Rencana ini tersiar dalam Sinar Harian Ahad 10 Ogos muka N14
Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah
‘Azizah khianati pengundi’ berupa judul utama yang diberikan untuk mengisi muka depan akhbar Sinar Harian terbitan Ahad, minggu lepas. Rakyat tertipu kerana sewaktu pilihan raya umum (PRU) Mac lalu rakyat memilih Dr Wan Azizah menjadi pemimpin membela nasib rakyat. Setelah terpilih, dia sesuka hati letak jawatan pula. Ini dikira menipu rakyat.
‘Rakyat tertipu’ adalah kata-kata pedas yang diberikan oleh Datuk Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO. Terdapat beberapa komen yang barnada hampir hampir sama diberikan oleh tokoh-tokoh UMNO dan BN mengulas tindakan Datuk Seri Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai ADR Permatang Pauh.
Penulis akan berbicara tentang komen itu pada penghujung tulisan ini. Fakta-fakta akan dikemukakan untuk menilai sama ada kecaman yang diberikan itu tepat untuk menggambarkan Azizah sebagai seorang penipu dan pengkhianat atau sememangnya sifat orang politik untuk memutarbelitkan fakta atau sengaja membohongi fakta untuk kepentingan parti dan diri lalu menjadi penipu yang lebih besar dan pengkhianat kepada fakta.
Azizah turut juga mengumumkan bahawa beliau akan berundur dari jawatannya sebagai presiden parti apabila mandatnya tamat pada 2010 atau mungkin lebih awal pada Disember tahun ini juga jika itu adalah kemahuan anggota. Ertinya, beliau mahu berundur terus dari politik. Menurut beliau, pengundurannya dari politik dan selaku ADR Permatang Pauh bukanlah sesuatu yang berat dilakukan. Ia kerja mudah.
Namun dia masih berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan para penyokong dan pengundinya. Dia menjelaskan bahawa mereka bukanlah dia lupakan langsung tetapi dia masih bersama. Cuma posisinya berada di sisi sekarang dan bukannya di depan. Tugas berada di depan akan dipangku oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang yang padanya lebih layak berada.
Azizah yakin kemenangannya pada 1999 dan tahun-tahun seterusnya kerana populariti Anwar dan juga kerana perasaan simpati ke atasnya hasil dari penangkapan Anwar. Dia terpaksa membawa obor perjuangan tetapi sekarang orang itu sudah bebas maka adalah wajar tempat itu diserahkan kembali kepada empunya hak. Sebelum Azizah dipilih sebagai ADR Permatang Pauh, kawasan itu dimenangi Anwar sejak 1982 lagi sehinggalah beliau ditahan dan dipenjara.
Sekarang adalah menjadi haknya pula untuk berehat. Pengunduran beliau dari politik adalah sesuatu yang mudah difahami kerana pada asasnya bukanlah cita-cita beliau menjadi seseorang darinya. Beliau hanya lebih gemar digelar ‘mama’ oleh anak-anaknya dari disebut ‘YB’ oleh para penyokong dan orang lain. Beliau terjebak ke dalam politik secara paksa apabila suaminya terhina selepas dituduh melakukan perbuatan liwat pada 1998.
Kehilangan Azizah dalam kancah politik akan dirasa ramai. Seorang ibu yang sederahana, pemalu dan kelihatan lemah yang terperangkap dalam suasana getir yang tidak sudah-sudah selama hampir sepuluh tahun. Suaminya hanya layak menyertai politik April lalu, partinya, menghadapi kemelut dalaman dan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya. Hanya beliau seorang sahaja menang dalam pilihan raya 2004 dan itu pun dengan majoriti sekitar 500 undi sahaja.
Ramai tidak yakin dengan kemampuan beliau menerajui parti Keadilan. Suaminya terpenjara. Azizah langsung tidak berpengalaman membimbing mesyuarat parti. Jentera BN terlampau kuat. Para penyokong ‘reformasi’ bukanlah terdiri dari kalangan mereka yang mampu. Ramai yang mengangggur. Banyak mesyuarat parti tidak dapat berjalan dengan sempurna kerana para perwakilan tidak mempunyai wang belanja menghadirinya. Hanya mentari yang cerah yang dijanjikan akan menjelama esok sahaja yang menjadi pendorong mereka terus bersemangat berjuang.
Begitu perit beliau mengemudikan parti Keadilan. Pada masa yang sama anak-anaknya pula menagih kasih kasih seorang ibu. Bayangkan bagaimana beliau mengharungi liku-liku hidup menyaksi suaminya dipukul lebam sampai hampir menemui ajal dan bagaimana segala jentera kerajaan terus menerus memberi gambaran negatif terhadap suaminya. Hidupnya, hidup keluargan bak sama apa yang ada pada Ibu Kartini.
Dia lulus semua ujian dan kembali membawa partinya ke tahap gemilang. Beliau dari seorang yang sepatah-sepatah mampu mengeluarkan kata-kata ketika mula menaiki pentas politik pada 1998 dulu, kini menjadi seorang pensyarah yang dikagumi. Dia lembut tetapi gagah. Dia kelihatan lembik tetapi nyata tegas. Anggota parti dan saf kepimpinan Parti Keadilan menghormati beliau. Penulis terkejut sewaktu menonton siaran langsung debat parlimen yang disiarkan setiap pagi oleh RTM (semasa sesi parlimen bersidang) melihat beliau dengan tegas menegur menantu PM, Khairi.
Setelah mempelajari selok belok politik dan setelah berjaya menjadi ketua pembangkang parlimen Malaysia, Azizah bertekad mengundur diri. Dia mahu kembali memegang jawatan ‘mama.’ Jawatan itu ditunggu-tunggu oleh dua orang anaknya yang masih bersekolah. Dia boleh meneliti ‘homework’ anak-anaknya. Dia boleh memasak kembali. Dia rindukan masa yang dihabiskannya dulu bersama-sama anak dan suami di rumah.
Azizah yang begitu kental menghadapi cabaran selama sepuluh tahun itu akhirnya mengambil keputusan untuk berundur dari politik. Pengunduran beliau ini bagaimanapun dikecam pula oleh seteru politik beliau dengan alasan tindakan itu menyusahkan pengundi. Mereka memberi alasan baru sahaja pada awal Mac lalu Azizah meminta mandat dari rakyat dan sekarang meletak jawatan,. Tindakan ini adalah pada pandangan mereka satu pengkhianatan dan penipuan kepada rakyat.
Penulis tidak bersetuju dengan pandangan bahawa perletakan jawatan Azizah ini berupa suatu tindakan yang mengecewakan rakyat atau satu pencabulan kepada prinsip demokrasi. Dia telah awal-awal lagi telah menyatakan bahawa dia tidak akan menjadi seorang ahli politik seumur hidup. Dia mahukan para pengundi menentukan sama ada ingin memilihnya atau tidak.
Maka benarkah Azizah menipu pengundi? Kalau diperhatikan dari kata-kata Noraini sebagaimana tersiar dalam Sinar Harian Sabtu 2 Ogos rakyat sudah tertipu dengan tindakan Wan Azizah. Kita kembali membelek fakta liputan pilihan raya Mac lalu. Penulis sebelum ini pernah menyebut fakta bahawa Azizah telah memberitahu para pengundi di Permatang Pauh sewaktu berucap di sebuah sekolah Cina bahawa dia akan meletak jawatan selepas memenangi kerusi itu apabila suaminya layak bertanding kelak. Kata-kata itu tidak diterima mungkin kerana sumber tidak dinyatakan.
Akhbar Star bertarikh 26 Februari 2008 telah menyiarkan soalan yang dikemukakan kepada Datuk Seri Najib yang berbunyi: “When asked to comment on Datuk Seri Anwar Ibrahim’s daughter Nurul Izzah contesting (in Lembah Pantai) and the speculation that his wife Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail would step down in the Permatang Pauh parliamentary seat should she win again and trigger a by-election so that her husband could contest, Najib said voters should not see the election as a personality matter. Najib sebelum pilihan raya lagi sudah ditanya tentang spekulasi itu.
Sebuah rencana tulisan Joceline Tan yang tersiar dalam Star pada 4 Mac, 2008 (beberapa hari sebelum pilihan raya) menyebut: When she declared she was willing to force a by-election if she won, Umno accused Anwar of imposing his will on his wife and the people of Permatang Pauh. Tulisan ini mengesahkan bahawa Azizah pernah ‘declare’ bahawa dia bersedia memaksa satu pilihan raya kecil. Para pemimpin BN menyifatkan tindakan Azizah itu berpunca dari paksaan Anwar ke atas isterinya dan pengundi. Kalaulah para pemimpin BN tidak sedar adanya pengumuman Azizah bahawa dia akan mengundur diri sebelum ini, rencana yang tersiar ini sepatutnya mengingatkan mereka tentang hasrat Azizah itu.
Sikap jujur Azizah yang pada awal-awal lagi sudah memberitahu pengundinya untuk bersedia menghadapi pilihan raya kecil disahkan sendiri oleh ketua UMBO Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. Melalui satu wawancara yang dibuat agensi berita Bernama dan disiarkan oleh beberapa akhbar harian termasuklah Sinar Harian (muka N7) pada Sabtu 2 Ogos, tokoh UMNO itu berkata: “Kita tidak perlu terkejut dengan pengumuman Dr Wan Azizah itu kerana semasa berkempen pada pilihan raya umum dulu beliau sudah memberitahu mengenai perkara ini. Jadi persiapan kita memang telah bermula awal lagi,” katanya.
Azizah, seorang ibu yang telah menjalankan tugasnya dengan baik kepada keluarganya, kepada para pengundinya dan yang telah membawa partinya ke mercu kejayaan tidak layak digelar pengkhianat atau penipu. Beliau telah awal-awal lagi memberitahu hasratnya. Kalaulah ada pemimpin yang menggelarnya penipu hanya semata-mata mereka tidak tahu wujudnya fakta, itu adalah kekurangan mereka sendiri. Dikhuatiri, fakta sudah tahu tetapi masih suka membohonginya.
Sunday, August 10, 2008
AZIZAH KHIANATI PENGUNDI? PASTIKAN FAKTA
Posted by DR AISAR YEE ABDULLAH at 8:30 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
too bias to the PR is what sinar harian is......
make it neutral that u pledge
Post a Comment