Sunday, September 7, 2008

UMNO TETAP UMNO, ENGGAN BERUBAH

Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Rabu 7hb. September, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Bermula dengan muka 6 edisi nasional, Akhbar Sinar Harian keluaran Rabu kelmarin menyiarkan berita tentang ‘Umno minta maaf’. Sesuatu berita yang terlalu negatif bagi imej UMNO. Kemudian apabila membelek halaman-halaman berikutnya terdapat pula tajuk berbunyi ‘Ketua Pemuda didenda buat laporan palsu’. Pada muka yang sama di bahagian bawah terjumpa lain tajuk ‘Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban ke mahkamah’. Pada lembaran berikutnya terdapat lagi berita tentang UMNO, iaitu pengerusi UMNO cawangan Bukit Merah di Bagan Serai mati ditembak. Akhbar NST Khamis pula melaporkan ketua Umno cawangan Limau Manis, Kota Bharu, Datuk Azaha Abdul Rani disimbah asid di muka dan lengan.

Semua kejadian itu berlaku dalam sehari. Sehari sebelumnya, akhbar melaporkan tentang majlis ‘bertukar tumbukan’ serta pembalingan kerusi berlaku semasa mesyuarat Umno cawangan Felda Palong Timur 5, Segamat. Pergaduhan itu terjadi selepas beberapa anggota dikatakan tidak berpuashati dengan keputusan pencalonan. Tumbuk menumbuk berlaku dan kerusi-kerusi dibaling sesama anggota UMNO. Difahamkan pergaduhan terjadi selepas kiraan undi selesai dibuat, Datuk Othman Jais yang kalah kepada orang baru, Shaifuddin Ali Hanafiah. Sehari selepas itu pula, akhbar NST melaporkan ketua Umno cawangan Limau Manis, Kota Bharu, Datuk Azaha Abdul Rani disimbah asid di muka dan lengan

Bernama pada 7 Ogos lepas melaporkan kegiatan-kegiatan sekitar mesyuarat cawangan UMNO yang merumuskan kepada segala-galanya tidak tenang dalam beberapa cawangan UMNO. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris memetik laporan Bernama menggunakan judul ‘Bribes, bickering and brawls at Umno branches’ pada masa sama.

Ketua UMNO Kubang Kerian, Kelantan, Fauzi Ismail melalui Bernama mengesahkan bahawa politik wang sungguhpun tidak berleluasa sangat, digunakan sepanjang pemilihan cawangan-cawangan ketika itu. Dia tidak mahu melaporkan itu kepada Badan Pencegah Rasuah sebaliknya kepada sekretariat UMNO untuk tindakan lanjut. Melalui berita yang sama, Ketua UMNO Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar juga mengaku wujudnya politik wang pada peringkat akar umbi dan berkata corak kempen sekarang adalah kotor.

“Semua ini adalah semacam kanser yang akan memusnahkan Umno. Kita bergaduh sesama sendiri bukan sahaja menggunakan politik wang tetapi pengaruh dari luar dan ugutan-ugutan. Melempar maki hamun dan mengajak orang luar memaki hamun adalah bukan cara yang betul. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini,” kata beliau yang juga berupa Menteri Dalam Negeri kepada wartawan.

Beratus-ratus lagi mesyuarat Umno cawangan di seluruh negara mengalami peristiwa yang sama seperti bergaduh dan maki-memaki sesama sendiri. Di Ipoh, polis telah menangkap seorang anggota UMNO Kampung Pisang kerana dikatakan memukul seorang anggota lain dengan sebatang kayu golf. Di Labuan, tumbuk menumbuk juga terjadi apabila pengerusi tetap sebuah cawangan dituduh enggan meletak jawatannya sungguhpun tempohnya telah luput. Beberapa biji telur busuk dilemparkan semasa UMNO cawangan Sungai Machang Hilir dekat Seremban bersidang.

Laporan kejadian-kejadian setakat ini banyak berkisar kepada peringkat cawangan. Belum banyak kedengaran berita-berita negatif berlaku pada peringkat bahagian. Ini mudah difahami kerana mesyuarat peringkat bahagian hanya dijadualkan berlangsung pada bulan depan. Namun, sungguhpun mesyuaratnya hanya sebulan lagi akan berlangsung, riak-riak sudah kedengaran. Ia akan menjadi tidak kurang kecohnya seperti mesyuarat cawangan.

Akhbar pada Rabu kelmarin juga sudah melaporkan sesuatu yang tidak sedap dibaca. Teliti masalah yang terjadi pada bahagian Tanah Merah di Kelantan ini. Mengikut Nik Kamarulzaman, pemangku ketua bahagian itu, sebanyak 27 cawangan sepatutnya tidak dibenarkan mengadakan mesyuarat kerana tidak membayar yuran. Beliau juga menyatakan rasa terkejut apabila mendapati seramai 3,160 anggota yang nama mereka telah digugurkan dari senarai pada tahun 2005 kali ini nama-nama tersebut kembali dimasukkan sebagai anggota oleh ibu pejabat.

Nik Kamarulzaman mendakwa rekod dari bahagiannya tidak mendapati nama-nama ini wujud lagi tetapi senarai yang dihantar oleh ibu pejabat UMNO mengandungi nama mereka. Di samping itu dia mendedahkan seramai 1,459 anggotanya mendapati nama mereka berada di cawangan-cawangan lain yang membawa maksud mereka dipindah-pindahkan tanpa pengetahuan mereka. Lagi pelik, beliau mendedahkan, seorang anggota UMNO yang meninggal dunia pada Jun dipindahkan keanggotaannya pada bulan Julai ke cawangan lain. Pengundi hantu?

Kemelut dalam UMNO tidak berakhir di situ. Pada peringkat lebih tinggi, ia dikesan juga. Seorang veteran UMNO baru-baru ini membuat laporan kepada BPR terhadap pimpinan tinggi parti. Tokoh veteran itu, Datuk Mazlan Harun berkata ia berkaitan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa pada pertandingan pimpinan parti peringkat atasan Disember nanti. Mazlan ditemani oleh Datuk Kadar Shah, anak kepada mantan pengerusi tetap Umno, Allahyarham Tun Sulaiman Ninam Shah.

Lebih malang ialah tuduhan yang dilemparkan kepada dua orang pucuk pimpinan parti, iaitu Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Mohd Najib oleh Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim. Kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO ini telah digesa didisiplinkan kerana kononnya telah menyalahgunakan kuasa. Nah, kalau dua orang pemimpin tertinggi dikenakan tuduhan, apalagi ia dilibatkan dengan tuduhan menggunakan politik wang, tinggal untuk maruah parti itu apa? Anggota mana akan patuh kepada gesaan tidak mengamalkan politik wang kalau pucuk pimpinan sendiri dituduh mengamalkannya? Tuduhan ini, jika benar membawa maksud ketam mengajar anak berjalan betul.

Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin mengaku bahawa membeli undi di kalangan parti adalah sesuatu yang berleluasa. Dia mahu sesuatu dilakukan untuk menghindar kerosakan teruk terjadi kepada parti. Beliau berpendapat kegagalan BN yang dipimpin UMNO menyelesaikan korupsi pada peringkat nasional merupakan faktor utama kekalahan gabungan itu untuk mengekalkan kuasa dua pertiga pada PRU 12 pada Mac lepas. UMNO baginya sekarang berada di dalam zon bahaya.

Umno memang sedang berada di dalam zon bahaya. Orang Melayu mula meninggalkannya mencari perlindungan dari parti lain. Ada sebehagian Melayu lain lebih selesa di bawah PKR. Banyak pula sudah menyertai Pas. Baru-baru ini seorang Melayu, Tunku Aziz menyertai DAP dan lantas dilantik menjadi seorang pemimpin atasan. Adakah ini sebagai pembuka pintu kepada ramai Melayu lain mengikut jejak langkah beliau? Masyarakt bukan Melayu yang dulu amat kuat menyokong UMNO dan banyak menyebabkan calon UMNO menang pilihan raya umum, hari ini berduyun-duyun meninggalkan parti itu. Tanpa undi kaum bukan Melayu, calon UMNO mudah mengalami kekalahan.

UMNO telah dilihat oleh sebilangan besar Melayu sebagai sebuah kelab eksklusif untuk hartawan Melayu. Mesyuarat UMNO pada pandangan mereka, hanyalah untuk tempat membodek dan mengampu. Pertengkaran dan pergaduhan yang berlaku bukan dilihat sebagai satu usaha sengit berebut ‘bermati-matian’ untuk berkhidmat kepada umat Melayu, tetapi satu percakaran merebut kuasa yang akan memberi kekayaan kepada pemenang. Hartawan Melayu yang menerajui bahagian Umno akan menempah bilik hotel enam atau lima bintang para perwakilan yang datang sekali setahun mendengar hilai ketawa semasa persidangan agung tahunan. Semuanya girang.

Orang Melayu menonton semua itu dengan penuh insaf. Insaf bahawa nasib mereka tidak boleh lagi dipertaruhkan sepenuhnya kepada pemimpin UMNO. Melayu melihat para pemimpin UMNO bercakaran berebut khazanah negara untuk kepentingan mereka sendiri. Dasar dan program untuk kepentingan Melayu tidak dibentang. Ia hanya menjadi bahan rhetorik semata-mata.

Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, evolusi masyarakat menuntut UMNO dan BN lebih peka kepada keadaan. Rhetorik sudah tidak boleh membeli penyokong. Umpan pembangunan juga bukan lagi sesuatu yang memikat atau mendorong orang menyokong parti. Memainkan perasaan perkauman juga sudah tidak sesuai setelah lahirnya generasi pasca Merdeka, iaitu generasi Lee Chong Wei yang secara spontan mencium bendera Malaysia yang ada pada bajunya setelah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing. Generasi muda menuntut UMNO berubah dengan drastik.

Berterus teranglah, berapa ramai sekarang sebenarnya yang menganggotai UMNO? Tiga juta lebih? Berapa ramai dari angka itu berupa anggota ‘hantu?’ Kalau satu bahagian seperti Tanah Merah boleh mengesan terdapatnya lebih 3,160 hantu yang menjadi anggota UMNO, berapa jumlah hantu yang tersenarai dari kesemua lebih dari 190 bahagian itu? Berapa ramai pula yang menjadi anggota UMNO ‘kerana kawan’ seperti yang didedahkan oleh Mazlang, imam yang menjadi saksi majlis bersumpah Saiful di masjid baru-baru ini?

Berapa ramai pula anggota UMNO yang mengisi borang hanya kerana ingin mendapatkan gerai berniaga di pasar-pasar pagi dan pasar-pasar malam? Peniaga ini terpaksa menjadi anggota UMNO tetapi bukan jiwa mereka. Berapa ramai para peguam dan doktor yang menjadi anggota UMNO semata-mata kerana mahu firma atau klinik mereka disenaraikan sebagai anggota panel bank dan badan-dan milik kerajaan? Berapa ramai pula dari 3 juta anggota ini yang telah berhenti atau meletak jawatan? Ada borang untuk orang yang meletak jawatan? UMNO hendaklah jujur di dalam menilai kekuatan sebenarnya.

Bagaimanapun, beberapa tindakan UMNO ini akhir-akhir ini seperti diperlihatkan semasa cawangan bersidang, tidak menggambarkan ia sedang berusaha mengembalikan imejnya ke suatu tahap yang memuaskan hati orang Melayu. Ia masih berdegil dan bertindak seolah-olah keputusan pilihan raya umum Mac lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak memberi apa-apa kesan kepada UMNO. Sikap tidak sensitif kepada mesej itu akan menyebabkan UMNO terus tersisih dari kaum yang dia sepatutnya wakili.

Seorang pemimpin UMNO pernah berkata masa depan orang Melayu bergantung kepada UMNO dan masa depan UMNO pula bergantung kepada tanggungjawab dan disiplin para anggotanya. Penulis sekadar ingin bertanya, anggotanya atau pemimpinnya? Jangan biarkan UMNO reput dari dalam kerana Melayu masih memerlukannya. Hatta sekarang pun, UMNO sedang menjalankan peranan pembangkang yang berkesan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Mungkin, peranan sebagai pembangkang ini akan dipeluaskan di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu kecualilah Umno menunjukkan kesungguhan untuk berubah.

3 comments:

hantugigiz said...

saya setuju dgn pendapat penulis..umno sekarang adalah sebuah parti yg korup dan tidak lagi memperjuangkan hak dan ketuanan bangsa melayu..yang diperjuangkan hanyalah hak dan kepentingan bangsa umno itu sendiri..

Photographer RAZAK RAMLI said...

Setengah dari pemimpin Umno dari peringkat cawangan lagi dah tunjuk keangkuhan dengan sedikit kuasa yang ada.Mereka inilah yang membuat wajah Umno semakin menakutkan orang melayu.

aLapizBurhanuddin said...

Akhir ini kelihatannya seakan terlalu ramai pahlawan bangsa, wujud mendukukung perjuangan parti atas landasan politik. Dari isu hak bumiputra uitm yang konon2nya diceroboh oleh pandangan MB Selangor, membawa kepada yang terkini isu pelantikkan pengerusi PKNS dari bangsa bukan anak Melayu.

Walhal pandangan isu UiTM itu telah disyorkan pada zaman pemimpin terdahulu. Malah lebih rancak untuk dibicarakan adalah pandangan para pemerhati dari golongan remaja dan penuntut sendiri yang merasakan kehadiran para pelajar bukan bumiputra dari bangsa Cina dan India mampu menjadikan UiTM berdaya saing dan tiada lagi zon selesa untuk anak melayu. Dan kehadiran para penuntut di bangunan SUK bg menghantr memorondum jelas kerana memenuhi peluang. Manakan tidak, mereka mendapat cuti dengan mudah, namun hendaklah sama2 memprotes di SUK. Maka pergilah berduyun2, berlakon seperti pembenci pada cadangan MB Selangor, walhal di asrama dan dlm kelas, lain kata mulut lain kata hati.

Isu PKNS terlalu rapuh untuk ditegakkan. Bangsa asing, mungkin Cina, mungkin India, memerhati liar dalam keadaan senyap dan dendam dgn tindakan ahli poltik melayu menentang habis2san pelantikann pengurusi dri bangsa mereka.

Dendam yang tercalit, akan melantunkan sebuah ideologi negatif kepada mereka bahawa apabila bangsa mereka nak naik sentiasa ada tentangan. Maka jgn harap ada peluang untk bgsa melayu nk naik di premis perniagaan mereka dan syarikat-syarikat besar yg dimonopoli mereka.

Jika ini berlaku, maka ada satu jawapn sahaja untuk para graduan yang ingin mohon kerja nanti. Menjadi kuli sepenuh masa di premis mereka.

Apa salahnya utk pengrusi itu berbangsa Cina, andai dia bnar2 layak bdasarkan merit. Tidak guna meletak pengerusi bangsa melayu sekalipun jika tidak melepas merit yang sebenarnya. Bahkan MB sebelum ini juga anak melayu, agama Islam, fasih bertutur bahasa melayu, makan nasi, pakai baju melayu dan bersongkok. Tapi masih sanggup memejamkan mata hingga tergadai 75peratus tender kontrak kpd bukan bumiputra.


Mohon pandangan saudara. terima kasih/


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger