Wednesday, August 20, 2008

SUMPAH LAKNAT GAGAL GUGAT ANWAR?

Tersiar dalam Sinar Harian 20 Ogos, 2008 muka N18

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Setelah sekian lama menghilang diri, Saiful akhirnya menjelma dan membawa satu tindakan yang beliau harap boleh memberikan pukulan maut kepada bekas bosnya. Dia muncul pada petang Jumaat lepas, (sehari sebelum hari penamaan calon) memenuhi janji yang ditunggu ramai. Dia muncul di masjid dan membuat lafaz bersumpah bahawa dia telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perakuan sumpah yang dibuatnya membawa implikasi yang besar ke atas dirinya dan orang yang dituduhnya. Dia berikrar sanggup menerima azab, laknat dan kutukan dari Allah hingga ke kiamat jika apa yang dikatakan itu berupa pembohongan.

Dengan lafaz seperti itu beban sekarang berpindah kepada Anwar. Anwar mahu dilihat oleh Saiful sebagai bersalah jika dia tidak sanggup melakukan tindakan yang sama. Dia berkali-kali mencabar Anwar untuk turut sama bersumpah. Anwar setakat sekarang masih enggan menerima cabaran Saiful.

Para pemimpin masyarakat Islam memberi pandangan berbeza tentang tindakan diambil Saiful itu. Tun Mahathir mendesak Anwar supaya turut bersumpah. Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz menganggap sumpah laknat yang dilafazkan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam. Ia perbuatan yang ditiru dari ajaran Kristian. Baginya, memadailah bagi Saiful untuk hanya melafazkan sumpah.

Semasa orang Melayu dan Islam bertelagah tentang tindakan melafazkan sumpah ini, sama ada ia cara yang betul untuk diambil atau sama ada ia boleh menjejaskan undi Anwar dalam pilihan raya kecil Selasa depan atau tidak, isu itu langsung tidak memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.

Isu liwat atau kesalahan seks lain bukanlah isu moraliti yang besar di kalangan bukan Islam. Nilai pegangan mereka berbeza. Perbuatan invidu tidak diambil kira oleh mereka selagi ia tidak menjejaskan kepentingan umum. Mereka agak liberal.

Apabila Shahrizat mengisytiharkan jihad ke atas Anwar kerana berkeyakinan orang yang mempunyai pekerti seperti itu tidak sepatutnya dibenarkan menjadi pemimpin, orang bukan Islam tidak ambil pusing. Apapun, bukanlah niat Shahrizat untuk memenangi undi bukan Melayu sewaktu beliau bercakap tentang jihad itu. Sasaran Shahrizat hanyalah undi orang Melayu.

Pengundi bukan Melayu yang berjumlah sebanyak 30.6 peratus dari lebih kurang 58,500 orang semuanya, tidak peduli sama ada Anwar bersumpah atau tidak. Malah mereka tidak peduli sama ada Anwar melakukan perbuatan liwat itu atau tidak. Pengundi-pengundi bukan Melayu di tempat-tempat lain pun sama berpendirian begitu.

Rintihan bukan Melayu terhadap BN yang dianggap sudah tidak berkesan kian merebak. Kelmarin, Parti Gerakan Perak menyuarakan desakan meminta parti itu meninggalkan BN. Ketua Gerakan Perak merangkap Naib Pengerusi Nasional, Datuk Chang Ko Youn mendakwa lebih dari 80 peratus perwakilan Perak menyokong usul yang akan dibentang dalam mesyuarat agung tahunan Gerakan Oktober ini. Beliau mendakwa para perwakilan sudah jemu dengan sikap orang politik yang tidak putus-putus memainkan sentimen perkauman dan agama. Beliau sebenarnya menyokong gesaan yang dibuat Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Kebangsaan Wanita Gerakan yang juga Timbalan Menteri Penerangan agar Gerakan meninggalkan BN.

Seorang lagi pemimpin tinggi Gerakan, kali ini dari Pulau Pinang, yang pernah memegang jawatan Exco semasa pentadbiran Koh Tsu Koon sebelum pilihan raya umum lalu, Dr Toh Kin Woon bertindak menyokong calon PKR, Anwar. Dia tidak sahaja menyuarakan sokongan kepada Anwar tetapi bertindak keluar dari parti Gerakan. Sebelum ini, Timbalan Pengerusi NasionalGerakan, Lee Kah Choon menyertai pentadbiran Lim Guan Eng. Di Kuala Lumpur, Ketua Gerakan Wilayah, Datuk Dr Tan Kee Kwong menyertai pentadbiran Khalid Ibrahim.

Di Kelang, Selangor mantan Ketua MIC bahagian Kelang, Alex Thiagarasan mengambil tindakan meninggalkan parti itu. Tindakan beliau berlaku pada hari sama Dr Toh bertindak membantu Anwar di Permatang Pauh. Thiagarasan merupakan orang kanan Samy Vellu dan mendakwa seramai 1,500 penyokong parti mengikutnya keluar. Sebelum ini, bekas Naib Presiden MCA juga pernah menjawat Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2004-2008), Dr Tan Yew Kew juga telah mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai PKR. Beliau membawa bersamanya kira-kira 2,000 penyokong. Thiagarasan bagaimanapun menyertai DAP.

Berdasarkan itu nampaknya tuduhan kepada Anwar dan sumpah yang dibuat oleh Saiful semacam tidak memberi kesan kepada orang bukan Melayu. BN menghadapi keadaan sukar untuk meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk bersamanya. Bilangan bukan Melayu yang mengundi BN kali ini dijangka akan bertambah merosot.

Tindakan Saiful bersumpah pada petang sebelum penamaan calon dituduh oleh kalangan Anwar sebagai satu usaha untuk mempengaruhi undian orang Melayu. Dengan berbuat demikian keyakinan orang Melayu terhadap moraliti Anwar terjejas dan undi yang akan diraihnya berkurangan.

Bolehkah lafaz sumpah itu mencapai sasarannya? Penulis beranggapan bahawa ia pasti berjaya untuk lebih meyakinkan mereka yang sudah pun sebelumnya percaya bahawa Anwar benar meliwat Saiful. Kepada golongan ini, sudah sahih lagi nyata bahawa Anwar seorang peliwat ekoran adanya sumpah laknat dilakukan Saiful tadi.

Kepada mereka yang pada awal-awal lagi berkeyakinan bahawa Anwar tidak melakukan perbuatan keji itu dan tuduhan ini merupakan sebahagian dari skrip lama 1998, lafaz sumpah Saiful yang dilakukan di masjid itu tidak memberi apa-apa impak. Mereka tetap tidak mahu percaya ke atas tuduhan yang dibuat oleh Saiful. Sungguhpun akibat melakukan lafaz palsu itu besar dan seseorang yang waras pasti tidak sanggup untuk mengambil risikonya, mereka masih enggan menerima kesungguhan Saiful.

Keadaan ini terjadi kerana begitu kuatnya kesan perang cyber yang diatur oleh kalangan penyokong Anwar. Mereka telah berjaya memberikan imej negatif terhadap pasukan polis yang kelihatan begitu sukar untuk mengenakan tuduhan terhadap Anwar. Beberapa tindakan polis seperti enggan memberi salinan laporan yang dibuat oleh Saiful, menangkap Anwar sebelum tamat tempoh diberikan untuk menyerah diri dan bertindak serta merta mengisytiharkan siasatan selesai sebaik sahaja Anwar mengumumkan bertanding di Permatang Pauh. Penyokong Anwar telah berjaya menggugat kewibawaan polis. Polis dan kerajaan tewas dalam perang dunia cyber ini.

Saiful sendiri juga gagal memberi suatu gambaran yang meyakinkan sebahagian besar penduduk negeri ini. Hakikat ini dapat dicerminkan melalui satu ‘survey’ yang mengatakan hanya sebelas peratus rakyat percaya dengan dakwaannya. Pendedahan bahawa beliau berupa seorang penyokong kuat BN sebagaimana terdapat dalam ‘Friendster’ semasa bekerja dengan Anwar, juga pengakuan Datuk Seri Mohd Najib bahawa Saiful pernah ke rumahnya sebelum laporan polis dibuat semuanya melemahkan dakwaannya.

Paling terakhir ialah penegasan beliau bahawa beliau tidak rela diliwat oleh Anwar. “Ia terjadi secara paksa, tanpa rela saya,” kata Saiful pada petang Jumaat lepas sewaktu ditemubual oleh wartawan selepas beliau melakukan lafaz sumpah. Beliau juga menegaskan bahawa itu adalah kali pertama beliau diliwat.

Pihak Polis mengenakan tuduhan bahawa Anwar melakukan liwat bersadasarkan ‘suka sama suka’. Apakah bentuk laporan Saiful kepada polis? Diliwat secara paksa atau dia melakukannya secara rela? Apakah dia telah membuat laporan palsu kepada polis bahawa dia diliwat secara paksa sedangkan dia sebenarnya gemar dengan perbuatan itu? Apakah Saiful boleh dituduh membuat laporan palsu atau polis yang meminda laporan? Semua ini digunakan oleh Anwar untuk memperkuatkan hujah asalnya untuk menganggap bahawa tuduhan ini adalah ciptaan konspirator.

Tuduhan liwat ini bukan merupakan satu senjata kuat yang boleh digunakan oleh BN untuk mengalah Anwar di Permatang Pauh. Percubaan untuk menggambar Saiful sebagai mangsa dianggap gagal. Gesaan Perdana Menteri agar rakyat memahami perasaan Saiful yang menjadi mangsa, ditakwil kerana dalam kes suka sama suka, tidak timbul lagi siapa mangsa siapa pemangsa, kedua-dua gemar melakukan hubungan seksual songsang itu.Tiada mangsa. Kedua-duanya seronok.

Isu liwat ini bagaimanapun akan terus dimainkan oleh BN dengan harapan ia mampu melentur keyakinan mereka yang masih ragu sama ada untuk mempercayainya atau tidak. Kempen berbisik-bisik dari rumah ke rumah akan dilipatganda. Para pekerja parti dari seluruh bahagian dan perhubungan negeri hadir dengan tujuan membantu mengalahkan Anwar dan pada masa yang sama meraih sokongan dalam pemilihan parti yang akan berlangsung pada Oktober dan Disember ini. Di Permatang Pauh, para pemimpin UMNO berpeluang menembak dua burung dengan sebiji peluru.

Akan patah sayapkah burung yang sedang berterbangan mematuk di sana-sini berusaha menjahanakan ‘tanaman’ kerajaan yang ada sekarang dan yang telah lama mengisytiharkan bahawa ‘dia’ akan hinggap untuk menetap di Putera Jaya pada 16 September ini?


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger