Wednesday, August 6, 2008

ZAID: TULUS PUN RAMAI TIDAK SENANG

Rencana ini tersiar dalam Sinar harian, Rabu 6 Ogos, 2008 muka N14

Oleh Dr. Aisar Yee Abdullah

Ucapan beliau kadangkala amat pedas. Seseorang tidak akan percaya bahawa perkataan-perkataan itu terkeluar dari mulut seorang menteri UMNO. Kalau ia datang dari Karpal Singh, memang sesuai. Ini datang dari seorang yang masih baru sahaja terlepas dari digantung keanggotaannya dari UMNO. Kehadiran beliau dalam UMNO tidak disenangi ramai. Beliau disaran berhenti dari menjadi anggota kabinet oleh bukan orang lain tetapi rakan-rakan yang sama menganggotai kabinet. Hakikat ini beliau dedahkan sendiri.

Bercakap kepada para perwakilan Forum Instutisi-Institusi Hak-Hak Manusia Kebangsaan Asia Pasifik di Kuala Lumpur dua minggu lepas beliau mendedahkan fikiran-fikiran beliau telah menyebabkan timbulnya rungutan-rungutan di kalangan parti beliau sendiri sehinggakan beliau dituduh menyuarakan dasar parti pembangkang dan seharusnya wajar beliau mesti meletakkan jawatan.

Sebaliknya, pihak pembangkang juga menggesa beliau berundur dari jawatan menteri kerana gagal menunaikan janji membawa reformasi terutamanya dalam bidang kehakiman. Dalam ucapan beliau itu, beliau menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan semua pihak tadi kerana beliau mempunyai misi yang belum selesai. Beliau sedar, risiko-risiko yang dihadapi oleh mana-mana anggota politik. Tidak disenangi orang adalah lumrah. Ironinya, tidak disenangi orang dari kalangan kelompok sendiri pun adalah lebih lumrah.

Pendirian Zaid tidak sahaja mendapat tentangan sesama anggota kabinetnya tetapi juga dari kalangan penyokong kerajaan. Seorang penyokong kerajaan dalam Dewan Rakyat, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) pernah mencadangkan jawatan Zaid sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dikaji semula. Mengikut Tajuddin, ramai orang ragu akan kemampuan Zaid menjalankan tugasanya tetapi mengakui hak Perdana Menteri memilih anggota kabinetnya.

Tajuddin pernah berdiri di Dewan Rakyat dan bertanya sama ada Zaid adalah seorang menteri Pembangkang atau Kerajaan. Zaid mendakwa soalan itu menghina beliau. Zaid memberitahu bahawa MP Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sewaktu berbahas dalam Parlimen pada 22 Mei menuduh beliau (Zaid) berusaha menunaikan kehendak manefesto Pembangkang dan bukannya Kerajaan. Zaid sendiri mengakui bahawa dia adalah seorang pengkritik dasar kerajaan sejak begitu lama dan beliau tidak pernah menukar bulu.

Zaid menjadi menteri hanya baru beberapa bulan, iaitu selepas pilihan raya umum Mac lalu. Sebelum ini Zaid tidak pernah menyertai kabinet. Semenjak itu beliau telah bercakap banyak tentang isu-isu meliputi perlunya mengkaji balik Akta Keselamatan Dalam Negeri, reformasi kehakiman, membolehkan lebih ramai orang menikmati keadilan melalui bantuan guaman, menyelesaikan kes-kes tertunggak, dan memperjuangkan kebebasan bersuara dan berakhbar. Apa yang Zaid perjuangkan itu menjadi tuntutan rakyat semenjak begitu lama dan itulah juga menjadi punca ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

Sungguhpun banyak pihak dalam kalangan partinya yang tidak senang dengan apa yang beliau perjuangkan ini, beliau bertekad akan terus menyuarakan pandangan berkaitan isu-isu ini kerana bagi beliau, itulah yang rakyat inginkan. Contohnya, beliau pernah menyeru Suhakam agar memiliki tulang belakang. Badan itu disarannya untuk menjadi alat untuk berubah tanpa pilih kasih atau takut, tanpa dituduh menjalankan polisi pembangkang atau anti-kerajaan. Suhakam, beliau berpendapat mestilah mengambil pendirian tegas untuk mendapatkan laporannya dibincang di Parlimen.

Zaid menegaskan, Suhakam, seperti mana pertubuhan awam yang lain, hendaklah sedar bahawa tindakannya dipertikai bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tuntutan agar ia memperkasakan kebebasannya melalui proses perlantikan-perlantikan yang telus dan berwibawa dan komposisi keanggotaannya yang mencerminkan masyarakat majmuk bukanlah sesuatu tuntutan nakal. Suara Zaid seperti ini pastinya tidak akan datang dari seorang wakil kerajaan. Sikap begini menyebabkan Zaid sering dituduh sebagai mewakili suara pembangkang.

Namun, Zaid sedar bahawa kerajaan sekarang tidak lagi boleh berada di dalam suasana berdalih kalau tidak, ia pada suatu masa nanti terpaksa membayar harga yang mahal kerana memiliki ilusi yang silap. Kerajaan tidak lagi boleh mendakwa bahawa ia berpegang kepada kedaulatan undang-undang tetapi pada masa yang sama berkompromi dalam soal hak-hak kemanusiaan. Seterusnya ia tidak boleh mendakwa bahawa ia mengamalkan kedaulatan undang-undang jika ia terus menerus secara wewenang membuat tangkapan tanpa menghiraukan wujudnya kemungkinan melakukan kesilapan dan mengadakan proses mengkaji balik.

Bagi Zaid, kerana mengiktiraf hak-hak manusialah kedaulatan undang-undang menjadi amalan, iaitu hak untuk mendapat persamaan, hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak mendapatkan maklumat dan seterusnya. Zaid berkata kerajaan hendaklah sedar bahawa hak-hak manusia tidak boleh lagi dianggap sebagai kebenaran yang menyusahkan. Beliau mengingatkan bahawa semuanya mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan pilihan raya.

Ramai pasti masih ingat akan pengumuman Zaid untuk meminta maaf bagi pihak kerajaan kepada para hakim yang dihina akibat krisis perlembagaan yang terjadi kira-kira 20 tahun dulu. Tindakan beliau mencadangkan sedemikian tanpa terlebih dahulu mengemukakan cadangan di dalam kabinet telah menyebabkan beliau ditegur keras oleh rakan-rakan beliau dalam kabinet. Beliau dianggap sebagai budak hingusan yang mahu menjadi juara.

Cadangan beliau ditolak. Keputusan yang dipersetujui hanyalah membayar sejumlah saguhati kepada para hakim itu tanpa kerajaan perlu meminta maaf. Sewaktu mengumumkan keputusan kabinet itu, Zaid dengan kecewa menjelaskan: Begitu ramai anggota kabinet yang lebih berpengalaman dan berhikmah darinya dan beliau kalah kepada mereka.

Zaid kelihatan seorang yang tidak sabar melaksanakan reformasi yang dia yakin itulah yang menjadi hajat rakyat yang sudah lama tertunggak. Rakyat begitu ‘desperate’ menghendaki pembaharuan. Mereka mahu keadilan dan kesaksamaan. Mereka mahu institusi-institusi kerajaan diyakini yang memiliki kewibawaan, mereka mahukan kehakiman yang bebas.

Zaid juga dilaporkan memberitahu Forum Hak Asasi yang bersidang baru-baru ini bahawa rakyat mahukan ruang untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka. Mereka mahukan hak berkumpul diiktiraf, hak untuk bersuara, untuk mendapatkan kerja, pelajaran dan hak untuk mendapat segala maklumat. Seterusnya Zaid menegaskan bahawa rakyat mahukan sebuah kuasa yang telus dan bertanggungjawab dan sebuah kerajaan yang bebas dari rasuah.

Pendirian dan perjuangan Zaid ini sekali imbas kelihatan dia lebih sesuai berada di pihak pembangkang. Dia tidak sesuai berada di pihak kerajaan apalagi menjadi seorang anggota kabinet kerajaan. Persepsi orang ramai bahawa apa yang diperjuangkan oleh Zaid ini tidak selaras dengan apa yang dipraktik oleh kerajaan yang Zaid berada di dalamnya. Namun, Zaid yakin bahawa Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi akan melaksanakan semua pembaharuan ini. Kalau ini tidak dilakukan secara serius, Zaid yakin kekalahan-kekalahan lalu tidak akan dapat ditebus.

Datuk Ambiga Sreenevasan, Presiden Majlis Peguam Malaysia, menyatakan kegembiraan beliau bahawa seorang anggota majlis peguam, Zaid dilantik sebagai anggota kabinet bertanggungjawab tentang kehakiman dan undang-undang. Beliau menganggap Zaid tidak membuang masa kerana pantas melakukan perubahan. Majlis Peguam berasa senang mendengar dan melihat apa yang telah Zaid lakukan selama ini.

Nampaknya, tidaklah mudah bagi para reformis di dalam UMNO bergerak dalam ruang lingkup yang ketat kerana masih kedapatan ramai lagi di kalangan pemimpin UMNO yang berpegang kepada pendapat bahawa langkah-langkah ke arah pembaharuan ini yang akan merumitkan mereka akhirnya. Mereka tidak selesa untuk menukar gaya hidup. Mereka ini sedang membawa kepada kemusnahan UMNO. Mereka beranggapan kekalahan UMNO dan BN dalam PRU baru-baru ini berupa satu hanya ‘setback’ sementara dan parti itu akan kembali pulih tanpa melakukan perubahan drastik.

Golongan ini hanya terfikir bahawa yang perlu berubah hanyalah kepimpinan UMNO. Golongan ini lupa bahawa penolakan rakyat ke atas BN bukanlah penolakan kepada kepimpian Abdullah tetapi persepsi yang kuat yang mereka pegang bahawa negara ini penuh dengan korupsi, dan pencabulan ke atas hak-hak rakyat dan penafian ke atas prinsip demokrasi. Sesiapapun menjadi pemimpin UMNO ketika itu akan mendapati partinya kalah besar. Kalangan ini berkeras bahawa corak pemerintahan seperti diamalkan mereka sejak 50 tahun lepas masih berkesan untuk mengekalkan pemerintahan.

Adalah tidak adil bagi penulis menamakan Zaid sebagai satu-satunya tokoh dalam UMNO yang benar-benar faham akan kemahuan rakyat. Masih ada orang lain, bezanya kalau penulis mula menamakan beberapa orang, pastinya ada seorang dua lagi yang tercicir. Hanya buat kali ini, Zaid dinamakan kerana dia menonjol. Zaid mempunyai rekod sebagai orang yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi. Pendirian ini dinyatakan dalam bukunya. Dia menghadiri forum-forum anjuran badan-badan kewartawanan dan sering menyatakan pendiriannya menyokong kebebasan akhbar. Dia sanggup meminta maaf sedangkan ‘sorry is the hardest word to say’. Semacam pelik melihat Zaid berada dalam parti UMNO.


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Supported by ArchiThings.Powered by Blogger