Saturday, August 30, 2008

PERMATANG PAUH: AMARAN LAMPU MERAH UNTUK BN

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Khamis 28 Ogos, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Petang Selasa dua hari lepas, penulis ke pejabat Sinar Harian untuk menyerahkan rencana bertajuk ‘harga petrol turun, tarif elektrik bila?’ untuk mengisi kolum penulis pada setiap Rabu. Penulis biasanya mengirimkan rencana untuk siaran melalui e-mel sahaja tetapi kali ini kerana ingin melihat perkembangan Sinar Harian yang kian mendapat sambutan ramai, terasa ingin ke sana pula. Penulis singgah berbual dengan Abd. Jalil Ali bos besar editorial di situ.

Kami berbual banyak tetapi kerana esoknya adalah hari membuang undi di Permatang Pauh, tajuknya tentulah berputar itu. Siapa menang pula jadi tumpuan utama. Memandang penulis gemar menggunakan angka untuk mengukuhkan hujah, penulis mencadangkan keputusan begini kepada beliau: Anwar menang dengan undi majoriti lebih dari yang diperolehi Wan Azizah. Alasannya begini! Bilangan pengundi 58,459 orang. Pengundi yang akan keluar mengundi dianggarkan 80%, atau angka bundarnya 46,767 orang.

Dari angka itu Melayu membentuk 69% atau berjumlah 32,269 orang dan bukan Melayu 31% atau 14,497 pengundi. Penulis memberitahu Abd. Jalil bahawa dia menganggarkan BN akan hanya mendapat 25% dari jumlah undi bukan Melayu yang dikira berangka 3,625 undi dan selebihnya, iaitu 75% itu atau 10,872 (14,497-3,624) diberikan kepada PKR . Undi Melayu yang berjumlah lebih dari 32,000 itu akan diagihkan dalam bentuk calon BN mendapat 35% dan PKR 65% atau dalam bentuk angka ialah 11,294 (BN) dan 20,975 (PKR). Undi yang diperolehi oleh calon AKIM tidak diberi pertimbangan.

Maka, penulis meramalkan pada pertemuan dengan Abd. Jalil hari itu semasa pengundian sedang rancak berjalan, bahawa Anwar calon PKR akan memperoleh undi sebanyak 10,872 campur 20,975 yang berjumlah 31,847 dan undi untuk calon BN, Arif Shah sebanyak 11,294 dari pengundi Melayu dan selebihnya 3,625 undi dari kalangan bukan Melayu. Dengan itu, undi calon BN dijangka pada tahap 14,919. Lebihan undi yang akan diperolehi oleh calon PKR ialah 31,847 ditolak 14,919 iaitu 16,928. Penulis memberitahunya bahawa dalam apa keadaan pun sebagaimana akan dibukti dari perbezaan angka Anwar dan Arif Shah, undi calon PKR tidak akan kurang dari apa yang diperolehi oleh Wan Azizah pada 8 Mac lepas.

Hakikatnya, keputusan sebenar pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos menunjukkan Anwar memperolehi 31,395 undi, iaitu selisih hanya 452 undi berbanding ramalan penulis yang dibuat kepada Abd. Jalil dari akhbar Sinar Harian itu. Dari segi undi lebihan ramalan penulis agak ketara selisih, iaitu 1,257 undi tetapi tetap melebihi 13,000 sebagaimana yang penulis tegaskan kepadanya. Barangkali kalau penulis memberi angka orang Melayu yang berpihak kepada Anwar sebanyak 63 peratus dan yang menyokong Arif Shah 37 peratus, telahan penulis akan menjadi lebih tepat. Penulis enggan memberikan angka seperti itu dan membundarkannya kepada lima, sepuluh, lima belas kerana ia mudah dikira dan ia tidak ingin membuktikan secara saintifik sangat.

Penulis yakin dengan angka itu pada petang tersebut selepas lama mengkaji reaksi-reaksi diberikan masyarakat terhadap dakwaan liwat oleh Saiful terhadap Anwar. Melalui pembacaan dan perbualan, penulis dapat bersetuju dengan kajian yang dibuat oleh Merdeka Center bahawa 21.4% pengundi Melayu yang ditemui di Permatang Pauh berpendirian ‘somewhat do not believe’ dan sejumlah 35.3% ‘somewhat do not believe at all’ serta 12.5% ‘ do not say or won’t say’.

Mudahnya, setelah mengambil kira bahawa yang dari kalangan ‘won’t say’ itu ada sebab untuk tidak menyatakan pendiriannya seperti keranan meluat, penulis merumuskan bahawa 65% pengundi Melayu di Permatang Pauh tidak percaya dengan tuduhan itu. Survey itu juga mendedahkan bahawa 59% dari pengundi Melayu yakin bahawa ‘allegations of sexual misconduct against Anwar was politically motivated’. Penulis menganggap 65% yang tidak percaya ini pasti akan mengundi Anwar.

Setelah menonton siaran berita TV tempatan mengenai liputan pilihan raya kecil itu, penulis mendapati isu liwat ini adalah isu utama yang dimainkan oleh BN. Setiap malam, sebuah stesen TV swasta menyiarkan isu-isu liwat ini dan pelbagai tuduhan bertujuan memburukkan Anwar. Pada malam sebelum pilihan raya, isu ‘bukti-bukti dari DNA’ disiarkan yang dikatakan membabitkan Anwar. Setiap malam skrin besar di Permatang Pauh menyiarkan berulang-ulang upacara bersumpah yang dilakukan oleh Saiful di Kuala Lumpur. Saiful dikatakan ‘berkempen’ kuat di sana melalui siaran VCD.

Isu utama lain yang dimainkan oleh BN untuk meyakinkan pengundi untuk tidak ‘memangkah’ Anwar ialah isu Anwar sebagai pengkhianat kepada ras Melayu. Poster yang mengandungi apa yang dikatakan sebagai kabinet Pakatan Rakyat diedarkan kepada pengundi Permatang Pauh. Untuk menjadikan Melayu berperasaan mual kepada Anwar dan PR, kabinet itu dinamakan kabinet babi. Ia banyak mengutamakan bukan Melayu dan jawatan-jawatan penting juga menjadi milik mereka. Lik Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Siaran berita TV kembali menyiarkan isu projek babi di Sepang dan juga isu saranan Khalid untuk membuka pintu UiTM sebanyak sepuluh peratus kepada bukan Melayu. Penyiaran berita seperti ini bertujuan untuk membangkitkan perasaan benci orang Melayu kepada Anwar di Permatang Pauh khususnya dan seluruh Malaysia amnya. Selain itu Anwar juga digambar sebagai orang yang akan menggadai malah menjual Malaysia kepada Amerika dan Yahudi.

Penekanan BN yang terlampau terhadap isu-isu itu untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap Anwar dilihat sebagai satu pengiktirafan bahawa ia tidak lagi mengharapkan undi dari kalangan kaum bukan Melayu. BN sudah akui bahawa kaum-kaum itu sudah ‘abandon’ mereka. Hanya Melayu sahaja harapan mereka. Maka, isu-isu yang dijangka akan menyebabkan Melayu akan datang berpaut kepadanya dimainkan hebat.

Anehnya, BN tidak melihat hakikat yang terjadi di peringkat ‘ground’. Sewaktu ia sibuk memainkan sentimen orang Melayu adakah orang Melayu hari ini masih berpandangan begitu? Apakah isu ketuanan Melayu itu begitu sensitif kepada orang Melayu hari ini?. Kalau ia sensitif, adakah ia menyeluruh kepada semua Melayu?

Sikap tidak berpijak di bumi nyata ini, penulis anggap adalah satu keadaan malang yang dihadapi oleh parti yang telah banyak berjasa kepada orang Melayu. Namun setiap kali UMNO mengungkit-ungkit agar orang Melayu membalas budinya, ia terlupa bilangan orang Melayu yang termakan budinya itu sudah berkurangan bilangannya. Melayu yang ada hari ini tidak lagi memberi nilai keutamaan kepada warna kulit sawo matangnya. Melayu sekarang sudah berpelajaran, sudah mampu bersaing dengan syarat persaingan itu saksama.

Persaingan yang dihadapi Melayu hari ini adalah sengit, ia tidak sahaja terpaksa bersaing dengan bukan Melayu tetapi dengan Melayu yang bapa orang itu menjadi pemimpin UMNO sedangkan bapanya hanyalah anggota biasa UMNO. Dia kalah di situ. Sesama anak pemimpin UMNO pun ada persaingan lagi, maka, kabel siapa lebih kuat, dia menang. Tidak ramai lagi Melayu mendapat manfaat dari ketuanan Melayu dan untuk itu apa yang mereka perlu pertahankan?

Kita lihat bagaimana keadaan di Permatang Pauh. Baca tulisan Karim Raslan menerusi ruangan tetapnya di akhbar Star dan Sinar Harian setiap Selasa. Sehari sebelum hari pengundian setelah meneliti sendiri keadaan di sana, Karim menulis bahawa dia melihat Anwar di depan ribuan pengundi Melayu, begitu yakin memuji ketokohan Lim Guan Eng sebagai pemimpin negeri Pulau Pinang. Anwar menerangkan tentang konsep kertuanan rakyat dan bukan lagi dasar ketuanan Melayu yang diperjuangkannya dan semua itu langsung tidak mendapat bantahan dari mereka yang hadir. Anwar begitu yakin dia tidak menimbulkan kemarahan Melayu. Bagi beliau, ‘relevancy’ isu ketuanan Melayu itu kian menurun.

Isu yang sentiasa menjadi amalan BN iaitu melakukan ‘pembangunan segera’ atau majlis sumbangan yang semuanya berbentuk segera semacam ‘mee maggi’ juga tidak lagi boleh menambat hati pengundi. Dulu rakyat akan berterima kasih di atas sumbangan dan pembangunan dan mengangguk-angguk berkali-kali mengalahkan sifat orang Jepun sebagai tanda berterima kasih itu di atas sumbangan tetapi sekarang ia dianggap sebagai hak mereka dan mereka sebaliknya akan mengaggap tindakan itu tidak ikhlas kerana dilakukan di ambang pilihan raya sahaja. Dr Ng Yen Yen sendiri sewaktu menyerah derma sebanyak RM200 seorang kepada 156 orang tua Cina di sana tidak menanggap ia sebagai satu rasuah. Ia tanggungjawab, katanya.

Begitulah juga dengan tindakan Samy Vellu menyerahkan bakul mengandungi makanan dan Najib memberi sumbangan kepada surau dan masjid di Permatang Lim Guan Eng sempat bertanya, kenapa Permatang Pauh sahaja, daerah lain bila? Sumbangan berjuta-juta ringgit yang diberikan kepada sekolah Cina itu pun dianggap oleh masyarakat Cina sebagai tindakan kerajaan menjalan amanahnya dan itulah juga yang diisytiharkan oleh mereka yang datang dari Puterajaya mewakili kerajaan pusat. Pengundi sudah tidak termakan dengan amalan begini.

Keputusan pilihan raya kecil ini, yang angkanya tidak banyak lari dari apa yang penulis paparkan di atas yang berkesudahan para pengundi memilih tokoh dari parti pembangkang dalam jumlah yang bukan kecil memusnahkan langsung segala gambaran bahawa pengundi mudah termakan gula-gula pembangunan ‘instant’ atau sumbangan segera atau mudah ditakutkan dengan jembalang perkauman. Ia juga memusnahkan persepsi bahawa mempersoalkan moraliti calon dan mempertikaikan kesetiaannya kepada kaumnya adalah resepi kejayaan merebut kerusi.

Lantaran begitu ghairah dengan usaha menjatuhkan peribadi Anwar, para pemimpin UMNO terlupa menjawab atau sengaja tidak mahu memanjangkannya lagi akan isu dibangkitakan Anwar dan tokoh-tokoh pembangkang lain tentang penderitaan rakyat akibat dasar mengenakan harga petroleum yang tersilap percaturan. Isu ini memberi ruang yang amat luas kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan. Kerajaan dianggap tidak mempunyai keprihatinan lagi terhadap kesusahan rakyat apabila ia bersetuju menaikkan harga minyak yang melibatkan setiap rakyat tetapi memberi rebat kepada pemilik kenderaan sedangkan bukan semua orang memiliki kenderaan.

Ekoran kenaikan harga petroleum itu, kenaikan harga barangan lain sudah tidak dapat dibendung lagi dan indeks harga pengguna berada pada kedudukan tertinggi dalam masa 27 tahun. Rakyat amat marah dengan tindakan menaikkan harga petroleum sebanyak 78 sen sekaligus yang tidak pernah terjadi sepanjang hayat mereka.

Keputusan pilihan raya kecil ini ini memberi amaran lampu merah terhadap BN bahawa setelah enam bulan dari pilihan raya umum lepas, para pengundi masih belum nampak sebarang tekad untuk membuat ‘reform’ malah ada isyarat menunjukkan bahawa pentadbiran sekarang semacam kehilangan arah dan perlu diperbetulkan. Kegagalan UMNO untuk membuat ‘reform’ mungkin akan menyulitkan parti itu kerana pada kali ini Anwar tidak perlu lagi berselindung di Kondo di tempat beliau dituduh melakukan perbuatan liwat terhadap Saiful untuk bertemu MP-MP BN tetapi boleh duduk semeja di kaferia bangunan parlimen secara-terangan hanya bezanya, perbincangan mereka gelap-gelapan untuk merintis jalan bersama ke Puterajaya.

*Untuk pembaca yang ketinggalan mana-mana artikel sebelum ini boleh lawati laman web penulis ‘draisaryee.blogspot.com’


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger