Tuesday, September 16, 2008

PERJUANGAN UTAMA GERAKAN BUKAN AHMAD

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Ahad 14 hb. September, 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Reaksi keras ditunjukkan oleh para pemimpin rakan UMNO dalam BN terhadap kenyataan Datuk Ahmad, Ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang terhadap status orang Cina amat mengejutkan. Laporan polis dibuat di sana-sini. Kenyataan yang dibuat Ahmad itu lebih memeritkan para pemimpin Cina dalam BN yang selama ini telah dituduh sebagai hanya menjadi boneka UMNO. Mayarakat Cina menuduh parti komponen Cina atau diterajui Cina sebagai tidak berkesan. Mereka berperanan sebagai pak angguk sahaja.

Sebagai usaha untuk menunjukkan kepada masyarakatnya, bahawa mereka juga bertaring, kesempatan diambil dari ucapan berbaur perkauman pemimipin UMNO itu. Mereka menghentam Ahmad sehinggakan Najib terpaksa memohon maaf bagi pihak UMNO.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh menunjukkan jumlah orang bukan Melayu mengundi calon PKR meningkat berbanding PRU-12. Pada PRU Mac lalu sekitar 70 peratus orang bukan Melayu tidak menyokong BN tetapi pada pilihan raya kecil itu, jumlahnya meningkat kepada 80 peratus. Peningkatan ini membimbangkan para pemimpin parti-parti bukan Melayu dalam BN. Kesinambungan hayat parti-parti jadi pertaruhan.

BN mengadakan mesyuarat untuk membincang kedudukan Ahmad. Akhirnya UMNO diberi tanggungjawab untuk mengambil tindakan ke atas anggotanya itu. Masa depan anggota komponen,untuk kekal dalam dalam BN atau tidak bergantung kepada tindakan yang diambil oleh UMNO. Mesyuarat BN kali ini digambarkan sebagai paling terbuka dan ikhlas oleh Kayveas, Presiden PPP. Mengikut beliau, bagi pertama kali dalam masa 15 tahun beliau menganggotai BN, setiap orang bebas bercakap kali ini. Maksudnya, dari pendedahan tokoh ini, selama ini mesyuarat BN tidak ikhlas dan tidak terbuka. Benarlah tuduhan bahawa anggota-anggotanya adalah boneka.

Hasilnya, banyak parti komponen BN dianggap sebagai budak suruhan UMNO. Gerakan, contohnya, sebuah parti yang berkonsepkan multi rasial pada asasnya, tetapi lebih mirip kepada Cina, dikatakan sudah tidak memiliki wibawa dalam politik akar umbi mereka. Ia berada di dalam keadaan tertekan untuk melakukan pembaharuan dan termasuklah yang agak drastik iaitu meninggalkan BN. Agak menyulitkan parti itu ialah betapa baik pun pembaharuan yang akan berjaya dilakukan, ia akan kekal dengan imej sebagai budak suruhan UMNO.

Tahun ini berupa satu tahun di mana kebanyakan parti di bawah BN akan mengadakan pemilihan. Di dalam BN, resepi mudah memenangi pemilihan parti ialah melalui cara menjadi juara kaum. Memandangkan tindak tanduk UMNO sering dituduh menyebabkan orang bukan Melayu tidak lagi memberikan sokongan kepada BN, maka logiknya, menghentam UMNO adalah jalan mudah untuk mendapatkan sokongan dan seterusnya dipilih menjadi pemimpin parti.

Mengkaji balik sokongan orang bukan Melayu terhadap BN memperlihatkan sesuatu situasi yang pelik. Bermula 1955 sehingga 2004 untuk tempoh selama 5 abad, masyarakat bukan Melayu memberikan sokongan padu terhadap Perikatan dan BN kecualilah sekali, iaitu pada pilihan raya tahun 1969. Malah sokongan orang bukan Melayulah yang menyebabkan tertegaknya kerajaan BN untuk satu tempoh yang agak lama. Pada tahun 1999 apabila sebahagian besar orang Melayu mengambil keputusan meninggalkan BN, sokongan orang bukan Melayu tidak berganjak

Masih dapat dikesan bahawa pengundi bukan Melayu menyokong kuat BN sehingga pada pilihan raya umum 2004. Mereka bersama orang Melayu telah sepakat menolak parti pembangkang sehinggakan parti pimpinan Wan Azizah menang hanya satu kerusi sahaja itu pun di kawasan Permatang Pauh dan undi majoritinya hanyalah kurang dari 600 undi. Sebuah parti berteraskan Cina, DAP hanya menang 12 kerusi. Pada tahun 2004, tidak timbul persoalan orang bukan Melayu tidak berpuashati dengan kepimpinan BN yang diterajui oleh UMNO.

Mengapa dalam masa empat tahun, sokongan padu masyarakat bukan Melayu kepada BN pada tahun 2004 bertukar menjadi ‘kebencian melampau’ pada tahun 2008? Masyarakat bukan Melayu, Cina terutamanya dikatakan terlalu sukar untuk memilih sebuah parti lain selain BN. Mereka dikatakan mengutamakan stabiliti dan hanya BN yang boleh menjaminnya. Parti Gerakan contohnya, menyatakan bahawa sukar baginya untuk membelakang UMNO selepas menjadi rakan kongsi selama lebih dari 37 tahun.. Mengapa tahun ini berubah ? Mengapa stabilti itu dipertaruhkan dan apa yang mereka cari kali ini?

Jika kita berpandukan jawapan yang diberikan oleh Dr Lim Keng Yaik, mantan Presiden Gerakan, beliau menyalahkan kemenangan besar BN pada tahun 2004 sebagai puncanya. UMNO yang menjadi tulang belakang BN bertukar menjadi lebih angkuh, lebih rasis dan rasuah menjadi-jadi tanpa dapat dibendung lagi. ‘‘Pada Mesyuarat Agung Tahunan UMNO setiap orang boleh perhatikan betapa kuatnya api perkauman di sana. Semua ini meletakkan parti komponen parti lain dalam kesusahan. Kemudian Hindraf timbul. Jadi, kami sudah tahu sebelum menghadapi 8 Mac betapa buruknya keadaan,’’ rumus Dr Lim.

Itu UMNO pada kacamata Dr Lim. Namun, beliau sanggup memberi UMNO satu lagi peluang sungguhpun pada penilaian beliau akar umbi sudah tekad membuat keputusan mahukan parti itu meninggalkan BN. Dr Koh Tsu Koon sudah beberapa kali menyatakan partinya akan meninggalkan BN sekiranya UMNO tidak menunjukkan perubahan sikap. Selepas mesyuarat BN kali ini, Koh menyatakan kedudukannya dalam BN bergantung kepada tindakan yang diambil ke atas Ahmad.

Penulis terkial mencari logik akan kenyataan Koh ini. Dia tertanya apakah masalah penolakan orang Cina ke atas BN disebabkan oleh tindakan Ahmad? Apakah Ahmad puncanya, sedangkan kenyataan Ahmad hanya baru dibuat? Bukankah penolakan orang Cina berlaku pada Mac 2008? Bereskah masalah orang Cina dengan penggantungan Ahmad?

Nyata bagi penulis, sekali lagi BN masih berkeadaan terkeliru. Ia masih tidak tahu punca ia ditolak pengundi. Ahmad hanya sekadar dijadikan kambing hitam. Masalah BN bukan dicetuskan Ahmad. Ia berkait rapat dengan masalah yang dicetuskan oleh pemimpin lain yang lebih tinggi dari Ahmad. Lim Keng Yaik telah menghuraikan lebih tepat masalah itu. Sayangnya, hanya sekarang baru Keng Yaik berani bersuara. Dulu pun, Keng Yaik dihinggapi sindrom bisu seperti para pemimpin lain BN sebagaimana didedahkan oleh Kayveas.

"Kami sanggup bekerja sama dengan UMNO dan berbincang dengan mereka untuk berubah dan selaras dengan hasrat orang ramai yang tidak mahu politik perkauman yang menebal serta ingin melihat lebih telus. Jangan isytiharkan kamu mahu memerangi rasuah, kamu mesti bersungguh-sungguh memerangi rasuah, mulakan dengan parti kamu sendiri dan bukannya hanya sekadar munumpukan kepada pegawai tadbir sahaja" jelas Dr Lim lebih lanjut tentang rasa tidak puas hatinya.

Persepsi umum sebelum ini ialah masyarakat Cina agak bertoleransi dengan rasuah asalkan mereka dapat berniaga tanpa gangguan. Namun, apabila projek-projek sektor awam banyak dibolot oleh para pemimpin UMNO dan mereka hanya mendapat ‘hampas’ sahaja, perasaan benci mereka meluap. Keyakinan mereka bahawa Abdullah Badawi bersikap telus sebagaimana gambaran awal sewaktu mengambil alih pentadbiran negara dari tangan Dr Mahathir pada Oktober 2002 meleset. Mereka melihat rasuah makin menjadi-menjadi dan tindakan awal Abdullah hanyalah berbentuk bom asap sahaja.

Para pemimpin Gerakan dan parti-parti bukan Melayu lain sudah mula bersuara lantang di sana-sini. Mereka telah menyuarakan pendapat bahawa formula berkongsi kuasa di antara kaum yang telah berjaya dilaksanakan selama 50 tahun mula berkecai dek keghairahan UMNO dalam masa empat tahun ini yang meminggirkan peranan parti komponen bukan Melayu yang lain.

Mereka mendapati negara telah berubah tetapi parti mereka dan UMNO tidak berubah. Mereka sekarang memekik reformasi. Sikap bekerjasama dalam BN untuk memperjuangkan hak orang bukan Melayu nampaknya telah gagal. Buktinya, mereka ditolak pada pilihan raya umum enam bulan lepas. Mereka melihat para pemimpin UMNO tanpa segan silu berani bertindak untuk menyakitkan hati mereka. Oleh itu, mereka mahu kedudukan mereka dalam BN diperjelaskan kembali, iaitu sebagai satu rakan yang lebih bermakna dan UMNO sebagai tulang belakangnya diminta membuat perubahan ketara.

Sudah enam bulan BN diberi mandat untuk memerintah kembali sungguhpun mandat itu lebih kecil, tetapi sudah cukup besar untuk memerintah dengan baik dan stabil. Jika kududukan itu berada di tangan mereka yang berkemampuan, kuasa itu tidak boleh digugat. Namun mereka melihat UMNO tidak melakukan banyak perubahan atau reformasi kepada institusi-institusi kehakiman, polis, badan pencegah rasuah, universiti-universiti, dan sebagainya sebagaimana dijanjikan dalam pilihan raya itu. UMNO terlalu lemah dalam posisi kuat.

Di samping itu, kehadiran PR umumnya dan PKR terutamanya memberikan saingan hebat kepada BN menyebabkan parti komponen BN terpaksa menilai kembali kedudukan masa depan parti pilitik masing-masing . Mereka mahu parti kekal relevan. Sekarang mereka sedang mengkaji secara serius kedudukan mereka dalam BN, adakah ia bermanfaat untuk masyarakat yang mereka wakili atau tidak. Hanya beberapa hambatan yang wujud menyebabkan mereka tidak berani mengambil tindakan drastik. 17

Maka, Parti Gerakan diletakkan di dalam keadaan serba salah. Niat di hati hendak meninggalkan BN tetapi hendak ke mana? Mereka tidak berminat menyertai PR kerana kehadiran parti itu tentunya tidak akan mendapat ruang dalam Pakatan Rakyat itu. Sudah wujud dua parti yang berkonsepkan sama dengan Gerakan dalam PR, iaitu DAP dan PKR. Di mana Gerakan boleh menyelitkan diri? Bolehkah DAP memberikan ruang untuk Gerakan berperanan kembali di Pulau Pinang? Akan jadikah Gerakan sebagai budak suruhan DAP pula dan kian lama kian lemah semacam PPP?

Persoalan-persoalan ini menyebabkan Gerakan berada dalam tertekan. Untuk tinggal kekal dalam BN, bererti hanya masa sahaja yang akan menentukan kematian Gerakan. Sebelum ia menemui ajal, ia akan terus kekal menjadi budak suruhan UMNO. Ia mahukan UMNO berubah drastik bagi membolehkannya ia terus kekal dalam BN. Ia terus menuding jari menyalahkan UMNO yang menyebabkan ia dalam dilema sekarang tetapi ia sendiri hilang pedoman. Lalu tindakan diambil UMNO ke atas Ahmad akan segera dianggap sebagai kejayaan Gerakan. Gerakan sudah berpuashati tetapi para pengundinya bagaimana? Hakikatnya, masalah dihadapi BN sebagaimana digariskan oleh Keng Yaik sudah dilupakan dan Gerakan akan terus menjadi tidak relevan.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger