Tuesday, March 11, 2008

NIK AZIZ PATUT JADI MENTERI BESAR 'MENTOR'

Tersiar dalam Sinar Harian, Selasa 11 Mac, 2008 muka N25

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah

KETOKOHAN Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan diyakini merupakan satu faktor penyumbang utama kepada kemenangan PAS di Kelantan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa personaliti beliau juga mempengaruhi ramai untuk mengundi PAS di luar Kelantan 1


Cara hidup sederhana beliau sering diperkatakan oleh rakyat Kelantan dan oleh para blogger Melayu dan bukan Melayu di seluruh negara. Para blogger ini mengagumi beliau dan menjadikan beliau bahan tulisan mereka. Penulis sendiri membaca tulisan-tulisan dalam bahasa Cina ditulis oleh para blogger berketurunan itu tentang cara hidup Nik Aziz yang disanjung mereka.

Tulisan-tulisan ini dan paparan-paparan yang ada pada Youtube kebanyakannya memuji beliau. Beliau tinggal dalam sebuah rumah kecil bersebelahan masjidnya di sebuah kampung agak jauh dari kesesakan bandar Kota Bharu. Anda boleh pergi ke rumah beliau di Kampung Pulau Melaka yang tidak berpagar dan dapat solat bersebelahan beliau jika beliau tiga pergi ke out-station.

Tulisan-tulisan di laman web yang dihasilkan oleh para blogger tidak berkepentingan ini ikhlas memuji beliau. Tulisan-tulisan ini mempengaruhi ramai pembaca untuk mengundi PAS di kawasan masing-masing di seluruh negara. Peminat-peminat beliau terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Beliau telah menjadi MB PAS sejak tiga penggal yang lalu dan kali ini memasuki penggal keempat melalui pilihan raya umum ke-12 yang baru berlangsung beberapa hari yang lalu.

Pas, yang dipimpinnya terus menguasai Kelantan buat penggal keempat berturut-turut setelah ia bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pas mencatatkan pencapaian jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu apabila memperoleh 38 daripada 40 kerusi manakala PKR satu daripada lima kerusi ditandingi.

Bagi kerusi Parlimen pula, Pas menguasai sembilan kerusi, PKR (3) manakala BN hanya 2 kerusi melalui Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan kerusi Gua Musang dan juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed (Jeli).

Ketokohan seorang yang lebih terkenal dengan sebutan Tok Guru ini ‘diexploit’ dengan penuh oleh PAS sehinggakan dapat memberi keputusan yang amat terbilang dalam pilihan raya baru-baru ini. Pastinya, dari sehari ke sehari, keadaan ini tidak dapat dipergunakan lebih lama. Tok Guru makin lama makin tua dan malah sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat uzur dan masalah jantung.

Nik Aziz dilahirkan pada tahun 1931 yang bermaksud sekarang sudah pun berusia 77 tahun.

Pentadbiran beliau diserang hebat baik baik dari segi politik dan ekonomi oleh BN terutamanya semasa pimpinan Tun Mahathir Mohamed. Serangan itu tidak pernah reda semasa BN Kelantan di bawah pimpinan Annuar Musa.

Selama ini beliau menunjukkan kecekalan menangkis serangan-serangan itu tetapi mampukah beliau bertahan terumanya oleh harimau-harimau yang cedera parah dalam PRU ke-12 dari kalangan UMNO dan BN? Saranan penulis ialah supaya beliau segera berundur mengambil peluang keemasan dari kekuatan yang baru diperoleh melalui pilihan raya ke-12 itu.

Penulis berpendapat inilah masa paling sesuai untuk beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan. Kerajaan negeri sekarang berkeadaan begitu mantap sekali berikutan kemenangan cemerlang dalam pilihan raya.

Beliau tidak perlu lagi bimbang terhadap keretakan di dalam parti dan kehilangan keyakinan penyokong. Tugas beliau hanya semudah menamakan seorang pegganti yang boleh mengikut jejak langkah beliau selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi.

Dikhuatiri jika beliau masih tidak meletakkan jawatan beliau akan terus menerus terperangkap dengan corak membina kekuatan parti yang dihasilkan melalui personaliti sehingga seseorang itu dilihat tiada tandingan untuk diisi oleh orang lain.

Situasi begini sebenarnya pernah dialami oleh Lim Chong Eu (Tun Dato’ Seri) di Pulau Pinang. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang bermula 1969 sehinggalah 1990, iaitu selama tempoh 22 tahun. Karier politiknya termasuklah Presiden MCA dan Gerakan.

Sewaktu berumur mencecahlebih dari 70 tahun, Chong Eu masih terpaksa bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1986 kerana ketiadaan beliau dikhuatiri akan memberi kekuatan kepada parti pimpinan Lim Kit Siang, DAP. Ketika itu keyakinan rakyat Pulau Pinang terlatak hanya kepada beliau.

Namun, keupayaan Chong Eu untuk terus memimpin parti menghadapi pilihan raya sudah mula menunjukkan batasan. Beliau tentunya tidak lagi mampu meneruskan kecemrlangannya. Beliau tahu bahawa pengundi Pulau Piang tidak boleh terus meneruskan diasaskan keyakinan mereka kepada persoanaliti beliau.

Beliau bertindak melantik pimpinan pelapis yang mantap dan menamakan Koh Tsu Koon untuk mengambil alih tugasnya. Dalam pilihan raya 1990 Koh Tsu Koon dibebankan dengan tugas mengepalai kepimpinan Pulau Pinang dan melalui proses ini rakyat negeri itu terus memberi keyakinan kepada penggantinya. Bermula tahun 1990 sehingga pilihan raya baru ini Koh menerajui Pulau Pinang.

Personaliti Koh Tsu Koon tidak sama dengan personaliti Lim Chong Eu. Ia tidak sekuat personaliti Nik Aziz dan Chong Eu. Beliau tumpas bila bertanding untuk kerusi Batu Kawan dalam usaha menjadi menteri pusat mengganti Lim Kheng Yaik.

Nik Aziz hendaklah segera mengambil tempat belakang dan bertindak sebagai’ MBM’, iaitu Menteri Besar Mentor. Jawatan ini semacam apa yang disandang oleh Lee Kuan Yew. Nik Aziz perlu memegang satu forfolio dalam Exco negeri untuk membolehkan beliau duduk dalam pentadbiran negeri dan menghadiri mesyuarat mingguan.

Beliau akan berfungsi sebagai penasihat kepada seorang MB baru. Pendapat beliau hendaklah diperolehi sebelum sebarang keputusan besar dibuat. MB ini hendaklah diberi bimbingan dan akhirnya kepercayaan memimpin negeri ke arah satu tahap kecemerlangan baru bagi menghadapi saingan-saingan akan dataig. Dengan berbuat demikian, Nik Aziz boleh memberi tumpuan menjaga kesihatannya dan pada masa yang sama masih lagi dapat meneruskan sumbangannya ke arah mempastikan apa yang dirancangnya terus terlaksana. Penulis beranggapan ini adalah satu tindakan strategic bagi mengekalkan keyakinan umum kepada pemerintahan PAS Kelantan.

0 comments:


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger