Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Jumaat 18 Julai, 2008 muka N14
Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
Berdasarkan maklumat diberi oleh pihak penganjur, Laman web Agendadaily, seramai 4.4 juta orang dianggar menonton debat di antara Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan de fakto ketua, Parti Keadilan Rakyat, PKR yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesten TV tanahair.
Angka itu tidak termasuk mereka yang menonton melalui skrin Internet seluruh dunia melalui beberapa laman web yang turut sama terlibat dalam siaran langsung. Debat itu menarik dan ramai orang terpukau. Rakyat dari pelbagai keturunan juga mengikuti debat ini jika ulasan-ulasan yang diberikan dalam laman-laman web dijadikan pedoman. Isu yang diketengahkan itu sememangnya satu isu yang sangat menyentuh rakyat semua lapisan masyarakat. Isu kenaikan harga pertroleum dan bagaimana dua pihak yang bertentangan menanganinya.
Seperti biasa, kemampuan pendebat akan dinilai oleh penonton. Kita pasti telah membaca reaksi yang diberikan oleh mereka. Sebagaimana penulis membuat rumusan dalam satu artikel sebelum ini, rumusan kita akan didorong oleh emosi kita terhadap parti yang kita sokong.
Kebanyakan orang yang berpihak kepada BN akan memberi ‘rating’ yang tinggi terhadap prestasi yang diberikan Shabery. Sama ada ‘rating’ yang diberikan itu wajar adalah cerita lain.
Kita perhalusi reaksi yang diberikan oleh para pemimpin BN. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar menyatakan kandungan debat yang diberikan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata debat membuktikan Anwar memberi janji palsu daripada segi menurunkan harga petroleum. Beliau menambah, Anwar hanya temberang.
Nada sama diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz. Malah, apabila ditanya sanggupkah beliau berdebat dengan Anwar, beliau segera menjawab melalui pertanyaan, Dia tidak takut kerana pernah berdebat dengan Lim Kit Siang dan Karpal Singh dan maka itu, siapa Anwar! Sebetulnya, Nazri merupakan orang yang layak kerana dia berkedudukan sebagai menteri yang sangat kanan. Semoga satu debat dapat diadakan menemukan Nazri dan tokoh lain dalam Pakatan atau dengan Anwar sendiri kerana Nazri sanggup berdepan dengan beliau.
Shabery lebih meyakinkan. Itu adalah pendapat yang diberikan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed, MP Pulai dari BN. Rakan beliau, K. Devamany,
Itu adalah beberapa contoh pendapat yang diberikan tentang prestasi Shabery. Lain pula pendapat orang bertentangan pihak. MP DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Anwar memiliki kelebihan pada malam itu. Lim Kit Siang juga berpendapat sama dan menambah bahawa hujah Anwar amat meyakinkan. Namun, dia menganggap Shabery tidaklah mengecewakan sangat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan berpendapat hujah Anwar amat meyakinkan terutamanya dari segi ekonomi. Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, MP Pas, Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melihat Anwar sebagai cukup bersedia dengan pelbagai fakta berkaitan isu ekonomi manakala Shabery lebih mempolitikkan isu berkenaan.
Begitulah orang politik sentiasa melihat sekeping duit syiling dari sudut dia berada. Pendirian mereka hendaklah dilihat dengan diskaun tertentu. Ramai orang mampu menilai sendiri prestasi para pendebat malam itu. Turut dinilai ialah prestasi moderator’ yang dilihat telah menjalankan tugas secara sangat adil. Cuma dapat dikesan perasaan kesal sebilangan penonton dengan sikap yang ditonjolkan oleh rakan Shabery yang diberi tanggungjawab membuat soalan kepada Anwar dan Shabery sendiri yang dikira telah tidak membantu menteri itu.
Malah seorang graduan dari universiti di mana terjejas jika ukuran lulusan itu diasaskan kepada tanggapan NC berkaitan terkeliru dengan fakta bahawa harga petroleum juga berkaitan dengan harga gas yang dikenakan kepada pengeluar tenaga persendirian (IPP).
Apa pun penulis terpesona mengikuti perdebatan malam itu. Sehinggalah pada saat-saat akhir, penulis berasama sebilangan besar rakyat teratanya-tanya jadikah perdebatan ditunggu ramai itu. Apakah akan ada satu pembatalan pada saat akhir. Kemungkian berlakunya pembatalan pada saat akhir itu ada kerana sekurang-kurangnya terdapat satu hambatan besar yang dihadapi oleh salah seorang yang dijadualkan berdebat.
Kekhuatiran ini tidak boleh ditolak kerana suatu ketika dulu pun terjadual satu debat agung diatur di antara Pas dan UMNO. Semua pihak telah bersetuju dengan tajuk, dengan kaedah debat, dengan moderator, dengan tempat dan barisan para pendebatnya. Anwar adalah salah seorang di antara orang dinamakan oleh UMNO sebagai pendebat untuk mewakili partinya. Akhbar-akhbar dan TV pada masa itu telah pun menyiarkan bentuk kerusi dan pentas yang disediakan. Akhirnya, majlis debat dibatalkan atas arahan Majlis Raja-Raja Melayu di atas alasan untuk menjaga keharmonian perpaduan Melayu dan Islam.
Hanya bila debat bemula, kekhuatiran hilang. Penulis ikuti dengan amat. Setiap hujah diperhati. Penulis bersetuju dengan rumusan majoriti. Shabery menang besar.
Penulis beri kemenangan kepada Shabery bukan kerana hujahnya. Hujahnya semua orang boleh dengar dan buat keputusan sendiri. Penulis bukan sahaja kagum dengan kesanggupannya berdepan dengan Anwar. Ramai lagi menteri kanan yang lebih layak tetapi takut menawarkan diri. Penulis kagum kerana semenjak dia menjadi Menteri penerangan sudah banyak perubahan dilakukannya. Sekarang kita boleh menonton gelagat para pemimpin kita di parlimen melaui kaca TV. Kita tahu siapa dengan mudah menyebut perkataan ‘barua’ dan siapa yang boleh memberi isyarat lucah untuk bukan sahaja kita tonton tetapi anak-anak sekolah.
Dulu semuanya itu, semua perbahasan termasuk yang cerdik dan tidak cerdik, semuanya tidak disiarkan. Hanya propaganda kerajaan sahaja diberi tempat. Kita diberitahu oleh menteri-menteri penerangan sebelum ini bahawa kita belum mencapai tahap matang, kita belum cerdik. Rakyat kita dikatakan tidak mampu menilai dan mengawal perasaan. Kita diugutkan dengan kemungkinan berlakunya ledakan api perkauman. Kita dilaksanakan sebagai budak sekolah yang tidak boleh berfikir.
Hanya Shabery sahaja dengan dasar terbuka yang diamalkan di kementeriannya dan sikap terbuka dengan sokongan padu Menteri Dalam Negeri, Hamid Albar yang memberikan kebebasan akhbar untuk bersuara. Sekarang di bawah Hamid Albar, bukan sahaja akhbar-akhbar harian menjadi lebih bebas, akhbar-akhbar milik parti pembangkang juga mendapat ruang. Permit akhbar Harakah diberikan untuk diterbitkan dua kali seminggu berbanding hanya dua minggu sekali sebelum ini . PKR juga diizinkan menerbitkan risalahnya. Pendaftaran parti sosialis juga diluluskan.
Shabery meneruskan perjuangan mendapatkan kebebasan dan keadilan bersuara semenjak dia menjadi ‘student leader’ di Universiti Malaya, dulu, dan semasa berada di dalam Parti Semangat 46. Perjuangan itu terus dilaksanakan olehnya sebaik sahaja diberi tanggungjawab menjadi Menteri Penyiaran. Shabery memulakan satu tradisi baik dan itu amat disanjungi. Penulis berbangga mempunyai menteri seperti Shabery. Hanya beliau yang dapat melakukan itu yang gagal dibuat oleh Mohamed Rahmat, Kadir Sheikh Fadzil dan Zainuddin Maidin. Penulis angkat kopiah kepada beliau dan mengisyitiharkan beliau sebagai pemenang besar.
Friday, July 18, 2008
DEBAT: SHABERY MENANG BESAR
Posted by DR AISAR YEE ABDULLAH at 9:06 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment