Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian, Ahad 24 Ogos, 2008 muka N14
Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah
Para doktor memerintahkan beliau berehat sepenuhnya kerana dia tidak sihat. Namun perasaan ingin menulis blognya terlampau kuat. Dia mahu menyentuh tentang cadangan membuka sepuluh peratus tempat di UiTM untuk pelajar bukan Melayu. Itu ialah kata awal dari Ong Tee Keat, calon Presiden MCA di dalam blognya. Tulisan blognya kali ini bukanlah panjang, hanya sekadar sepuluh ayat.
Dia menulis bahawa para pengkritik kepada saranan Khalid ini telah lupa bahawa beberapa tahun dulu Kabinet telah bersetuju membuka kuota yang sama jumlahnya dengan cadangan Khalid untuk dikhususkan kepada bukan Melayu di semua MRSM dan Kolej Matrikulasi. Sewaktu itu beliau memegang jawatan Timbalan Menteri. Beliau diberitahu bahawa tujuannya ialah untuk mendapatkan intergrasi nasional yang lebih baik. Beliau memberitahu bahawa UiTM sudah pun menidakkan peluang siswa Melayu dengan tindakan membuka ruang sebanyak 5% kepada pelajar luar negara.
Kalau dulu para pentadbir universiti UiTM dan para pemimpin UMNO boleh mengambil sikap tidak membantah dengan keputusan dibuat Kabinet, kenapa kali ini pendirian mereka berubah? Mereka adalah orang yang masih sama. Apakah hanya kerana ia dicetuskan oleh musuh politik? Para pentadbir universiti seharusnya tidak melibatkan diri dalam soal politik kepartian kerana itu bukan tugas mereka. Tugas utama mereka ialah menghasil para lulusan yang cemerlang dan terbilang. Graduannya hendaklah menjadi sasaran pilihan utama para majikan, bukan sekadar mendapat tempat bekerja dengan sektor kerajaaan. Apakah situasi begini sudah tercapai?
Calon MCA yang ketika menulis blog itu uzur tetapi menguatkan diri untuk menyentuh tajuk itu menyatakan kehairanannya kenapa ia menjadi satu dosa untuk mengusulkan demikian. Seorang pelawat kepada laman itu, iaitu pelajar bukan Melayu yang menamakan dirinya sebagai HKKuan menulis, “Sama ada isu ini kontroversial atau tidak ia terpulang kepada sesiapa yang mencadangkannya. Kalau ia datangnya dari PM atau TPM, maka pujian-pujian akan mencurah dari kaki bodek kerana dianggap sebagai berpandangan jauh, pragmatik dan demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.”
Seorang pelawat lain yang menyebut dirinya sebagai ‘Concerned Chinese’ berkata: “Terlampau banyak orang yang bercita tinggi, sama ada Melayu, Cina atau India menunggu sahaja peluang untuk menarik perhatian…begitu banyak orang yang mengambil kesempatan. Di dalam MCA, seseorang boleh melihat ratusan kalau bukan beribu-ribu orang yang melompat merampas kesempatan…”
Penulis sebelum tulisan ini telah pun menyebut bahawa dia lebih cenderung untuk melihat isu ini sebagai sesuatu yang sengaja dihangatkan oleh orang-orang tertentu demi kepentingan politiknya. Orang ini langsung tidak mengerut kening apabila hak-hak pelajar Melayu ‘dirampas’ oleh Kabinet BN sendiri untuk diberikan kepada pelajar bukan Melayu dalam kes MRSM dan Kolej Matrikulasi.
Seperti kata pelawat blog Ong Tee Keat itu terlampau banyak orang, baik Melayu, Cina atau India yang suka mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri. Di dalam negara kita ini, menonjolkan diri untuk dilihat sebagai juara kaum adalah jalan pintas untuk menjadi terkenal. Hari ini orang seperti ini menggunakan kedudukan mereka untuk mendorong mahasiswa berdemonstrasi membantah cadangan Khalid. Sebahagian besar mahasiswa pastinya seronok dapat berdemonstrasi apalgi ia sesuatu tidak pernah terjadi secara ‘halal’ di Malaysia sejak sekian lama. Pengalaman ini sukar diperolehi sungguhpun ia sesuatu yang lumrah pada tahun-tahun 60-an dan 70-an.
Beberapa demonstrasi berlaku di seluruh negara bagi membantah tindakan Khalid. Minggu lepas, kira-kira 3,000 siswa terlibat berdemonstrasi di Segamat Johor dan 1,500 orang di Kota Samarahan, Sarawak. Sehari sebelum itu beribu-ribu mahasiswa di Lundu Melaka berarak menunjuk perasaan membantah cadangan. Begitu juga berlaku perarakan membantah terjadi di Merbok, Sungai Petani di Bandar Jengka, Pahang dan di Seri Iskandar Perak. Turut membantah adalah pelajar- dari kampus Arau dan Kuala Terengganu.
Akhabr-akhbar memuatkan gambar-gambar demonstrasi-demonstrasi tersebut yang berjalan secara aman dan teratur. Di akhir setiap kejadian itu, memorandum diserahkan kepada pihak atasan yang kemudiannya dikatakan akan diserah kepada Khalid dsebagai bukti tanda tidak puas hati siswa-siswi UitM terhadap suaranya yang mahukan sepuluh peratus tempat pelajar UiTM diberikan kepada bukan Melayu.
Sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu ada menempatkan sebuah ‘banner’ di laman utamanya yang mengheret pengunjung kepada himpunan gambar sekitar tunjuk perasaan di seluruh negara. Ia memapar suasana siswa ghairah membantah. Sesuatu yang menarik dapat diperhatikan dari puluhan gmabar itu ialah semua demonstrasi itu berlaku dalam keadan tenang dan aman. Inilah bukti bahawa mahasiswa kita matang dan tahu menjaga diri walaupun hak mereka untuk mendapatkan pendidikan cuba diberi kepada kaum lain. Tidak kelihatan dalam gambar itu para anggota polis mengawal keadaan. Tiada huru-hara dilapor atau dirakam.
Lanjutan dari demonstrasi itu, pada 18 Ogos lepas, terjadi satu lagi demonstrasi oleh para mahasiswa berdekatan pintu masuk Parlimen. Sekelompok mahasiswa berhimpun di dalam hujan bagi menyatakan rasa tidak puashati terhahad apa yang mereka sifatkan sebagai pindaan kosmetik yang dibuat ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971) yang dijadualkan dibentang pada minggu ini. Mereka mewakili 13 pertubuhan pelajar. Sepertui juga para siswa UiTM yang berarak menunjuk perasaan sebelumnya, mereka berpakaian serba hitam. Mereka membawa sepanduk dan malah satu ‘mayat buatan’ sebagai simbol matinya universiti-universiti’
Untuk memberi penegasan, mereka berbaring di atas jalan sambil diperhati oleh anggota polis dan polis pencegah rusuhan. Suasana bertukar menjadi panas apabila anggota polis bertindak cuba merampas sepanduk dan plakad yang dibawa mereka. Suasana kembali tenang apabila pemimpin-pemimpin mahasiswa bersetuju bersurai sebaik sahaja mereka menyerahkan memerandum. Mengikut mahasiswa, para pemimpin mereka sudah lebih dari dua bulan cuba bertemu dengan menteri yang berkaitan tetapi tidak mendapat respons.
Merenung balik kejadian-kejadian demonstrasi yang melibatkan para mahasiswa ini, kita dapat melihat dua respons yang berbeza. Satu dijalankan secara besar-besaran di kebanyakan kampus UiTM di seluruh negara. Salah satu demonstrasi itu melibatkan perhimpunan sekitar 5,000 orang yang berarak dari kampus induk Seksyen 2 ke Sekretariat Kerajaan Negeri Selangor. Sungguhpun perhimpunan itu besar dan isu yang dimainkan sensitif, perjalanan perarakan itu aman dan tiada keganasan berlaku. Tiada anggota polis dan pasukan pencegah rusuhan terlibat.
Mahasiswa-mahasiswi itu sedar perbuatan mereka telah melanggar peraturan AUKU. Pihak yang mentadbir universiti itu sebagai orang yang dipertanggungjawabkan melaksana peraturan-peraturan akta itu juga sedar akan pelanggaran itu. Mereka langsung tidak membantah dan tidak mengambil apa-apa tindakan. Mereka sedar bahawa perbuatan seumpama itu pada masa itu dan pada masa akan datang (seperti yang berlaku selepas itu di kampus-kampus lain) tidak menimbul sebarang mudarat ke atas keselamatan universiti dan negara. Mereka bertindak wajar.
Mahasiswa yang mengada demonstrasi di Parlimen pula sungguhpun kehadiran mereka hanya mencapai angka puluhan orang, mendapat layanan sebaliknya. Kehadiran mereka disambut oleh pasukan polis pencegah rusuhan. Kain rentang dan sepanduk yang mereka pamer cuba dirampas. Apakah mungkin mereka akan diambil tindakan disiplin oleh universiti-universiti tempat mereka mencari ilmu? Setakat ini belum kedengaran apa-apa berita lagi.
Melihat reaksi kerajaan kepada tindak tanduk mahasiswa UiTM berdmonstrasi, ada kecenderungan untuk merumuskan bahawa kerajaan sudah memberi isyarat bahawa ia sudah bersedia mengizinkan mahasiswa berdemonstrasi sebagai cara memperlihatkan cetusan hati ke atas sesuatu isu. Sebaliknya, isyarat berlainan pula dapat dilihat dengan reaksi kepada demonstrasi anjuran badan-badan mahasiswa lain. Apapun, tindakan kerajaan menangani tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang menunjuk perasaan tempoh hari ini sedang diteliti. Sanggupkah ia bersikap adil?
Pendirian kerajaan semakin jelas dengan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Idris Harun, Timbalan Menteri Pelajaran sewaktu mengulas tindakan demonstrasi yang berkata, “Kerajaan tidak berhasrat membenarkan pelajar untuk berdemonstarsi dalam pindaan AUKU 1971”.Beliau sewaktu mengulas desakan Gabungan Mahasiswa Mansuhkan AUKU supaya kerajaan memansuhkan AUKU, berkata, ia mustahil untuk dipenuhi.
Pendirian kerajaan ini dapat dilihat dalam AUKU yang sedang dibentang sekarang. Pembentangannya dikatakan sebagai memenuhi desakan ramai agar AUKU dipinda kalau tidak pun dimasuhkan. Antara pindaan yang dicadangkan ialah para pelajar sambilan dan siswa ‘post-graduate’ sekarang tertakluk kepada Akta. Dulu mereka terkecuali. Para siswa sekarang dibenarkan menyertai pertubuhan luar tetapi masih diharamkan dari menyeratai parti politik. Pertubuhan mahasiswa dibolehkan bersekutu dengan pertubuhan luar kecuali pertubuhan politik.
Dalam pindaan yang dibentangkan di Parlimen minggu ini, para siswa dilarang dari menyatakan sokongan atau menyatakan penentangan kepada mana-mana parti politik. Tindakan disiplin akan dikenakankan ke atas mana-mana siswa yang tidak patuh kepada arahan. Lebih penting, pindaan ini memberi kuasa kepada menteri untuk meminda sebarang arahan atau peraturan kampus.
Ketenangan yang dipamerkan oleh mahasiswa UiTM dalam demonstrasi seluruh negara sungguhpun isu yang dibangkit itu mengguris perasaan mereka membuktikan bahawa para siswa kita adalah cukup matang. Mereka tidak perlu kepada satu undang-undang ketat untuk mengawal perilaku. Menyekat mereka menyertai mana-mana badan politik juga adalah satu langkah mundur. Tidakkah boleh bagi mereka menjadi anggota parti, katakan UMNO dan memakai topi berlambangkan UMNO sewaktu masuk ke dalam kuliah? Terjejaskan prestasi pembelajaran mereka? AUKU tidak perlu dipinda, ia perlu dimansuh. Tidakkah Malaysia mahu siswa-siswinya dilihat tidak dikongkong minda mereka? Lagipun, kebanyakan mereka berumur lebih dari 21 tahun, sudah layak mengundi pun.
Sunday, August 24, 2008
DEMO UiTM RINTIS PEMANSUHAN AUKU
Posted by DR AISAR YEE ABDULLAH at 8:12 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Kerajaan tahu dan sedar bahawa golongan pelajar bukanlah merupakan kalangan yang mudah mengikut telunjuk mereka dan mengiakan sahaja apa yang di perkatakan sebagaimana orang-orang kampung yang tua-tua dan hampir expired. Kalau dibenarkan seperti yang tuan cadangkan itu, saya jangkakan dalam 10 orang yang memakai topi berlambangkan parti politik, hanya 2 orang sahaja akan memakai topi UMNO
Harap pak Brahim kena lebih peka terhadap isu integrasi ni, semoga inya akan memberikan yg terbaik kepada seluruh rakyat MALAYSIA!
Post a Comment