa anugerah sempena hari keputeraannya tahun ini pada minggu lepas. Sambutannya juga diadakan secara sederhana.
Negara menghadapi kemelut ekonomi dan rakyat menderita akibat kenaikan harga barangan konsumer. Dengan melakukan demikian, baginda memberi isyarat kepada sesiapa yang berkenaan untuk mengikuti jejak langkah baginda melakukan penjimatan wang rakyat.

Baginda tidak mahu membazirkan wang cukai rakyat. Kalau kita masih ingat, Sultan Mizan banyak melakukan perubahan semenjak mula ditabalkan sebagai Agong. Baginda contohnya, telah memerintah agar semua majlis keraian ditamatkan awal supaya ia tidak mengganggu tugas pejabat keesokannya. Baginda juga telah menunjukkan erti ‘nasihat dan persetujuan’ sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Erti frasa itu telah baginda perlihatkan kepada Perdana Menteri apabila baginda bertindak tidak menerima nasihat PM untuk melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar
.

Namun, tindakan Sultan Mizan menyelamatkan berjuta-juta wang negeri dari dibelanjakan untuk menyambut hari keputeraan baginda berbeza dengan tindakan MB baginda, Datuk Ahmad Said. Beliau sebaliknya, bertindak membelanjakan sebanyak RM3.4 juta untuk membeli kereta Mercedes Benz untuk kegunaan para exco beliau dan pegawai kanan kerajaan Terengganu. Mengikut prosedur kerajaan, pembelian itu tidak menepati syarat kelayakan.


Pembelian kereta mewah ini pada saat para pemimpin menggesa rakyat untuk ‘ubah gaya hidup’ bagi menyesuaikan dengan kerumitan tentunya bercanggah. Sebagai usaha menghalalkan tindakan membeli kereta mewah, imej kereta nasional pula terpaksa diperlekehkan. Pastinya ramai orang melihat gelagat ini memalukan
.

Sekecoh mana kita timbulkan, pembelian sudah dibuat. Wang rakyat telah dibelanjakan. Rasional membeli kereta itu juga telah diberikan. Reaksi-reaksi telah diketahui. Arahan-arahan baru telah dikeluarkan berkaitan isu pembelian itu. Kita seterusnya ingin melihat apakah kewajaran yang diberikan oleh Ahmad Said itu tepat atau dia telah bertindak kerana diberikan fakta yang salah
.

Penulis melihat isu ini sebagai satu tindakan Ahmad yang diasaskan kepada fakta yang salah. Kereta-kereta itu dikenakan kos pembaikian yang terlampau tinggi ke tahap tidak masuk akal. Kos pembaikian melebihi kos belian. Melihat insiden dan perkembangan yang timbul selepas isu itu diketengahkan nyata bahawa kos pembaikian menjadi tinggi kerana adanya unsur penipuan dan rasuah. Para pemilik bengkel mengaku mereka mengenakan kos ‘mark up’ sebanyak 25 persen di atas alasan kerajaan lambat membuat bayaran
.

Penulis yakin, berdasarkan penjelasan diberikan oleh kerajaan Terengganu bahawa bayaran dilakukan dalam masa dua minggu setelah invois diterima berupa tempoh bayaran yang munasabah. Tiada kelewatan berlaku. Maka, pada hemat penulis, kos mark up itu sebenarnya adalah kos untuk wang saku orang-orang tertentu. Ia berbentuk wang rasuah. Kos juga menjadi tinggi apabila ada barang yang tidak perlu ditukar, tetap ditukarkan juga agar pendapatan kepada bengkel bertambah dan bayaran ‘komisyen’ juga meningkat
.

Barang bukan tulen juga dikenakan menyebab ia tidak tahan lama dan akhirnya memerlukan pembaikian lanjut. Sekali lagi kos tinggi dikenakan dan barang palsu masih digantikan. Maka, sebahagian besar dari kos pembaikian sebenarnya masuk ke kantung orang tertentu dan rakyat Terengganu yang membayarnya. Sedihnya, Proton dikutuk dan imej kereta nasional itu terjejas teruk dan pembelian kereta luar negara diwajarkan. Proton dijadikan kambing hitam
.

Masyarakat diberitahu bahawa kerajaan Terengganu tidak layak menggunakan kereta Mercedes. Kelayakan ini ditetapkan oleh kerajaan pusat. Siapa sebenarnya yang berhak menentukan sama ada sesebuah kerajaan negeri layak membeli ini dan itu? Adakah ini ada terputus dalam mana-mana instrument kerajaan dan adakah sesebuah kerajaan negeri itu tertakluk untuk patuh kepadanya? Adakah ini peraturan BN atau peraturan kerajaan pusat? Adakah peraturan ini juga terpakai untuk kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan rakyat
?

Apa pun, kita akui bahawa melalui sesuatu tatacara, persetujuan telah dicapai pada suatu masa dahulu bahawa kerajaan negeri hendaklah patuh kepada kehendak kerajaan pusat dalam pembelian kenderaan untuk kegunaan mereka. Perbuatan kerajaan Terengganu bertentangan dengan persetujuan dan peraturan. Sewajarnyalah kerajaan bertindak ke atas salahlaku kerajaan negeri tadi
.

Pada Jumaat kelmarin, PM mengeluarkan kenyataan ringkas berkaitan fiasko Proton-Mercedes ini. “Saya ingin menyatakan di sini bahawa satu keputusan penting telah dibuat oleh kabinet bahawa kerajaan negeri tidak boleh menggunakan kereta tersebut untuk kegunaan para exco negeri. Ini telah diputuskan.” katanya. Beliau berkata lagi, memandangkan kereta sudah pun dibeli, dan menjualnya kembali akan menyebabkan kerugian, kesemua kereta itu hendaklah digunakan untuk kegunaan tetamu-tetamu negeri atau pembesar
.

Penulis tidak mahu membahaskan tindakan beberapa exco negeri mengingkari perintah dari PM itu. Akhbar-akhbar ada melaporkan tentang kejadian mengikari arahan itu berlaku. Biarlah. Memang pun menggunakan Mercedes lebih seronok dan bergaya dari menaiki Proton sungguhpun ia bertaraf dan diberi nama Perdana. Penulis hanya mahu membincang tentang keputusan yang dibuat oleh kabinet tadi sahaja. Penulis beranggapan isu kereta Mercedes ini bukanlah isu yang patut mendapat tempat dalam agenda mensyuarat kabinet. Banyak lagi persoalan besar yang masih tergendala semenjak 8 Mac yang belum kabinet perhalusi
.

Namun keputusan telah dibuat. Ia tidak boleh dijual kerana didakwa akan menyebabkan kerugian. Bab ini penulis tidak faham siapa yang dimaksudkan akan menanggung kerugian? Kerajaan negerikah akan menanggung kerugian, dan bagaimana? Kita diberitahu bahawa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes E-200 Kompressor dengan harga RM245,000 sebuah. Pembelian kerajaan negeri dikecualikan dari cukai. Pihak kastam tidak mendapat satu sen pun cukai dari pembelian kereta sebanyak 14 buah itu yang kesemuanya berjumalah RM3.4juat itu
.

Penulis diberitahu harga kereta itu untuk orang awam termasuk cukai ialah sebanyak RM350,000 seunit. Pada perhitungan penulis, kalaulah kereta itu dijual dengan harga RM300,000 termasuk cukai, ia menarik minat ramai pembeli kerana ia masih murah dan baru sangat digunakan serta nombor pletnya pun cantik.
Nombor plet itu sendiri dengan mudah mencapai nilai lebih dari RM10 ribu. Kalau dijual dengan harga RM300 ribu itu, pihak kastam boleh mendapat cukai sebanyak RM55 ribu bagi setiap unit dan kerajaan negeri tidak kerugian sesen pun.

Pihak kastam pasti boleh terima jumlah cukai sebanyak itu kerana kalau tidak ia tidak dapat satu sen pun kalau kereta itu masih berada dalam milik kerajaan negeri. Bagi penulis, kerajaan negeri tidak rugi dan kerajaan pusat dapat duit cukai. Pembeli juga beruntung kerana kereta berharga RM350 ribu dicampur nombor plet menarik boleh dibeli dengan harga RM300 ribu sahaja.
Laporan akhbar Star semalam (Selasa) menunjukkan ada exco masih belum terima klereta pun. Ini bererti kereti itu belum terpakai dan belum diserahkan. Lagi menarik. Pembeli menang, kerajaan negeri menang dan kerajaan pusat menang dalam bentuk pungutan cukai.

Keputusan lain yang dibuat oleh kabinet juga dianggap tidak bijak. Mengarahkan kereta itu disimpan oleh kerajaan negeri dan digunakan semata-mata untuk tetamu kerajaan negeri akan membebankan kerajaan tersebut. Ia bukan sahaja satu tindakan membazir bahkan akan menyebabkan pembaziran lain pula terlibat sama. Kereta sama ada diguna atau tidak, terpaksa di’maintain’ dari semasa ke semasa. Ia tidak boleh dibiarkan dalam garaj dan dikeluarkan apabila ada tetamu yang memerlukannya. Kos tambahan tetap ada
.

Penulis tidak dapat menganggar berapa ramai tetamu harian kerajaan negeri Terengganu. Kalau ia ramai dan sehingga memerlukan berbelas-belas buah kereta Mercedes, mengapa hanya Terengganu sahaja yang ada tetamu seramai itu? Negeri-negeri lain, tetamunya menaiki kereta apa? Berapa unit kereta untuk tetamu yang kerajaan negeri lain ada? Bilangan tetamu negeri adalah satu aspek darinya. Aspek lain yang perlu diperjelaskan ialah apakah criteria orang yang layak digelar tetamu negeri itu. Apakah DO sebuah daerah di Melaka contohnya, kalau berurusan rasmi dengan kerajaan Terengganu layak menggunakan Mercedes itu? Penulis perhati, biasanya, kalau ada pembesar dari Puterajaya yang datang ke sesebuah negeri, keretanya yang sampai dulu dan pembesar itu menaiki pesawat.


Hasilnya, penulis tidak nampak rasional kerajaan dan kabinet yang memutuskan bahawa kereta itu tidak boleh dijual kerana akan menanggung kerugian. Penulis juga tidak nampak alasan menyimpan kereta itu untuk kegunaan para tetamu negeri. Kita tidak tahu apakah kriteria digunakan bagi melayakkan seseorang itu bergelar tetamu negeri. Mengambil kira bilangan kereta untuk tetamu di negeri-negeri lain tidaklah sebanyak yang ada di Terengganu, dikhuatiri bilangan Mercedes E200 Kompressor yang ada di Terengganu itu layak mendapat tempat dalam buku Guiness Book of Records sebagai kereta paling lama berada di dalam garaj dan paling kurang kerap digunakan di dunia
.

Sikap kerajaan negeri Terengganu membeli kereta mewah itu dikira tidak tepat dengan masa di mana orang ramai sedang berduka, dan tidak mengikut peraturan kerajaan pusat. Sikap kerajaan pusat menangani fiasko ini pula amat pelik, tidak bijak dan mengundang masalah lain yang akan berbangkit pada masa akan datang. Barangkali, dalam keadaan kelam kabut yang dihadapi para pemimpin kita hari ini, tindakan diambil berkaitan isu kereta mewah ini pun nampaknya pun kelam kabut juga.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger