Wednesday, July 23, 2008

GILIRAN ANWAR PULA KEPANASAN

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Rabu 23 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Habuannya besar. Pas akan ditawarkan jawatan Menteri Besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan. Jawatan exco akan diberikan kepada ADUN Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor. Pas akan ditawarkan bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-12 lalu di samping semua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP.


Lima jawatan menteri penuh juga ditawarkan kepada para pemimpin Pas. Beberapa orang pula akan dilantik sebagai senator. Kesemua kerusi di atas dikatakan ditawarkan jika Pas menerima tawaran UMNO untuk berpakat dengannya dan meninggalkan Pakatan Rakyat
.

Tawaran itu belum sahih. Ia sekadar cakap-cakap awam. Memang tawaran itu jika benar akan memecah liur sesetengah pemimpin dalam Pas.
Ini adalah jalan pintas tumpang memerintah. Pastinya, kalau kekal bersama PR, belum tentu Pas dapat merasa jawatan-jawatan seperti tadi.

Bagi kebanyakan orang, jawatanlah yang menjadi pendorong memikat mana-mana pihak untuk setuju bertemu. Pas, yang sekarang sudahpun menikmati sedikit sebanyak kuasa, akan sanggup bertemu dan berbincang dengan UMNO yang juga memegang dan memiliki banyak kuasa di peringkat pusat dan negeri bagi memperkukuhkan kuasa. Tidak mustahil bagi Pas untuk bertemu dan berbincang.


Pendedahan Perdana Menteri bahawa Pas dan UMNO telah tiga kali bertemu bagaimanapun memeranjatkan ramai sungguhpun desas-desas mengenai cadangan pertemuan banyak kedengaran dan kuat dimainkan oleh akhbar-akhbar. Berita tentang pertemuan itu menjadi tajuk utama semua akhbar termasuklah akhbar bukan Melayu. Saya sempat melihat muka depan akhbar China Press bertarikh 21 Julai di mana terpampang gambar Abdullah dan Hadi Awang dengan angka 3 yang besar yang menggambarkan sudah tiga kali bertemu
.

Melalui pendedahan PM bererti persemukaan Pas-UMNO bukanlah suatu dakyah. Ia adalah sesuatu yang benar-benar telah terjadi. Bukan sekali, malah sudah tiga kali bertemu selepas 8 Mac. Pas pula tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan PM yang juga selaku Presiden UMNO bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan kaum Melayu
.

Abdullah menyebut pertemuan berlangsung sebanyak tiga kali yang melibatkan pimpinan peringkat tinggi parti masing-masing. Kenyataan Pas hanya menyebut tiga nama yang dua di antaranya bukanlah peringkat tinggi yang sengaja disusun demikian untuk tidak memberikan mereka mandat untuk membuat keputusan.
Mengikut Abdul Khalid Samad sebagaimana dilaporkan media, Pas berperanan sebagai pendengar sahaja. Pas banyak berkata, ‘ya’, ‘ya’ tanpa sebarang komitment.

Melalui satu kenyataannya pada 20 Julai kelmarin, Hadi mendedahkan bahawa Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Dato’ Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad telah untuk pertama kalinya bertemu PM. Pertemuan kedua melibatkan Nasharudin dan PM berlaku di bangunan Parlimen. Di dalam kedua-dua pertemuan disebut Hadi, beliau tidak hadir
.

Sebagai orang Islam, kita pastilah bersyukur dan mengalukan sebarang langkah diambil bagi menyatupadukan umat.
Usaha itu akan menjamin keagungan Islam dan sekaligus ketuanan Melayu. Persoalan besar, apakah ia akan menjadi kenyataan seperti mana yang kita impikan. Kita berharap pertemuan ini tidak sekali-kali diasaskan kepada suatu niat lain, iaitu permainan politik. Kita akan terkilan jika pertemuan ini mempunyai niat terselindung.

Umat Islam pasti kehampaan kalaulah kepentingan parti politik dijadikan agenda dan kepentingan umat dan kaum diperalatkan. Kita benar berharap alasan untuk persemukaan ini dibuat kerana timbulnya keinsafan bahawa kekuasaan Islam akan terlebur kerana perpecahan ketara di kalangan umat Islam di negara in
i.

Datuk Nik Aziz, Murshyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan sangsi akan niat sebenar UMNO ingin bersemuka kerana parti itu kelihatan berpecah dan berada di dalam keretakan akibat perasaan tidak puas hati akar umbi terhadap pimpinan Abdullah. Parti yang memerintah pusat itu juga dikatakan bertambah tidak popular selepas pilihan raya kerana masyarakat bawahan terkesan menanggung beban inflasi yang tinggi ekoran kenaikan harga petroleum
.

Kebimbangan Nik Aziz ini berasas. Pas dijemput menyertai BN pada 1969 ketika parti UMNO berkeadaan sama, lemah. Pada 1978 tatkala UMNO kembali pulih, Pas ditendang keluar. Tempoh itu berupa suatu yang pahit bagi Pas. Pas menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1969 selepas peristiwa 13 Mei yang juga menyaksikan perpecahan Melayu yang amat parah. Pada pilihan raya tahun itu, Selangor dan Perak hampir jatuh ke tangan Parti Progresif Rakyat pimpinan D.R. Seenevasagam dan DAP. Pulau Pinang pula telah jatuh ke tangan Gerakan, Akhirnya, PPP dan Gerakan membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan yang juga diserta Pas. Melalui BN, PPP dan Gerakan akhirnya menjadi kian lemah
.

Perpaduan itu tidak kekal seperti mana niat asal kerana ia diasaskan kepada keperluan politik semasa sahaja. Lama-kelamaan mereka bercakaran. Ini boleh diduga kerana tentunya para pemimpin komponen tidak boleh berpeluk tubuh apabila melihat kerusi yang dipertanding dibolot oleh parti komponen lain. Contohnya, bolehkah pemimpin UMNO Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak hanya menjadi penonton dan pemimpin kelas dua kepada Pas di negeri-negeri itu?
Sudah tentu teringin juga orang UMNO suatu hari nanti menjadi MB di negeri berkenaan.

Akhirnya, pecah juga kerajaan pakatan UMNO-Pas di Kelantan. Kerajaan Kelantan menjadi tidak stabil, darurat diisytiharkan lalu memaksa kerajaan pusat mengambil alih pentadbirannya melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran). Pas akhirnya dipecat dari BN. Itulah agaknya, Nik Aziz berkeras sangat tidak mahu kekecewaan berulang. Barangkali, banyak pemimpin Pas dewasa ini yang tidak tahu pun akan sejarah itu
.

Peristiwa Pas ditendang keluar dari BN itu berlaku pada tahun 1978, iaitu kira-kira 30 tahun lampau. Para pemimpin Pas yang berumur 50 tahun hari ini, masih belum boleh mengundi pada tahun itu. Itulah sebabnya mereka lupa akan peristiwa pahit seperti mana yang dialami Nik Aziz. Nik Aziz mengingatkan bahawa UMNO sekarang sedang hendak lemas dan memang perjuangan Pas untuk melemaskan UMNO, jadi mengapa hendak menarik UMNO agar tidak terus lemas
.

Percubaan-percubaan kuat pemimpin UMNO bercakap tentang semuka dengan Pas dilihat bermotif untuk menimbulkan perasaan curiga di antara Pas dan rakan sekutunya dalam PR iaitu PKR terutamanya. Tindakan ini adalah sebagai memulangkan paku buah keras UMNO kepada tindakan Anwar yang cuba untuk tidak menstabilkan BN melalui cakap-cakap MP mereka akan melompat parti.
Dengan berbuat demikian, UMNO mahu melihat perpaduan Pas-PKR pula tidak stabil dan Anwar pula kepanasan.

Saingan kepada UMNO dan BN akan mula dilenyapkan jika perpaduan Pas-PKR-DAP dapat dipatahkan. UMNO akan menang mudah di dalam pilihan raya akan datang. Maka banyak pendapat mengatakan bukanlah sangat UMNO ingin berpakat dengan Pas tetapi hanya ingin melihat kehancuran PR. Pas berpakat dengan UMNO bukan matlamatnya, matlamatnya, pakatan Pas dengan PKR mesti dileburkan. Sistem dua parti yang mula menampakkan potensi boleh dihanyutkan. Laluan BN seterusnya akan mudah
.

Projek PR kelihatan lebih ‘viable’ selepas debat petroleum baru-baru ini. Lebih ramai rakyat dikatakan bertambah yakin dengan kemampuan PR mengendalikan pentadbiran negara. Sementara itu, kejayaan tiga negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor, tiga negeri termaju di Malaysia ditadbir dan diurus dengan sempurna dikatakan akan membuka mata rakyat keseluruhannya. Maka, keutuhan kerajaan-kerajaan negeri itu hendaklah dihancurkan segera melalui PAS diajak meninggalkan PR. Kerajaan Selangor dan Perak akan kehilangan majoriti kalau Pas bertindak keluar darinya. Sebab itu Pas dikatakan dijanji dengan habuan yang amat besa
r.

Memandangkan usaha ke arah perpaduan ini baik, eloklah ia diteruskan dan dilakukan secara terbuka dan sebagai permulaan, kerajaan pusat diminta segera membangunkan negeri-negeri di bawah kelolaan Pas sebagai bukti ia ingin meningkatkan kesejahteraan ekonomi umat Islam. Itu membuktikan bahawa kepentingan umat diutamakan dan bukannya politik. Nik Aziz kesal pembinaan sebuah pasar yang hanya berharga RM8 juta di Pasir Mas dibatalkan kerana desakan politik. Bangunkah negeri-negeri yang ramai didiami orang Islam tanpa mengira apa fahaman politik mereka. Nawaitu, adalah segala-galanya
.

Dari segi strategi politik Islam, Pas dan UMNO tidak dikehendaki bersatu. Keduanya hendaklah bergerak seiring. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan lemah. Salah satu darinya tidak juga boleh dibiarkan lumpuh atau lemas.
Kedua-duanya hendaklah berkeadaan kuat dan hendaklah sering ingat mengingatkan.

0 comments:


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger