Friday, July 25, 2008

NILAI SUMPAH SEKADAR DI BIBIR

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian Jumaat 25 Julai, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Berat jari untuk menekan key-board tujuan membicarakan isu-isu berkaitan Anwar. Desakan bertalu-tahu dari teman dan pembaca menyebabkan penulis menyerah kalah. Banyak permintaan untuk penulis membuat analisis fasal kes liwat yang dituduh ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dulu penulis kata, meluat menyebutnya. Meluat kerana kalau betul-betul Anwar melakukannya, nyata beliau tidak belajar dari tuduhan yang dikenakan kepadanya sepuluh tahun dulu dan penulis meluat kalau tuduhan ini palsu, bagaimana orang yang menuduh dan sesiapa yang di belakangnya, bertindak seperti menganggap rakyat negara ini bodoh.

Namun, sudah hampir sebulan selepas tuduhan itu mula timbul pada 28 Jun lepas, isu ini masih diperdebatkan. Ia masih belum berkesudahan, iaitu orang yang dituduh belum dibawa ke mahkamah atau tuduhan tidak pula digugur. Masa yang lama ini memberi ruang untuk orang memperkatakan seluas-luasnya. Bila isu luas dibincang, lebih banyak pula persoalan timbul. Mahu tidak mahu, penulis terpaksa melayan permintaan teman-teman dan pembaca.

Ramai bertanya, selesaikan sahaja isu ini dengan bersumpah gaya Islami. Kenapa perlu panjang-panjang lagi, selesaikan segera. Biarlah kedua-dua orang yang terlibat bersumpah. Kebenaran akan muncul dan kemusnahan akan tertimpa orang yang berbohong. Pihak yang benar tentunya tidak akan takut untuk melakukan sumpah itu, saran mereka.

Pengetahuan penulis tentang hukum bersumpah dan jenis bersumpah ini sangatlah cetek. Keadaan itu tidak pula menjadi lebih baik kerana kemudiannya menjadi terkeliru akibat beberapa pandangan berbeza yang diberikan oleh mereka yang lebih arif tentang hukum agama.

Mufti Perlis, SS Dr Mohd Asri Zainul Abdin meminta kedua orang yang terlibat melakukan ‘mubahalah’ atau bersumpah di khalayak sambil menyebut laknat Allah ke atas diri kalau berbohong. Selepas bersumpah, kedua-dua yang terlibat dikehendaki tidak lagi membangkitkannya serta menunggu tindak balas dari Allah yang berupa laknat ke atas orang yang berbohong.

Pandangan Dr Mohd Asri tidak disetujui oleh seorang Mufti lain yang lebih kanan, Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Bagi Harussani, Anwar tidak diperlukan untuk bersumpah menggunakan al-Quran atau pun cara mubahalah untuk membuktikan dia tidak bersalah kerana beban membuktikannya itu terletak kepada orang yang menuduh, iaitu Saiful.

Amalan bersumpah di khalayak ini bukanlah sesuatu yang akan pertama kali terjadi di kalangan kita. Ia adalah kejadian harian. Ada yang disiar langsung oleh stesen televisyen. Di mana-mana orang bersumpah. Ada yang menggunakan al-Quran dan ada yang menggunakan kitab suci agama lain. Kita perhatikan sewaktu menerima perlantikan penting, ada upacara meletakkan tangan ke atas al-Quran, atau memegang al-Quran sambil membuat ikrar sumpah seperti akan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menjaga kepentingan masyarakat dan negara. Sehari selepas mengangkat sumpah bersaksikan al-Quran, berguni-guni duit bukan miliknya dikebas.

Upacara mengangkat sumpah sebagai mana yang kita kenali sekarang, tidak kita beri tekanan keagamaan sungguhpun kitab suci itulah yang kita pegang semasa kita membuat akuan. Disiplin sumpah kita ketepikan. Ia sekadar suatu istiadat warna-warni yang menghalalkan kita memegang jawatan dan sebagai pengesahan kepada jawatan yang disandang. Menjadi menteri perlu mengangkat sumpah, menjadi wakil rakyat mereka bersumpah, menjadi hakim pun disertai majlis angkat sumpah. Peliknya, ramai tidak setia dengan sumpah sungguhpun bersaksikan al-Quran.

Kita bersumpah dengan nama Allah, dengan bersaksikan al-Quran tetapi kita sedikitpun tidak berasa gentar untuk melakukan kemungkaran melanggar sumpah. Kita melakukan rasuah, penyelewengan ke atas amanah yang diberikan kepada kita. Kita tidak berasa apa-apa. Biasa sahaja.

Berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum ini, melakukan sumpah menggunakan a-Quran didapati tidak menyelesaikan masalah. Bila kedua-dua pihak sanggup bersumpah tentang sesuatu isu, pastinya salah satu di antara mereka membuat sumpah palsu. Mana mungkin kedua-dua pihak yang melakukan sumpah itu bercakap benar. Seorang darinya pasti berbohong.

Maka, memadaikah bersumpah untuk menyelesaikan masalah. Kita imbas kembali kepada satu kejadian yang melibatkan sumpah di masjid menggunakan al-Quran yang membabitkan dua orang tokoh politik negara kira-kira 40 tahun lepas. Dua tokoh yang terlibat ialah Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin utama parti Perikatan dan Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung Pas.

Pertarungan sengit merebut pengaruh dan pengundi di antara Parti Perikatan (BN belum wujud) dan Pas terjadi pada tahun 1969. Pada masa itu UMNO diasak kuat dan ramai para cendekiawan Melayu memihak kepada Pas kerana tidak berpuashati dengan dasar pelajaran kebangsaan yang jalankan oleh Perikatan. Dr Mahathir yang pada masa itu dikenali sebagai ultra-Malay (Melayu pelampau) kalah di tangan Pas dan kemudiannya dipecat dari UMNO kerana menentang dasar-dasarTunku yang banyak menyebabkan Perikatan kalah di tangan Pas, Parti Progresif Rakyat dan DAP.

Dalam suatu majlis, Tunku telah menuduh Pas menerima bantuan dari negara luar membiayai perjuangan parti itu. Tuduhan Tunku ini dinafi keras oleh Mohd Asri. Tunku terus menerus membuat tuduhan itu di dalam usaha menghalang pengundi berpihak kepada Pas. Penafian Pas diturut pula oleh tuduhan balas dari parti itu bahawa Perikatanlah yang sebenarnya menerima wang sumbangan dari luar.

Mohd Asri mencabar Tunku untuk bersumpah. Cabaran Mohd Asri disahut Tunku. Pada hari dan masa yang ditetapkan, Tunku telah melafazkan sumpah bersaksikan al-Quran di Masjid Zahir Alor Star dan Mohd Asri melakukan sama di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Sampai hari ini kita tidak tahu pihak mana yang termakan sumpah dan pihak mana yang terkena bala. Kalau ada bala yang tertimpa sesorang, pihak yang satu lagi itu menganggapnya sebagai suatu kejadian biasa yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Kalau seseorang menjadi lumpuh, ia akan dirasionalkan sebagai kesan biasa serangan angin ahmar. Ia tidak ada kena mengena dengan balasan dari Allah.

Baru-baru ini seorang pemimpin besar negara telah melafazkan sumpah di depan ramai penyokong partinya menafikan bila terlibat dengan apa yang dituduh dilakukan oleh beliau melalui satu surat perakuan sumpah (SD). Namun, masih ramai orang yang menyimpan persepsi bahawa beliau berbohong. Lebih malang , beliau diberi tuduhan tambahan, dituduh pula sanggup permainkan agama.

Di dalam dunia yang penuh dengan penipuan, penyamaran, penindasan, kezaliman, rasuah malah pembunuhan semata-mata kerana inginkan kuasa, maka apakah sangat untuk melakukan satu sumpah palsu? Bolehkah kita bersandar kepada satu upacara bersumpah untuk menyelesaikan kebuntuan? Kalaulah mereka sanggup melakukan jenayah sebegitu rupa, tentunya, bersumpah dengan nama Allah sekalipun, adalah satu perbuatan enteng. Ia tidak membawa apa-apa kesan kepada nurani mereka.

Maka berkesankah sumpah yang dibuat dan akan selesaikah masalah yang dihadapi oleh sesiapa yang dikenakan tuduhan sungguhpun menggunakan al-Quran jika ada pihak yang tidak amanah? Banyak pihak itu sanggup menerima akibat di akhirat kelak tetapi tidak sanggup mennggung malu di dunia. Bagi mereka, soal akhirat, belakang kira.

Lagipun, kalaulah kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini hendak diselesaikan melalui majlis bersumpah, akan gugurkah tuduhan selepas itu? Bagaimana pula dengan ratusan atau ribuan tuduhan lain yang dikenakan ke atas orang lain, seperti membunuh, menyamun, merogol, atau rasuah bolehkah ia diselesaikan melalui sumpah?

Mengapakah hanya kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini sahaja perlu diselesai melalui bersumpah. Bagaimana dengan kes curi basikal? Bagaimana pula jika ada tuduhan dibuat ke atas anda bahawa anda telah melakukan ‘liwat’ adakah anda akan mengheret orang yang menuduh itu ke masjid untuk bersumpah, atau meminta dia memberikan bukti serta anda menuntut saman malu? Di mana nanti peranan mahkamah kelak akan diletakkan?


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger