Friday, February 22, 2008

ANWAR IKON KEPIMPINAN ALTERNATIF

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 22 Februari, 2008 muka N10.

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah


Tokoh-tokoh politik Barisan Nasional, terutamanya dari barisan pemimpin tinggi apabila bercakap secara terbuka semuanya mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Anwar sudah tidak lagi relevant dalam iklim politik Malaysia .

Namun, desas desus mengatakan bahawa hampir dalam setiap mesyuarat parti anggota BN, UMNO terutamanya, nama Anwar jarang sekali tidak disebut. Sungguhpun enggan mengakui impak yang akan diberikan oleh Anwar, mereka tetap terus menyebut namanya.

Penulis bersetuju bahawa Anwar kalau diberi peluang bertanding di dalam pilihanraya kali ini belum tentu boleh menang kecualilah jika diperuntukkan sebuah kawasan selamat di Kelantan. Di tempat lain, di negeri lain, belum tentu Anwar akan menang, termasuk Pulau Pinang.

Itulah hakikatnya. Anwar akan diserang habis-habisan di kawasan yang ditandinginya. Segala meriam akan dihalakan kepadanya. Pelbagai taktik akan digunakan.

Persoalan di sini ialah bukan Anwar sebagai seorang individu. Pilihanraya kali ini, jika Anwar terlibat mengambil bahagian bertanding akan memberikan satu perspektif menarik sekali. Anwar akan dilihat sebagai satu ikon harapan. Satu ikon yang selama ini tidak wujud. Ikon seperti itu pernah wujud pada tahun 1990 sewaktu Tengku Razaleigh bertindak sebagai pemimpin Gagasan Rakyat.

Tengku Razali sebagai pemegang obor ikon pada tahun 1990 telah hampir-hampir berjaya menewaskan kerajaan Barisan Nasional jika dilihat dari sudut undi popular. Kelompok Gagasan Rakyat berjaya merangkul sebanyak 48.7 peratus dari jumlah undi popular sedangkan BN hanya berjaya mendapat 51.3 peratus.

Selepas itu, barisan pembangkang bertanding sungguhpun bersatu tetapi persatuan itu tidak diyakini kerana tiada seorang pun dari kalangan mereka dapat dilihat sebagai pemimpin yang diterima semua. Tengku Razaleigh kembali menyertai UMNO. DAP tidak menerima kepimpinan PAS dan PAS tidak dapat menerima kepimpinan DAP. Pemimpin Keadilan ketika itu, Datin Seri Wan Azizah dilihat sebagai pemimpin sementara sahaja dan tidak berkelayakan memimpin sebuah gagasan besar menandingi BN.

Permuafakatan mereka sebelum ini dibuat sama ada sewaktu Anwar berada di ambang masuk penjara, atau di dalam penjara. Kali ini suasananya lain, Anwar yang pernah menduduki kerusi nombor dua negara telah dilihat sebagai satu cahaya dari sebuah terowong yang dulunya gelap untuk menjadi pemimpin negara.

Kehadirannya kali ini adalah dalam suasana yang lain. Beliau dilihat sebagai satu tokoh yang boleh dipercayai oleh kaum Cina, India dan apalagi Melayu. Ciri ketokohan ini tidak wujud di kalangan para pemimpin barisan alternatif sebelum ini. Ini dijangka memberi satu motivasi dan impak kepada para pengundi yang selama ini menganggap tidak ada alternatif kepada BN untuk membolehkan mereka bertindak menyokong pembangkang.

Sekarang Anwar berada di celah gelanggang politik Malaysia. Anwar yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan (Pelajaran), Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri mula dianggap sebagai seseorang yang berkemampuan menandingi ciri kempimpinan PM sekarang, Datuk Seri Abdullah.

Anwar sekarang berperanan sebagai ‘rallying factor’. Kehadirannya menjadikan kumpulan alternatif sebagai satu pilihan yang ‘viable’ kepada pengundi oleh segolongan rakyat. Sebelum ini, kemampuan golongan itu untuk memerintah negara ditaksir sebagai amat tidak meyakinkan. Tidak Haji Hadi mahupun Lim Kit Siang dapat menjadi pemimpin yang diyakini berkesan. Kelompok itu sering diibaratkan sebagai tidur sebantal tetapi mimpi berlainan.

Inilah kekuatan atau kekhuatiran yang dihadapi oleh para pemimpin BN sekarang sehinggakan memaksa mereka mengadakan satu pilihanraya di dalam kedaan amat tertekan. Siri kenaikan bahan petrol, toll, barang makanan, imej bidang kehakiman yang tercalar seperti pendedahan siasatan video klip Lingam, keadaan jenayah yang tinggi semuanya terpaksa dihadapi oleh BN.

Dan bayang Anwar yang lebih bertenaga dan ‘real’ berada di belakang. Sudah ada pengundi yang membandingkan kepimpinan Abdullah dan Anwar. Anwar mungkin kalah jika bertanding tetapi ikon Anwar akan menyemarakkan semangat tidak memilih BN jika Anwar benar dianggap mampu menandingi Abdullah Badawi.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger