Sunday, August 17, 2008

MiTM, MALU INSTITUTE OF TECHNOLOGY?

Artkel ini tersiar dalam Sinar harian Ahad 17 Ogos 2008 muka N14

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

Minggu lepas kita dipertonton dengan ketakjuban upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik Beijing 2008. Berbilion pasang mata terpegun melihat kebijaksanaan rakyat China memberi persembahan. Penulis terlalu kagum dengan kemampuan negara dan rakyat China itu. Paluan irama gendang dan pancaran cahaya dalam pelbagai bentuk yang amat ‘precise’ begitu memukau. Rata-rata orang bersetuju bahawa China meletakkan satu nilai piawaian baru yang sukar dicapai oleh mana-mana negara lain yang menganjur sukan olimpik pada masa hadapan.

Dasar terbuka yang diamalkan oeh negara China menjadikan negara itu satu ekonomi terhandal di dunia. Barangan buatan China menguasai dunia. Kita pergilah ke seluruh dunia atau kawan-kawan kita ke mana-mana sahaja pun begitu, dan apabila pulang akan membawa ole-ole yang apabila dibelek-belek tertulis satu frasa kecil, ‘Made in China’. Kalau di Mekah, hampir kesemuanya barangan terjual adalah buatan China, termasuk sejadah dan biji tasbih.

Dasar terbuka China telah mengubah segalanya. Sewaktu mengamalkan dasar tertutup dulu kita tahu rakyat China banyak yang hidupnya melarat. Myanmar masih menjalankan dasar tertutup dan negara itu kian mundur. Vietnam dulu pun begitu tetapi Vietnam setelah mengubah polisi, menjadi kian maju dan dalam beberapa segi sudah pun mengatasi Malaysia. Kerajaan Melayu Melaka pun pernah mencapai kegemilangan dan sikap keterbukaan kerajaan Melayu itu menjadikan ia pusat pertembungan kebudayaan di rantau Asia dan terkenal di seluruh dunia.

Keterbukaan dan persaingan membuah kemajuan. Namun, polisi ini tidak dapat diamalkan oleh Universiti Mara atau UiTM sebagai mana ia lebih dikenali. UiTM adalah sebuah universiti yang dibina di bawah peruntukan hak istimewa orang Melayu yang terkandung sebagai mana tercatat dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Ia khusus kepada bumiputera sahaja. Ia mesti menjalankan dasar tertutup. Ia tidak boleh menjadi seperti negeri China atau seperti kerajaan Melayu Melaka dulu. Pintunya tidak boleh dibuka kepada kaum lain.

Demi menjaga apa yang disebut kepentingan Melayu, tidak hairanlah apabila orang Melayu bangkit mempertahankan kedudukan UiTM agar kekal menjadi institusi pengajian khusus untuk bumiputera. Naib cancelornya, Ibrahim Abu Shah memberitahu sepatutnya tidak ada orang, baik dari kalangan kerajaan mahupun pembangkang tergerak hati membuat cadangan agar sepuluh peratus pelajarnya hendaklah dari kalangan bukan bumiputera. Beliau mendapati ganjil sifatnya jika ada seorang Melayu yang sampai hati membuat cadangan begitu.

Seorang Melayu, yang juga seorang Menteri Besar dari sebuah parti yang berpakat dengan DAP, bernama Abdul Khalid Ibrahim dari Selangor telah membuat cadangan itu. Cadangan beliau disambut dengan kecaman-kecaman pedas dari kalangan pemimpin UMNO. Ramai menuduh beliau sebagai pengkhianat kepada ras Melayu. Penulis tidak faham kenapa Khalid boleh membuat cadangan itu. Khalid sepatutnya faham akan sensitiviti pemimpin UMNO kepada isu seperti itu.

Orang Melayu sejak mencapai kemerdekaan selama 50 tahun dulu terus menerus dijaga kedudukannya oleh UMNO. Orang Melayu hanya mempertanggungjawabkan kepada UMNO untuk menjaga kepentingannya. Parti lain tidak pernah menyatakan ia akan mempertahankan hak istimewa orang Melayu. Hanya UMNO sahaja yang bermoto, ‘Hidup Melayu’. Selama 50 tahun UMNO telah menjadi pemimpin kepada orang Melayu untuk menjadikan mereka maju dan UMNO barangkali memerlukan lagi sekurang-kurangnya 50 tahun untuk menjadikan Melayu setaraf dengan kaum lain di negara tanah asal mereka. Sebelum masa itu sampai, orang semacam Khalid tidak patut mengguris hati Melayu. Orang Melayu belum bersedia untuk menyerahkan walaupun sepuluh peratus tempat belajar kepada bukan Melayu di UiTM.

Penulis tidak tahu kenapa dan siapa yang bertanggungjawab gagal membawa Melayu ke matlamat yang diidamkan. Penulis juga tidak tahu sama ada UMNO sengaja tidak mahu Melayu cepat maju kerana ingin menggunakan isu seperti ini untuk terus menerus menjadikannya satu ‘bogey’ yang menakutkan orang Melayu. UMNO mahu Melayu terus berselindung di belakangnya dari ancaman orang semacam Khalid yang akan timbul dari semasa ke semasa. Kalau Melayu sudah maju dan kuat, apa perlu lagi mereka kepada UMNO? Barangkali ini salah Khalid yang pada pandangan UMNO, sepanjang hayatnya tidak banyak melakukan untuk orang Melayu.

Pastinya para pemimpin UMNO melenting kuat apabila cadangan itu dibuat Khalid. Ini tidak sukar difahami dalam suasana UMNO sekarang mulai dilupai orang. ‘Idea kurang bernas’ cetusan Khalid ini dieksploit habis-habisan oleh UMNO dengan menggunakan jentera media massa miliknya. Isu ini adalah seperti ‘durian runtuh’ kepada UMNO. Ia akan digunakan seluasnya semasa berkempen di Permatang Pauh sebagi bukti bahawa Pakatan Rakyat sebenarnya dikuasai oleh DAP. Anwar Ibrahim bukanlah orang yang boleh diharapkan menjaga kepentingan Melayu.

Ramai orang bertanya bagaimana sebuah saranan yang dibuat oleh seorang Bendahari parti yang tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan dasar parti apa lagi dasar negara boleh dberi tindakbalas sebegitu rupa seolah ia sudah menjadi dasar dan akan dipraktik pada bila-bila masa sekarang. Khalid tidak berkuasa menjalankan dasar itu sungguhpun UiTM terletak di Selangor dan Khalid adalah MB Selangor. UiTM terletak di bawah kuasa menteri pusat yang dipegang oleh UMNO.

Maka ramai penganalisis politik yakin bahawa susulan kepada saranan Khalid itu adalah semata-mata didorong oleh motif politik. Mereka yang ingin mempertahankan kedudukan UiTM boleh dipersoalkan keikhlasan mereka dalam mempertahankan hak Melayu sebagaimana didakwa. Mereka ini dilihat membisu kelu apabila satu tindakan, (baca tindakan dan bukannya cadangan) telah dibuat untuk memberi peruntukan tempat sebanyak 10 peratus telah dilakukan oleh Tun Mahathir kepada bukan Melayu untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara. Mahathir telah membuat dasar itu sebagai hadiah kepada sumbangan masyarakat bukan Melayu yang menyelamatkan kerajaannya dari kekalahan pilihan raya 1999.

Kita lihat tidak ada perbezaan di antara MRSM dan UiTM yang kedua-duanya adalah dicetusklan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Dulu UMNO tidak membantah langsung cadangan itu malah menyambut baik di atas alasan ia memberi ruang untuk mewujudkan persaingan sihat yang akan akhirnya memberi faedah kepada Melayu jua. Berbeza sekarang, Khalid tidak melaksanakan, is sekadar mencadang sudah pun dianggap pengkhianat Melayu. Maka di mana keikhlasan para ‘pejuang Melayu’ ini?

Penulis lebih condong untuk membantah tindakan memberi tempat di MRSM kepada bukan Melayu berbanding dengan saranan terbaharu dari Khalid itu. Setiap tahun, puluhan ribu pelajar Melayu yang mendapat lapan A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) memohon untuk memasuki MRSM tetapi hanya sekitar 4,000 murid yang berjaya. Bakinya terpaksa meneruskan pelajaran di sekolah lama. MRSM mencatat kejayaan 100 peratus dan telah berjaya melahirkan professional yang amat unggul.

Baki puluhan ribu pelajar Melayu yang gagal meneruskan pelajaran yang berupa berlian yang tidak dapat digilap menjadi kurang menonjol di sekolah lama mereka apa lagi kalau sekolah itu berada di kawasan luar bandar. Seorang pelajar Melayu yang mendapat 8A dalam PMR yang belajar di MRSM hampir 100 peratus akan mejadi kebanggaan Melayu dan boleh menakluk dunia tetapi belum pasti seorang pelajar Melayu yang mendapat gred sama yang belajar di luar bandar akan berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti. Itu cerita pelajar Melayu yang berjaya mendapat 8A dan bagaimana pula yang mendapat 7A dan 1 B? Mereka ini tidak kurang juga cemerlangnya. Terdapat puluhan ribu pelajar Melayu dalam kategori seperti itu. Tiada kendengaran pula suara pemimpin pejuang Melayu memperjuangkan nasib mereka ini.

Merampas kerusi mereka unrtuk diberi kepada pelajar bukan Melayu seharusnya, pada pendapat pejuang Melayu ini, berupa satu dosa dan pengkhianatan yang lebih besar berbanding dengan cadangan Khalid tadi. Penulis yakin jika lebih banyak maktab seperti MRSM ini didirikan, persoalan memberi 10 peratus ruang kepada pelajar bukan Melayu ini di UiTM tidak berbangkit langsung. Beri 30 peratus pun pasti tidak mencemaskan Melayu. Melayu yang dilahirkan oleh MRSM ini mampu bersaing ketika itu. MRSM melahirkan pelajar-pelajar yang lulus SPM cemerlang yang sanggup bersaing dengan sesiapa bahkan pelajar dari negara luar pun.

Begitu ramai peajar MRSM yang belajar di luar negara selepas lulus SPM atau yang terus didik oleh MARA melalui programnya yang berjaya di luar negara. Ramai yang kekal tinggal di luar negara menjadi pensyarah di universiti-universiti terkemuka dunia. Mereka menjadi kebanggaan Melayu dan Malaysia. Sayangnya, ruang untuk pelajar Melayu ini telah dipotong sebanyak 10 peratus dan para pemimpin UMNO yang amat menonjol mahu dilihat memperjuangkan nasib Melayu dulu kini dan selamanya mengambil sikap menyepi seribu satu bahasa. Kali ini, gegak gempita Malaysia kedengaran suara mereka. Demi apa?

Jelas kelihatan jika sesuatu tindakan itu dibuat oleh UMNO dan menjejaskan kesejahteraan Melayu, para pemimpin UMNO akan akur dengan tindakan itu dan akan memberi pelbagai rasional tetapi jika ada saranan yang akan hanya tinggal saranan kerana yang menyaran diketahui tidak memiliki kuasa, segala jentera parti dan kerajaan digunakan untuk mengutuk saranan itu.

Untuk mengatasi isu pendidikan Melayu ini, penulis beranggapan pihak MARA dan Kementerian Pelajaran segera memperbanyakkan sekolah berasrama penuh untuk menampung permintaan murid-murid khususnya dari luar bandar. Inilah sahaja jalan untuk memperbanyakkan para elit Melayu. Kalau hendak meluntur buluh, biarlah dari rebungnya. Peruntukan yang besar hendaklah diberikan ke arah merealisasi ini. Elakkan pembaziran dan rasuah dan jika itu dilakukan pasti ada wang untuk membina lebih banyak sekolah.

Tanpa melakukan sesuatu yang radikal untuk menggilap permata-permata yang bertaburan terbenam di dalam lumpur di desa-desa sekarang, para pemimpin Melayu dianggap gagal melonjakkan Melayu ke tahap yang diimpikan. Sudah 50 tahun Melayu berkuasa dan kalau masih bersikap ghairah memperkatakan perkara yang bukan asas hanya kerana keperluan politik berparti, selama lagi seratus tahun pun kita masih tidak akan malu-malu ingin mempertahan sesuatu yang akhirnya terlampau sukar itu dipertahankan apabila dunia sudah tidak memiliki sempadan lagi. Ketika itu, MiTM mungkinkah akan dicemoh sebagai Malu Univerisiti of Technology?

Sementara ini, kalau hendak dipertahankan kedudukan UiTM sebagai 100 peratus dihuni pelajar bumiputera, Ibrahim Abu Shah hendaklah bertindak keras menjadi ia sebuah universiti kebanggaan Melayu. Jangan dibiarkan ia dicemuh sebagai tempat di mana pelajarnya berada semata-mata kerana mereka adalah Melayu. Jangan biarkan ia dijadikan tempat untuk Melayu berselindung kerana takut bersaing dengan pelajar bukan Melayu. Jangan jadikan ia tempat Melayu berjaya menjadi jaguh kampung. Jangan biarkan kelayakannya dipertikaikan dan ‘scroll’ yang dimiliki pelajar itu hendaklah menjadi buruan semua.

Berada di dalam dunia yang agak mencabar ini, mampukah pelajar Melayu ‘survive’? Pelajar Melayu pada suatu hari nanti akan terpaksa hidup dalamn satu masyarakat global yang tidak akan kenal warna kulit atau agama. Melayu tidak boleh berselindung di bawah hak istimewanya selama-lamanya. Apabila pelajar Melayu keluar dari universiti esok, dia terpaksa bersaing juga dengan pelajar bukan Melayu. Di situ meritokrasi menjadi asas. Di situ terletaknya ukuran kejayaan institusi pengajian tinggi. Lihat dunia perniagaan, selain syarikat-syarikat berkait kerajaan, (GLC) berapa ramai pendokong utamanya Melayu? Beleklah halaman perniagaan akhbar, lihat di mana kedudukan Melayu dan dari muka Melayu itu berapa pula yang dilahirkan oleh UiTM?


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger